Israel pisahkan selatan dan utara Gaza

Israel pisahkan selatan dan utara Gaza

Israel terus membedil Gaza dengan serangan bertubi-tubi selepas menyekat akses antara selatan dan utara Gaza, ketika usaha penghantaran bantuan kemanusiaan untuk penduduk Palestin dipergiatkan.

Jurucakap tentera Israel, Daniel Hagari, berkata tenteranya kini mengepung bandar Gaza, yang sudah dipisahkan antara Gaza selatan dan Gaza utara, bagi operasi menggempur seterusnya.



Israel mengedarkan risalah dan menghantar mesej teks menggesa orang awam Palestin di utara Gaza menuju ke selatan, sebelum pengeboman besar-besaran dimulakan.

Namun, seorang pegawai Amerika Syarikat (AS) berkata, sekurang-kurangnya 350,000 orang awam Palestin kekal tersekat di kawasan yang kini mahu dijadikan zon perang bandar kerana tiada akses untuk meninggalkannya.

Israel pula berikrar akan terus menyerang Gaza dalam pertempurannya untuk memusnahkan Hamas, malah sudah meratakan hampir seluruh blok bandar di sesetengah kawasan.

“Pada masa ini, ibu bapa di Gaza tidak tahu sama ada mereka mampu memberikan anak-anak makan hari ini atau menahan lapar sehingga esok,” kata Ketua Program Makanan Sedunia, Cindy McCain.



Menurut tentera Israel semalam, sejak pihaknya menghantar tentera darat ke utara Gaza akhir bulan lalu, lebih 2,500 sasaran kumpulan Hamas diserang oleh angkatan darat, udara dan tentera laut.

Sambungan telefon dan liputan internet diputuskan untuk kali ketiga ketika perang, menurut Paltel, pengendali utama telekomunikasi yang masih bertahan.

Sejurus selepas talian diputuskan, tentera Israel melancarkan pengeboman sengit ke atas Bandar Gaza dan zon berdekatan lain di utara wilayah itu.

Beberapa letupan sangat kuat sehingga boleh didengari di Rafah yang terletak di bahagian selatan, kata seorang wartawan AFP.



Sementara itu, Kementerian Kesihatan Gaza berkata, pengeboman Israel ke atas kem pelarian Al-Maghazi lewat kelmarin mengorbankan 45 orang, dengan saksi melaporkan ramai kanak-kanak maut dan kediaman musnah.

“Serangan udara Israel kena pada rumah jiran saya di kem Al-Maghazi, dengan rumah saya yang di sebelah sebahagiannya runtuh,” kata Mohammed Alaloul, 37, seorang wartawan yang bekerja untuk Agensi Anadolu Turkiye.

Dia memberitahu AFP pengeboman itu mengorbankan empat anaknya, selain empat abangnya serta beberapa anak saudara.

Dalam pada itu, tentera Israel berkata, pihaknya sedang meneliti sama ada tenteranya beroperasi di kawasan itu ketika pengeboman berlaku.



Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken, dijangka berada di Turkiye hari ini, selepas lawatan k beberapa negara Arab bagi membincangkan konflik Israel-Palestin.

Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, secara peribadi menyalahkan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, bertanggungjawab terhadap angka kematian orang awam yang semakin meningkat di Gaza.

Sabtu lalu, Turkiye memanggil balik dutanya ke Israel dan memutuskan hubungan dengan Netanyahu.

Sementara itu, Menteri Luar Perancis, Catherine Colonna, yang melawat Qatar, menggesa ‘gencatan senjata kemanusiaan segera, berpanjangan dan diperhatikan’ yang boleh ‘membawa kepada gencatan senjata’.



Pada hari yang sama, Menteri Luar Mesir, Sameh Shoukry, negara yang bertindak sebagai saluran tunggal bagi warga asing untuk meninggalkan Gaza dan pintu masuk bantuan kemanusiaan, menggesa ‘gencatan senjata segera dan menyeluruh’.

Gesaan dilontarkan oleh beribu-ribu penunjuk perasaan di Washington sebagai solidariti untuk rakyat Palestin, salah satu daripada pelbagai perhimpunan yang diadakan dari Indonesia ke Iran, serta di bandar-bandar Eropah.

Sabtu lalu, beribu-ribu yang lain juga berdemonstrasi di Israel ketika tekanan memuncak ke atas Netanyahu kerana kerajaannya kurang bersedia untuk serangan 7 Oktober dan langkah membebaskan tebusan.

Beratus-ratus berkumpul di luar kediaman Netanyahu di Baitulmaqdis, menggesanya meletak jawatan, manakala di Tel Aviv, saudara mara dan rakan beberapa tebusan melaungkan menggesa tebusan segera dibawa pulang. BH



Israel pisahkan selatan dan utara Gaza

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Wanita jerit ‘Allahu Akbar’ di dalam kereta api ditembak mati polis di Paris

‘Non muslim reading Quran’ trending di TikTok (Video)

Tidak peka nasib Palestin, Fasha Sanda kena cop ‘bodoh’

Mat Coffee kini dibuka, lupakan Starbuck

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker