Hamzah pun tak selesa dalam Bersatu – Syed Abu Hussin

Hamzah pun tak selesa dalam Bersatu – Syed Abu Hussin

Ada lima ahli parlimen Bersatu yang sedang ‘menjeruk rasa’ walaupun masih kekal memberikan kepercayaan kepada presiden mereka, Muhyiddin Yassin.

Ahli Parlimen Bukit Gantang, Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, malah mendakwa seorang daripada ahli parlimen terbabit adalah orang yang sangat penting kepada Bersatu.

Bercakap kepada Malaysiakini, Syed Abu Hussin mendakwa, individu terbabit ialah Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainudin.

Alasan yang diberikan Syed Abu Hussin ialah, mereka tidak senang dengan tindakan pemimpin tertinggi Bersatu yang dianggapnya enggan mempedulikan kesulitan setiap ahli parlimen parti terbabit.

“Mereka (lima bekas pemimpin Umno dalam Bersatu) itu tahu apa yang patut dibuat. Mereka tak selesa dengan keadaan sekarang.

“Malah, Larut (Hamzah) sendiri tak selesa sebenarnya, tapi dia terpaksa berada (bertahan) dalam keadaan begitu,” katanya hari ini.

Syed Abu Hussin memberitahu, selain Hamzah, empat lagi ahli parlimen yang sepatutnya segera mengalih sokongan kepada kerajaan ialah Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah), Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah) dan Ronald Kiandee (Beluran).

Mereka memenangi kerusi masing-masing atas tiket Umno-BN pada PRU ke-14 (2018) namun meninggalkan parti berkenaan untuk menyertai Bersatu tidak lama kemudian.

Boleh sumbang tenaga, fikiran

Apabila PRU ke-15 dilangsungkan kelima-lima ahli parlimen terbabit mempertahankan kerusi masing-masing namun pembentukan kerajaan pusat membabitkan PH dan BN menyaksikan mereka menjadi pembangkang.

Dakwaan dibuat Syed Abu Hussin itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan.

Sebelum ini Pengerusi Pasukan Bertindak (Kluster Makanan) Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (Naccol) itu memberi bayangan akan ada lagi ahli parlimen PN – khususnya dari Bersatu – akan bersama-sama kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Untuk rekod selain Syed Abu Hussin, ada lima lagi ahli parlimen yang sudah menyatakan sokongan kepada Anwar. Mereka didahului Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) sebelum diikuti empat yang lain iaitu Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Zahari Kechik (Jeli), dan Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).

Sebelum ini juga ada khabar angin mendakwa hubungan Muhyiddin dan Hamzah adalah dingin. Bagaimanapun mereka sudah menafikan kenyataan tersebut dan Hamzah menegaskan Bersatu teguh menyokong kepemimpinan Muhyiddin.

Menurut Syed Abu Hussin kelima-lima ahli parlimen Bersatu yang masih bersama Muhyiddin perlu membuat keputusan yang sama seperti pernah mereka lakukan selepas PRU ke-14 lalu.

Katanya langkah tersebut wajar dilaksanakan demi mewujudkan suasana politik negara yang stabil.

“Tenaga dan fikiran mereka yang ada idea yang bolehlah dicurahkan dalam kerajaan perpaduan ini,” katanya lagi.

Malaysiakini telah menghubungi Hamzah dan ahli parlimen lain yang dipetik namanya untuk mendapatkan ulasan dan masih menunggu respon daripada mereka.

Sementara itu Syed Abu Hussin berkata bahawa wakil rakyat Bersatu tidak perlu berasa takut walaupun parti terbabit baru-baru ini meluluskan pindaan perlembagaan untuk menyekat wakil rakyat memberikan sokongan kepada kerajaan.

Terpulang jika mahu ke mahkamah

Katanya pindaan itu diharap Bersatu mampu menyekat ahli parlimen menyokong Anwar namun keberkesanannya adalah terhad di sebalik kenyataan Muhyiddin bahawa keahlian mereka tergugur jika kekal bersama kerajaan perpaduan.

Dakwa Syed Abu Hafiz pindaan dan proses tersebut memerlukan masa yang panjang untuk diiktiraf dan dikuatkuasakan.

Pada masa sama dia menegaskan tidak akan melayan sebarang surat yang dihantar Bersatu bagi menyatakan pendirian mereka sama ada kekal bersama kerajaan atau setia dengan arahan Bersatu.

“Kalau mereka hantar surat menyatakan bahawa minta menyatakan pernyataan, pihak kami tak akan buat apa-apa maklum balas.

“Sebab, kami dah nyatakan sokong (Anwar) maka tak perlu kami buat pernyataan lanjut lagi.

“Terpulang kepada parti untuk menentukan apa tindakan yang mereka nak ambil,” katanya.

Syed Abu Hafiz menambah dia dan lima lagi ahli parlimen yang menyokong kerajaan sekarang sedia jika pertikaian itu di bawah ke mahkamah oleh Bersatu.

“Parti boleh bawa isu ini ke mahkamah untuk memutuskan dari segi pentafsiran.

“Bila dia (Bersatu) ke mahkamah, kami enam-enam orang ini akan melantik peguam untuk mempertahankan sama ada pentafsiran itu tepat atau tidak.

“Jadi, perkara itu akan diputuskan oleh mahkamah. Apabila mahkamah telah jelaskan (buat keputusan) dan mereka masih lagi cuba untuk singkirkan kami, isu ini boleh dibawa ke speaker Dewan Rakyat.

“Akhirnya, keabsahan, kelayakan dan kedudukan ahli parlimen akan diputuskan dalam parlimen,” katanya.

Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul
Menurut Syed Abu Hafiz proses menentukan kedudukan mereka mungkin boleh berlanjutan sehingga tiga tahun atau lebih.

Untuk rekod, mengikut perlembagaan pilihan raya kecil (PRK) bagi mana-mana kerusi Dewan Rakyat penggal ke-15 tidak lagi perlu diadakan selepas 19 Dis 2025 dan dibiarkan kosong sehinggalah parlimen dibubarkan untuk memberi laluan kepada PRU ke-16.

Perkara 54(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kekosongan luar jangka sesuatu kerusi parlimen tidak boleh diisi jika ia berlaku dalam tempoh dua tahun dari tarikh akhir terbubarnya parlimen untuk PRU berikutnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Syed Abu Hussin sekali lagi mengulangi dakwaan bahawa masih ada beberapa ahli parlimen Bersatu akan menyatakan sokongan kepada kerajaan.

“Peringkat awal saya katakan lapan orang – termasuk enam daripada kami – yang akan sokong PM. Kemudian (sekarang) ada lagi tiga wakil rakyat yang berpotensi memberikan sokongan,” katanya.

Mendakwa mereka yang masih ‘setia’ belum menyatakan sikap sebab bimbang, Syed Abu Hussin sebaliknya berkata mereka perlu berani demi negara.

“Walaupun pindaan (perlembagaan) dah buat, mereka masih lagi boleh sokong perdana menteri. Kalau ramai-ramai lagi masih ingin sokong, buatlah sekarang,” katanya. Mk

Hamzah pun tak selesa dalam Bersatu – Syed Abu Hussin

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Anggota APM kongsi detik misteri apabila ular sawa ditangkap mengilai

Ramai setuju kedai makan perlu laksana sistem ‘bayar dulu’

Ahli MKT UMNO sokong Presiden MCA berhubung isu SST, mahu kerajaan beri berita gembira

Anak golongan T20, Che Ta nafi keluar kenyataan riak

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker