Realiti sebalik isu TPM

Realiti sebalik isu TPM

Oleh Bakar Suar

Kenapa Bersatu pimpinan Muhyiddin Yassin tiba-tiba menuntut Ismail Sabri Yaakob melantik timbalan perdana menteri, dan mahu orang yang dilantik itu mesti daripada Bersatu?



Ahli Parlimen Pagoh itu merujuk kepada perjanjian yang ditandatangani beliau dan Ismail dengan Annuar Musa serta Hamzah Zainudin sebagai saksi.

Perjanjian ditandatangani pada 2021, namun hanya sekarang didedahkan Muhyiddin. Tindakan itu mengejutkan bukan saja rakyat, tetapi juga Abdul Hadi Awang, rakan utama Muhyiddin dalam Perikatan Nasional dan tentunya kalangan pemimpin Umno sendiri.

Tindakan itu mungkin untuk memberi tekanan ke atas Ismail atau memberi peringatan tertentu kepada perdana menteri. Namun, ia turut membongkar Bersatu dan Muhyiddin sendiri sebagai kemaruk kuasa – mahukan satu lagi jawatan penting ketika rakyat bergelut dengan pelbagai musibah sara hidup.

Tentunya persoalan segera yang timbul daripada pendedahan tuntutan terbuka kerusi TPM oleh Muhyiddin ialah kenapa Ismail mengikat perjanjian sebegitu dengan orang yang digantinya sebagai perdana menteri. Adakah ia dilakukan tanpa atau dengan pengetahuan pimpinan tertinggi Umno?



Berdasarkan surat perjanjian itu yang bertebaran di media sosial, boleh dirumuskan Muhyiddin bersetuju memberi sokongan PN (termasuk Bersatu dan PAS) untuk Ismail menjadi perdana menteri dengan syarat-syarat tertentu, termasuk kerusi TPM ditentukan oleh Bersatu secara khusus (bukan PAS).

Jika diandaikan Ismail tidak merujuk tawaran Muhyiddin itu kepada Majlis Kerja Tertinggi Umno, maka persoalannya ialah kenapa?

Namun, sebelum menjawab soalan itu, sayugia diingatkan Muhyiddin “diturunkan” sebagai perdana menteri apabila 15 Ahli Parlimen Umno, sepakat menarik balik sokongan terhadap beliau, selepas negara terjunam dalam krisis ekonomi dan kesihatan paling buruk dalam sejarahnya.

Kekosongan jawatan tertinggi itu tentunya diintai Pakatan Harapan, sebagai blok pembangkang terbesar. Malah PH, mempunyai peluang menabalkan Anwar Ibrahim sebagai PM, jika parti lain (seperti PN dan Umno-BN) tidak mencapai kata sepakat.



Meskipun menyedari keadaan sedemikian, Muhyiddin hanya bersedia memberikan sokongan PN kepada Ismail dengan syarat naib presiden Umno itu, antara lain, bersetuju memberikan jawatan TPM kepada Bersatu.

Kita tahu sekarang, selain itu, Muhyiddin juga mahukan jawatan penting setara menteri mentor untuk dirinya.

Bermakna, jika tuntutan-tuntutan itu tidak dipenuhi, Muhyiddin sanggup memberi laluan kepada PH atau parti lain untuk calon mereka menjadi PM baharu.

Adalah jelas, Ismail satu-satunya calon yang boleh “diterima” Muhyiddin berdasarkan pengaruhnya dalam Umno dan prestasi Ahli Parlimen Bera itu sebagai menteri kanan dalam Kabinet beliau selama 17 bulan.



Namun, sukar memahami kenapa Muhyiddin masih meletakkan harga begitu mahal dengan menuntut jawatan-jawatan tinggi untuk memberi sokongan kepada Ismail.

Menerima realiti Muhyiddin musuh utama Umno ketika itu, Ismail berdepan dengan risiko Putrajaya “ditawan” semula oleh PH dan Umno-BN akan terpinggir terus, sekiranya tuntuan Muhyiddin tidak dilayan.

Ismail mempunyai pilihan untuk membawa tuntutan Muhyiddin itu ke MKT Umno, namun sedar, kebarangkalian tinggi, tuntutan itu akan di tolak buat-bulat oleh Ahmad Zahid Hamidi dan rakan-rakan.

Maka, apakah kemungkinan Ismail mengambil keputusan sendiri untuk “akur” dengan tuntutan Muhyiddin dan menurunkan tandatangannya pada “perjanjian persefahaman” yang digubal oleh Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan?



Apakah mungkin Ismail bertindak demikian kerana mahu memastikan PH tidak kembali berkuasa dan, pada masa sama, ‘membeli masa’ untuk menangani tuntutan-tuntutan keterlaluan Muhyiddin, termasuk kerusi TPM?

Kebarangkalian bahawa inilah yang berlaku tidak boleh ditolak sewenang-wenangnya. Ia disokong sedikit sebanyak oleh tindakan Ismail mengikat memorandum persefahaman kerjasama dengan PH yang mengukuhkan sokongan terhadap beliau dalam berdepan dengan sebarang “serang balas” Bersatu dan Muhyiddin.

Apa yang nyata, ialah Ismail masih belum bercadang melantik timbalannya dan tidak ada tanda-tanda beliau berhasrat berbuat demikian.

Meskipun, Muhyiddin dengan penyokongnya memberi tekanan kepada Ismail dengan mendedahkan surat perjanjian berkenaan, naib presiden Umno itu tidak goyah setakat ini.



Beliau masih menerima sokongan agak ‘solid’ dalam dan luar Umno, khususnya dalam menekankan bahawa keutamaannya adalah memulihkan ekonomi negara dan membantu mengawal kos sara hidup yang melambung akibat faktor-faktor persekitaran global.

Setelah Bersatu dan PN pimpinannya kalah teruk dalam PRN Melaka dan Johor, Muhyiddin dan penyokongnya kini menggunakan isu jawatan TPM untuk menyerang Ismail dan Umno demi menyelamatkan parti sendiri sebelum PRU15 berlangsung.

Namun “pendedahan” Muhyiddin akhirnya memakan tuan dan imej Bersatu serta Muhyiddin sendiri tercalar lagi.

Isu sama ada Ismail ‘mungkir janji’ adalah tidak penting berbanding persoalan lebih besar: haruskah perdana menteri tunduk kepada tuntutan-tuntutan politik tidak munasabah yang dibuat Muhyiddin, khususnya dalam keadaan negara sekarang.

Kenapa gelojoh? Apa jadi dengan janji berulang kali Muhyiddin untuk sentiasa mengutamakan kepentingan negara dan rakyat?

Apakah Muhyiddin sekadar menanam tebu dibibir, melontar slogan yang hanya indah khabar dari rupa. Itu antara perkara yang patut direnung beliau. FMT

Realiti sebalik isu TPM


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


SM Faisal tuntut harta sepencarian terhadap bekas isteri

Nora buat pembedahan besarkan payu dara

Yazmin Aziz cium pemain bolasepak Kelantan

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker