Anak muda tak kenal calon

Oleh Rohana Man

SHAH ALAM – Tidak kenal calon dikenal pasti antara faktor anak muda yang buat pertama kali mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tidak tahu dan keliru dalam membuat pemilihan calon yang bertanding.

Tinjauan MyTV Online dalam kalangan anak muda berusia antara 18 hingga 25 tahun di beberapa lokasi sekitar Kompleks PKNS, Seksyen 11 dan Seksyen 16 mendapati kebanyakan daripada mereka masih belum membuat keputusan untuk memilih calon.



Malah ada anak muda yang ditemui berkata, mereka hanya akan membuat pilihan sehari dua sebelum hari membuang undi pada 19 November ini.

Bagaimanapun apabila ditanya tentang pilihan parti, keputusan yang diperoleh daripada tinjauan rambang ini mendapati wujud persaingan sengit antara parti Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

Nu’aim Mubaarak Abd Rahman, 25, berkata, beliau mengambil keputusan untuk mengundi parti pilihan iaitu BN.

Sebagai anak muda, katanya, beliau lebih yakin dengan kemampuan BN dalam membawa hala tuju yang menguntungkan golongan muda.



“Saya tengok ramai calon terdiri daripada anak muda dan tentunya mereka lebih memahami kehendak golongan muda,” katanya yang akan mengundi di Klang.

Adam Aiman Muhammad Razlan, 23, berkata, sebagai anak muda beliau tertarik dengan perancangan dan usaha yang akan dilakukan BN jika menang PRU15.

“Anak muda dan internet tidak dapat dipisahkan.

Tawaran BN untuk menyediakan 100 peratus liputan internet di seluruh negara dalam masa 30 bulan menarik minat saya untuk mengundi BN,” katanya.



Beliau mengakui teruja dengan tawaran calon BN di Parlimen Shah Alam, Isham Jalil yang akan berusaha menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada golongan muda.

“Pandemik Covid-19 menyaksikan ramai anak muda hilang pekerjaan.

Masih ramai terkapai-kapai mencari pekerjaan.

“Justeru, tawaran Isham dalam mengatasi masalah pengangguran dalam kalangan orang muda menarik minat saya untuk menyokong beliau dalam PRU15 ini,”tambahnya.



Shakila Muhammad,18, berasal dari Kampung Slow Temiang, Kuala Krai, Kelantan, berkata, beliau akan balik ke kampung pada 15 November ini untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

Ditanya calon yang bagaimana menjadi pilihan, katanya, setakat hari ini, beliau belum membuat keputusan kerana tidak kenal calon yang bertanding.

“Tak tahu nak pilih siapa. Ini kali pertama saya mengundi. Nanti dah sampai kat kampung, baru saya buat keputusan,” ujarnya yang enggan dirakamkan gambarnya.

Nazirah Mustaffa, 25, yakin PN akan membawa perubahan besar dalam membela nasib golongan muda yang masih tidak mempunyai pekerjaan tetap.



“Saya tidak pasti tetapi mungkin saya pilih PN.

Lagipun, sekarang banyak calon bertanding, susah juga nak buat pilihan,” katanya yang akan mengundi di Petaling Jaya.

Rabieah Omar,30-an berkata, beliau akan pulang ke kampung di Ayer Keroh, Melaka untuk mengundi tetapi masih tidak tahu calon yang menjadi pilihan.

“Insya-Allah, saya akan balik mengundi dan tentang pilihan calon, saya pilih sesiapa sahaja calon yang mampu membantu golongan muda keluar daripada kemelut pengangguran.



Pada PRU14, beliau mengundi parti PAS kerana ketika itu, BN meletakkan calon agak berusia.

“Ketika saya ternampak calon BN berkempen, terus terdetik dalam hati saya, “ehhh tuanya, boleh ke dia buat kerja”, katanya yang kemudian tidak jadi mengundi calon BN terbabit.

Rakannya yang hanya mahu dikenali Jaja,26, berkata, beliau akan mengundi di Gombak dan akan mengundi PN yang meletakkan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai calon.

“Sebenarnya, saya tidak pasti nak pilih calon mana, tetapi gerak hati saya lebih kepada Azmin,” katanya yang tidak memberikan sebab kenapa memilih penyandang kerusi Parlimen Gombak itu.

Pada PRU14, Azmin menang di kerusi itu dengan majoriti 48,721 undi.

Muhammad Haziq Mohd Shafawi,24,dengan pantas menjawab pertanyaan penulis dengan berkata, “BN”.

Menurutnya, hanya BN mampu membawa perubahan besar dalam menentukan masa depan anak muda yang lebih cerah dalam bidang perniagaan.

Katanya, BN kini tidak sama dengan BN dahulu yang dimonopoli calon berusia atau ‘orang lama’.

“Pilihan calon BN bagi PRU15 adalah seimbang antara orang lama dan orang muda.

“Tapi saya lihat, lebih banyak anak muda yang dipilih sebagai calon dan saya yakin, mereka mampu membantu golongan peniaga yang masih bertatih dalam perniagaan seperti saya,” katanya yang membuka Sweet Cotton Trading iaitu perniagaan menjual tuala, sampin songket dan lain-lain di Kompleks PKNS sejak 2020.

Dua rakan kongsinya, Muhammad Fadhil Jamaluddin, 24, dan Harith Luqman Zulkarnain,23, turut tertarik dengan tawaran calon Parlimen Shah Alam, Isham Jalil pada PRU15 ini.

“Insya-Allah, kami anak muda menyokong beliau,” katanya ringkas.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker