Hanya Allah tempat bermohon

Hanya Allah tempat bermohon

oleh Mohd Shahrizal Nasir

Perkataan ‘meminta’ dengan ‘meminta-minta’ membawa konotasi makna yang berbeza. Tidak salah sekiranya kita dibenarkan untuk meminta atau memohon sesuatu yang diingini apatah lagi perkara tersebut diperlukan dalam kehidupan.



Seorang anak boleh meminta sesuatu yang diperlukan daripada orang tuanya. Seorang pekerja juga dibenarkan untuk meminta sesuatu yang diperlukan daripada majikannya. Mintalah daripada orang lain selagi permintaan itu masih berada dalam ruang lingkup yang dibenarkan oleh syarak.

Manakala ‘meminta-minta’ merujuk kepada perbuatan yang dilakukan berulang kali tanpa berputus asa. Perbuatan ini jika dilakukan kepada orang lain boleh menimbulkan suasana tidak baik malah boleh menjatuhkan air muka atau maruah sendiri. Ada kemungkinan perbuatan ‘meminta-minta’ berlaku apabila diri sebenarnya tidak layak untuk mendapat bantuan atau permintaan tersebut telah melampaui batasan yang sepatutnya.

Rasulullah SAW menggalakkan umatnya berusaha untuk mendapatkan sesuatu yang diinginkan termasuk berkaitan rezeki. Setiap Muslim perlu berusaha dengan kudratnya sendiri untuk mendapat rezeki kurniaan Allah SWT.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Salah seorang daripada kamu yang keluar pada waktu pagi lalu memikul kayu di atas belakangnya untuk dijual, lalu dia mengeluarkan sedekah sebahagian daripada jualan kayu dan dengan (baki wang) itu dapat mencukupkan dirinya sehingga dia tidak perlu meminta kepada orang lain, adalah lebih baik baginya daripada meminta kepada seseorang (yang tidak pasti) diberi atau ditolak. Demikian itu, tangan yang di atas lebih baik daripada tangan yang dibawah. Mulai dengan orang yang ada dalam tanggunganmu.” (Hadis riwayat Muslim)



Selain itu, Rasulullah SAW turut memberi jaminan syurga kepada orang yang menjauhkan diri daripada perbuatan meminta-minta. Daripada Thauban yang merupakan pembantu Rasulullah SAW, dia berkata: “Rasulullah SAW bersabda: Siapakah yang boleh memberi jaminan kepadaku bahawa dirinya tidak akan meminta-minta sesuatu pun daripada orang lain, dan aku menjaminnya masuk syurga?” Lalu Thauban berkata: “Saya!” Dan Thauban tidak pernah meminta-minta sesuatu pun daripada orang lain.” (Hadis riwayat Abu Dawud)

Nasihat Rasulullah SAW agar umatnya tidak melakukan perbuatan meminta-minta turut dijelaskan dalam hadis baginda yang memerintahkan Abu Dzar melakukan tujuh perkara penting. Satu daripada perkara tersebut ialah tidak meminta-minta daripada orang lain.

Menurut Abu Dzar: “Tujuh itu ialah mencintai golongan miskin dan dekat dengan mereka, memperhatikan orang yang berada di bawahku dan tidak melihat sesiapa yang berada di atasku, menyambung tali silaturahim (yang masih ada hubungan saudara) meskipun saudara tersebut bersikap kasar, tidak meminta-minta daripada seorang pun, mengatakan yang benar meskipun ia pahit, tidak takut terhadap celaan ketika berdakwah di jalan Allah, memperbanyakkan ucapan ‘La hawla wa la quwwata illa billah’ kerana kalimat ini termasuk simpanan di bawah ‘Arsy.” (Hadis riwayat Ahmad)

Larangan meminta-minta perlu dijauhkan tatkala diri sebenarnya berada dalam keadaan tidak memerlukan. Ada orang yang sanggup meminta-minta sedangkan dirinya tidak layak untuk menerima bantuan. Inilah antara perkara yang perlu diberi perhatian oleh setiap Muslim. Pada musim tertentu seperti banjir, penularan wabak dan seumpamanya akan banyak bantuan dihulurkan kepada golongan yang memerlukan. Pada masa sama terdapat segelintir manusia yang sanggup meminta-minta walaupun diri mereka tidak layak menerima bantuan.



Rasulullah SAW bersabda tentang golongan yang meminta-minta sedangkan dirinya tidak sepatutnya melakukan perbuatan tersebut. “Barang siapa yang meminta-minta padahal dia tidak fakir maka seakan-seakan dia memakan bara api.” (Hadis riwayat Ahmad)

Begitu juga perbuatan meminta-minta daripada orang lain dengan tujuan untuk mengumpul pendapatan atau memiliki harta yang banyak. Hal ini sungguh memalukan kerana sanggup memperdayakan orang lain untuk kepentingan sendiri. Rasulullah SAW memberi amaran terhadap golongan tersebut menerusi hadis baginda yang mafhumnya: “Barang siapa meminta-minta kepada orang lain dengan tujuan untuk memperbanyakkan kekayaannya, sesungguhnya dia telah meminta bara api; terserah kepadanya, apakah dia akan mengumpulkan sedikit atau memperbanyakkannya.” (Hadis riwayat Muslim)

Islam sangat mementingkan maruah setiap insan. Perbuatan meminta-minta boleh menyebabkan wujud golongan yang akan dihina atau dimalukan masyarakat. Oleh itu, Islam menganjurkan umatnya yang berkemampuan sentiasa prihatin terhadap nasib orang lain yang berada dalam kesusahan.

Pensyariatan zakat dan galakan agar setiap orang bersedekah adalah satu bukti jelas bahawa Islam telah menetapkan agar golongan yang memerlukan akan sentiasa mendapat bantuan daripada saudara seagama Islam. Tidak perlu orang fakir meminta-minta kerana sememangnya hak mereka telah ditetapkan oleh Islam.



Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang bermaksud: “Dan mereka (yang menentukan bahagian) pada harta-hartanya, menjadi hak yang termaklum. Bagi orang miskin yang meminta-minta dan orang miskin yang menahan diri (daripada meminta-minta). Dan mereka yang percayakan hari pembalasan (dengan mengerjakan amal-amal yang soleh sebagai buktinya).” (Surah al-Ma’arij, ayat 24-26)

Pada hari akhirat kelak, orang yang meminta-minta daripada orang lain turut akan berdepan dengan keadaan yang tidak baik. Ini adalah satu gambaran benar agar setiap umat Islam menjaga diri daripada melakukan perbuatan meminta-minta sedangkan diri tidaklah berada dalam keadaan yang memerlukan. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Seseorang yang selalu meminta-minta kepada orang lain, di hari kiamat dia akan menghadap Allah dalam keadaan tiada sekerat daging sama sekali pada wajahnya.” (Muttafaq ‘alaih)

Dari satu sudut pula, umat Islam dianjurkan untuk meminta malah boleh meminta-minta kepada Allah SWT. Inilah bukti jelas kebergantungan seseorang hamba kepada Allah SWT yang sentiasa berharap kepada bantuan serta pertolongan daripada Dia yang Maha Berkuasa dan Maha Pemberi Rezeki.

Tiada sebarang sekatan kepada setiap Muslim untuk meminta-minta kepada Allah SWT selagi perkara tersebut dibenarkan oleh syarak. Allah SWT membuka pintu rahmat-Nya dengan seluas-luasnya agar setiap Muslim meminta kepada-Nya. Manakala orang yang sombong dan tidak mahu meminta kepada Allah SWT akan mendapat kehinaan di ahirat kelak.



“Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepada-Ku, akan masuk ke dalam neraka Jahanam dalam keadaan hina.” (Surah Ghafir, ayat 60) HM

Penulis Pensyarah Pusat Pengajian Bahasa Arab, Fakulti Bahasa Dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Hanya Allah tempat bermohon


Baca Artikel Menarik:



Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Nabila Huda tinggalkan Melodi

Mat Kilau : Syamsul Yusof beri amaran

Elaun RM4,733 tak cukup

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker