Polemik Pas-UMNO-Bersatu berpotensi cetus jajaran politik baharu saat akhir

SHAH ALAM – Polemik politik terkini membabitkan hubungan Pas, UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berpotensi mencetuskan perubahan jajaran politik baharu bagi mendepani Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada saat akhir, sekiranya implikasinya semakin memburuk.

Penganalisis politik daripada Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain berkata, meskipun Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan Pas kekal komited bersama PN menerusi pertemuan beliau dengan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada malam Isnin, hakikatnya perkara itu masih belum mencapai kata muktamad.

Dengan kenyataan terkini Bersatu mengisytiharkan UMNO-BN sebagai musuh utama parti itu dengan Pas pula mengambil langkah bercanggah untuk meneruskan kerjasama Muafakat Nasional (MN), Mohd Izani tidak menolak kemungkinan pendirian terkini kedua-dua parti berkenaan bakal memberi implikasi besar terhadap hala tuju koalisi PN sendiri.

“Pas secara terang-terangan mahu main dua kolam, manakala Bersatu pula mula berasa kurang selesa dan cuba mengingatkan Pas agar tidak bekerjasama dengan pihak lain termasuk UMNO.

“Secara tidak langsung, dalam polemik ini kita dapat lihat Bersatu cuba bertindak sebagai abang besar yang hendak mengawal gerak-geri Pas. Ini berbeza dengan kehendak Pas yang dari awal sudah menyatakan hasrat mahu bekerjasama dengan mana-mana parti Melayu tidak ekstrem termasuk UMNO.

“Sekiranya implikasi pertembungan Bersatu-Pas tidak ditangani kedua-dua pihak dengan baik, saya percaya kemungkinan perubahan jajaran politik saat akhir akan berlaku dengan Pas akhirnya akan meninggalkan PN bagi bekerjasama dengan UMNO melalui MN.

“Manakala Bersatu dan PN tidak mustahil mengambil inisiatif mengadakan kerjasama tidak rasmi dengan Pakatan Harapan (PH) atau Gerakan Tanah Air (GTA) bagi mendepani PRU15,” katanya kepada Sinar Premium pada Selasa.

Beliau berkata demikian bagi mengulas pertemuan Muhyiddin yang juga Pengerusi PN dengan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang di kediaman bekas Perdana Menteri itu pada malam Isnin.

Muhyiddin dan Abdul Hadi.
Muhyiddin dan Abdul Hadi.

Pertemuan itu diadakan susulan kenyataan Muhyiddin baru-baru ini yang mahu mendapatkan penjelasan daripada Abdul Hadi setelah Ahli Parlimen Marang itu difahamkan mengadakan perjumpaan dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum itu.

Sabtu lalu, Muhyiddin mengumumkan UMNO-BN sebagai musuh utama PN pada PRU15, dengan parti komponennya perlu bergerak sebagai sebuah pasukan dan memiliki hala tuju sama, bukan mengeluarkan kenyataan atau pendirian bertentangan.

Tetapi, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada Isnin menjelaskan parti itu tidak boleh menerima pendirian mana-mana pihak melabelkan kumpulan Melayu Islam lain sebagai ‘musuh utama’ kerana ia tidak wajar dan janggal, lebih-lebih lagi kepada parti dalam kerajaan yang dipimpin bersama.

Mengulas lanjut, Mohd Izani turut mempersoalkan niat Muhyiddin dan Bersatu yang tidak menggariskan PH sebagai salah satu musuh politik utama parti berkenaan selain UMNO-BN.

Jelas beliau, kenyataan Muhyiddin pada Sabtu lalu juga seolah-olah memberi isyarat bahawa Bersatu dan PN masih tidak putus harapan untuk menjalinkan kerjasama politik dengan PH berbanding UMNO-BN.

“Dengan Pas konsisten meletakkan PH dan DAP sebagai musuh politik utama parti berkenaan, saya tidak hairan sekiranya parti itu tidak selesa dengan pendirian terkini Bersatu dan mengambil keputusan mengejut keluar PN.

“Dalam beberapa PRU terdahulu, Pas menunjukkan kesediaan untuk meninggalkan rakan koalisi mereka seperti Barisan Alternatif (BA) dan Pakatan Rakyat (PR) sekiranya koalisi itu tidak memberi keuntungan politik kepada mereka.

“Cuma persoalannya terletak di tangan UMNO-BN sama ada mereka sudi untuk bekerjasama kembali dengan Pas tanpa Bersatu,” tegasnya.

MUHYIDDIN
MUHYIDDIN

 

Sementara itu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na’aman turut mengakui sebarang kemungkinan boleh berlaku menjelang PRU15 termasuk perubahan jajaran politik melibatkan Bersatu sendiri.

Jelas beliau, Bersatu sentiasa komited untuk menjayakan agenda PN dan mahu Pas terus bersama mereka selagi mana parti Islam itu menerima hakikat bahawa musuh politik mereka dari konteks politik demokrasi adalah UMNO-BN.

Bagaimanapun, beliau mengakui Bersatu mungkin terpaksa mengambil pendekatan politik berbeza dengan Pas sekiranya pucuk kepimpinan kedua-dua parti masih bersikap ego dan tidak sehaluan dalam menentukan hala tuju PN.

“Setakat saya tahu, tiada sambutan untuk PH adakan kerjasama dengan PN meskipun secara tidak rasmi.

“Tapi saya tidak tolak kemungkinan kenyataan Muhyiddin berpotensi membawa perubahan konfigurasi politik koalisi parti-parti tanah air, sekiranya masing-masing mampu mengenepikan ego dan meletakkan negara sebagai kepentingan utama.

“Sekiranya kerajaan Ismail Sabri sekarang ini boleh jalin kerjasama dengan PH untuk menstabilkan politik negara dan diredai Pas, mengapa bila bincang soal kerjasama politik tidak rasmi PN dengan PH, mereka tidak boleh?” ujar Muhammad Faiz lagi.

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392

Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);

KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

CPRC Kebangsaan KKM
Telefon : 03 8881 0200 / 03 8881 0600 / 03 8881 0700
Whatsapp : +60178429454
Email : [email protected]

Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Calon PRU15: Hamid Bador, Musa Hassan, dan bekas Peguam negara antara yang disebut

Dijadikan Pelacur, Dipaksa Makan Lauk Daging Babi

Rajin jemput anak pulang sekolah kerana nak tengok cikgu kacak [VIDEO]

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker