MN tentukan penyertaan PPBM malam ini

Mesyuarat Muafakat Nasional (MN) malam ini akan membincangkan penyertaan PPBM dalam gabungan itu secara rasmi.

“Mungkin isu kemasukan PPBM boleh dibincangkan kerana ia ada dalam minit mesyuarat lepas,” kata Setiausaha Agung Bersama Sekretariat Muafakat Nasional (MN) Annuar Musa ketika ditanya sama ada mesyuarat malam ini akan membincangkan isu kemasukan PPBM.

Katanya, persetujuan PPBM untuk menyertai MN sebelum ini telah dimaklumkan secara hitam putih.

Annuar, yang juga merupakan menteri Wilayah Persekutuan, bagaimanapun tidak menolak kemungkinan perbincangan kemasukan PPBM memerlukan draf memorandum persefahaman (MOU), piagam yang baru dan tidak boleh menggunakan kaedah melibatkan Umno dan PAS sebelum ini.

“Kerjasama Umno dengan PAS dulu lama, sekarang ini kita kena draf baru MOU, piagam dan sebagainya. Jadi kalau PPBM masuk, tentu ia tidak boleh ambil sahaja piagam lama, MOU lama.

“Jadi, macam mana cara kerjasama itu kita bincang; yang penting kerjasama demi mengutamakan penyatuan dan perpaduan politik Melayu,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri operasi sanitasi awam di Putrajaya, hari ini.

Katanya, mesyuarat MN malam ini akan turut disertai Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang.

“Lazimnya, timbalan-timbalan presiden yang akan mempengerusikanya. Saya turut jadi ahli dan urusetianya,” katanya.

Ogos lalu, Presiden PPBM, Muhyiddin Yassin mengumumkan parti pimpinannya bersetuju menyertai MN kerjasama antara Umno dan PAS.

MN adalah kerjasama politik antara Umno dan PAS yang ditandatangani pada 14 Sept 2019 dan antara lain bertujuan menjunjung serta mempertahankan perlembagaan persekutuan, kedudukan Islam sebagai agama persekutuan, Raja-raja Melayu, hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera dan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi. FMT

Penyertaan PPBM dalam MN, Tok Mat bukan talam dua muka

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker