Kehilangan Pastor Raymond Koh: Bekas pemandu Uber bebas dari tuduhan culik

 

Bekas pemandu Uber, Lam Chang Nam, sudah dibebaskan daripada tuduhan menculik pastor Raymond Koh pada empat tahun lalu, kata peguamnya hari ini.

Dengan keputusan yang dibuat pada awal Feb lalu itu, Lam sekarang berhadapan dengan hanya satu tuduhan iaitu memeras ugut dalam kehilangan Koh pada 2017.

Mahkamah Majistret Petaling Jaya akan menyampaikan keputusan bagi pertuduhan tersebut pada 30 April ini.

Peguam Lam, Aaron Mark Pius, memberitahu Malaysiakini hari ini majistret Nurshahira Abdul Salim membenarkan permohonan mereka untuk membebaskan tertuduh pada 8 Feb lalu.

Sebelum ini dilaporkan pihak pendakwaan memohon untuk menarik balik pertuduhan menculik dan memeras ugut agar Lam dilepas tanpa dibebaskan (DNAA).

Permohonan berkenaan diterima mahkamah majistret pada 4 Dis 2019.

Bagaimanapun pada 29 Julai 2020 – di mahkamah sama – Lam didakwa semula atas pertuduhan sama.

Kata Mark ekoran pertuduhan semula itu pihak pendakwaan memohon memohon DNAA atas dakwaan menculik bagi Lam dan ia mengejutkan pihak pembelaan.

“Kami sebagai pasukan pembelaan tertuduh berhujah panjang bahawa jika pihak pendakwaan memutuskan untuk tidak meneruskan (pertuduhan) mengikut Seksyen 356 (Kanun Keseksanaan iaitu kesalahan menculik) yang mereka (pendakwaan) tuduh dan tuduh semula, maka mesti ada pengakhiran pertuduhan berkenaan.

“Tertuduh tidak boleh hidup dalam keadaan pertuduhan (menculik) terus dikaitkan dengan dia,” katanya.

Pada 8 Feb lalu Mark berkata pihak pendakwaan memaklumkan kepada majistret yang mereka akan membiarkan mahkamah untuk memutuskan sama ada mahu memberikan DNAA kepada Lam atau membebaskan terus tertuduh.

Justeru katanya pihak pembelaan memohon mahkamah menggunakan kuasanya mengikut Seksyen 254(3) Kanun Prosedur Jenayah untuk melepas dan membebaskan Lam.

Majistret kemudian meluluskan permohonan tersebut.

“Apa yang berlaku (pada 8 Feb lalu) akhirnya memberikan penamat kepada penderitaan dan kesakitan pada tertuduh serta keluarganya.

“Lam mula didakwa pada awal 2018 dan terus hidup di bawah bayang-bayang sebagai tertuduh selama hampir empat tahun,” katanya.

Mengenai kes yang dituduh mengikut Seksyen 386 Kanun Keseksaan, Mark memberitahu semula saksi pendakwaan memberikan keterangan dalam perbicaraan.

Keputusan kes itu katanya akan ditetapkan di akhir penggulungan pendakwaan pada 30 April ini.

“Pada 30 April ini majistret akan memberikan keputusan sama ada pihak pendakwaan berjaya membuktikan wujud prima facie atau tidak, dan adakah anak guam saya perlu membela diri atau sebaliknya,” kata Mark.

Malaysiakini dalam usaha untuk mendapatkan komen daripada Jabatan Peguam Negara berhubung isu berkenaan.

Pada 15 Mac 2017 Lam didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya atas pertuduhan meminta RM30,000 daripada anak lelaki Koh. Pastor itu diculik pada 13 Feb tahun berkenaan.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker