Bila pemain badminton negara nak bangkit?



Bila pemain badminton negara nak bangkit?

Harapan menyaksikan sekurang-kurangnya seorang wakil negara menjulang kejuaraan dalam saingan badminton Terbuka Malaysia 2022 di Axiata Arena, Bukit Jalil, di sini, yang berakhir semalam tidak kesampaian lagi.

Selepas kurang menyerlah dalam beberapa kejohanan Jelajah Dunia Super 750 BWF sebelum ini termasuk terakhir Terbuka Indonesia dan Masters Indonesia, harapan menyaksikan wakil Malaysia bangkit di laman sendiri jelas sangat didambakan peminat sukan badminton negara.

Namun harapan tinggal harapan. Tiada kebangkitan mampu dilakukan meskipun itulah yang kerap dilaungkan oleh wakil negara setiap kali pulang awal daripada beberapa kejohanan terdahulu.

Sebaliknya episod sama kembali berulang. Namun mungkin lebih teruk dari sebelumnya hingga menimbulkan tandatanya mengenai prestasi sebenar pemain negara ketika ini tatkala harapan peminat badminton terhadap mereka masih terus menyala.




Terbuka Malaysia kembali dipertandingkan di Bukit Jalil selepas dua edisi dibatalkan angkara pandemik COVID-19 dan kejohanan Jelajah Dunia Super 750 BWF itu pastinya dinanti-nantikan seluruh peminat sukan badminton tanahair.

Begitupun, sejak membuka tirai di Axiata Arena pada 28 Jun lalu, satu demi satu wakil negara tidak kira di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mahupun profesional tumbang di hadapan penyokong sendiri.

Pada hari pertama saingan saja, daripada 13 wakil negara, hanya lima berjaya melangkah ke pusingan seterusnya meskipun ada perlawanan yang membabitkan pertembungan sesama wakil negara.

Antaranya, gandingan Soon Huat-Shevon Lai yang bertemu Tan Kian Meng-Lai Pei Jing sebelum menewaskan rakan sepelatih mereka itu, 21-18, 19-21, 21-18. Bagi kedua-dua pasangan ini, undian seperti ini sering berlaku dan ia mengehadkan kemaraan wakil negara ke pusingan seterusnya.

Hari kedua, lima daripada wakil negara mara ke pusingan seterusnya, menyaksikan perlawanan ditunggu-tunggu membabitkan perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia yang sebelum itu dihimpit kontroversi susulan keputusannya menarik diri mewakili negara di Sukan Komanwel Birmingham 2022 bagi memberi tumpuan kepada Kejohanan Dunia di Jepun.




Dua kejohanan terakhir Zii Jia sebelum ini di Jakarta menyaksikan dia mara sehingga suku akhir Masters Indonesia sebelum terkandas di separuh akhir Terbuka Indonesia. Sebelum itu, dia berjaya merekodkan dua gelaran apabila mengungguli Kejohanan Badminton Asia (BAC) di Manila, Filipina dan Terbuka Thailand di Bangkok.

Zii Jia berjaya melepasi rintangan awal Terbuka Malaysia, apabila mudah menewaskan wakil Ireland, Nhat Nguyen 21-15, 21-11 sekali gus menghapus badi tewas pusingan pertama seperti edisi 2019. Namun perjalanan pemain ranking kelima dunia itu terhenti di pusingan kedua di tangan pemain Indonesia, Shesar Hiren Rhustavito 19-21, 21-19, 16-21.

Detik itu tentunya tidak dimahukan Zii Jia mahupun penyokongnya apatah lagi harapan untuk menggenggam gelaran amat ditagih peminat badminton tanahair selepas kali terakhir dimenangi Datuk Lee Chong Wei pada edisi 2018.

Sebelum itu, beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah turut mengecewakan apabila ditunjukkan jalan keluar di pusingan kedua selepas tunduk kepada pasangan China, Zhang Shu Xian-Zheng Yu 19-21, 15-21.

Dalam masa sama, beregu lelaki profesional negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin pula cemerlang apabila menumbangkan juara Sukan Olimpik Tokyo 2020, Wang Chi Lin-Lee Yang dari Taiwan di pusingan kedua. Namun mereka juga gagal meneruskan kemaraan selepas itu.




Tumpuan kemudian beralih kepada pasangan beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin selepas mereka berjaya lolos ke pusingan seterusnya sehinggalah ke pentas separuh akhir kelmarin.

Namun harapan sekali lagi tinggal harapan apabila kedua-duanya tewas di tangan lawan masing-masing. Aaron-Wooi Yik tunduk kepada pilihan kedua dari Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi 21-23, 9-21 manakala gandingan Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto mudah menjinakkan Sze Fei-Izzuddin 21-14, 21-12.

Justeru itu, harus ada sesuatu yang perlu difikir dan diteliti bagi mengatasi permasalahan yang timbul dikalangan pemain. Tidak kiralah di bawah naungan BAM ataupun sebaliknya terutama ketika sesuatu kejohanan itu berlangsung di laman sendiri.

Bagi Pengarah Kejurulatihan Beregu BAM, Rexy Mainaky, ‘badi’ kekalahan di peringkat separuh akhir ataupun final sesuatu kejohanan dialami kem beregu ketika ini amat memeningkan mereka.

“Saya tidak tahu apa yang bermain dalam fikiran mereka. Hal ini kerana kita dapat lihat mereka mampu menewaskan pemain lebih hebat pada awal saingan, namun pada peringkat separuh akhir tewas.




“Situasi ini pernah berlaku pada Aaron-Wooi Yik pada Terbuka Indonesia lalu dengan tewas di separuh akhir menyebabkan kita perlu melakukan sesuatu dengan segera. Mereka perlu jujur dan berterus terang kepada saya apa yang mereka fikirkan sebaik saja melangkah ke separuh akhir kerana kita mahu mencari jawapan atau cara terbaik bagi mengatasi masalah itu,” kata Rexy.

Apapun, pemain Malaysia masih mempunyai ruang untuk menebus semula kekecewaan di hadapan penyokong sendiri pada kejohanan Masters Malaysia yang dijadual berlangsung di venue sama, bermula esok. BH

Bila pemain badminton negara nak bangkit?


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Mat Kilau kutip RM39j dalam 10 hari

Bantuan Keluarga Malaysia mungkin dinaikkan – PM

Jada Pinkett Smith Akui Ketagih Melakukan Onani Berkali-kali Dalam Sehari

Bila pemain badminton negara nak bangkit?



Leave a Reply

Your email address will not be published.