Jadikan belanjawan lebih realistik, kami akan sokong, kata Mahathir

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad menggesa Putrajaya supaya mengubah suai cadangan Belanjawan 2021 untuk menjadikannya “lebih realistik” dengan berkata, jangkaan pemulihan ekonominya terlalu optimistik.

Dalam catatan di blognya, Mahathir berkata, beliau tidak perlu “dirasuah” supaya menyokong belanjawan itu.

“Kenyataannya ramai orang tidak gembira. Ini ditunjukkan pada reaksi mereka. Saya berharap belanjawan akan diubah suai untuk menjadikannya lebih realistik. Kami akan menyokongnya.

“Kami tidak perlu diberikan rasuah supaya menyokong. Kami tidak mahu menimbulkan krisis,” katanya.



Mahathir juga menyuarakan rasa terpegunnya terhadap belanjawan besar bernilai RM322.5 bilion, sekali gus mempersoal sama ada Malaysia mampu membiayainya.

Beliau berkata, walaupun prestasi industri sarung tangan getah sangat baik semasa penularan wabak Covid-19, namun pencapaian Petronas dan industri pelancongan merosot teruk, selain menambah bahawa 2 industri itu merupakan penyumbang utama kepada hasil kerajaan.

“Industri lain juga merosot teruk. Saya tidak fikir pendapatan dan cukai korporat akan mencecah 2/3 daripada angka biasa pada masa-masa biasa.

“Jangan menjangka bahawa industri baru akan dimulakan semula atau dilancarkan pada 1 Januari. Gambaran indah pemulihan akan berlaku sebaik sahaja pandemik Covid-19 berjaya diatasi tidak akan berlaku. Pandemik itu tidak akan berakhir pada Hari Tahun Baru.”



Beliau berkata, masih terdapat ruang untuk mengurangkan kos operasi dan pembangunan dalam belanjawan berkenaan, dengan menyebut bahawa menteri dan ahli Parlimen diberikan pelbagai elaun.

Mahathir berkata, golongan miskin terkesan teruk oleh pandemik Covid-19 dan perintah sekatan pergerakan menyebabkan ramai yang kehilangan pendapatan atau pekerjaan. FMT

Semua ahli Parlimen BN sokong Belanjawan 2021



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker