Anwar kembali ke PWTC selepas 24 tahun

Anwar kembali ke PWTC selepas 24 tahun

Selepas 24 tahun, Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali menjejakkan kakinya ke Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini, yang menempatkan pejabat bekas partinya, UMNO.

Presiden PKR itu hadir ke WTCKL, atau nama asalnya PWTC (Pusat Dagangan Dunia Putra), sempena Majlis Peluncuran Buku Kombo Merdeka 65 Tahun karya Sasterawan Negara, Datuk Seri A Samad Said, terdiri daripada novel Salina, Langit Petang dan Hujan Pagi.



Majlis yang disempurnakan oleh Ketua Pembangkang itu adalah bersempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL), yang berlangsung selama 10 hari sejak 3 Jun lalu dan berakhir hari ini.

Anwar yang datang bersama isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, hadir ke majlis itu sebagai Pengerusi Emeritus Institut Antarabangsa Pemikir Islam.

PWTC kerap dikunjungi Anwar dan Dr Wan Azizah ketika masih bersama UMNO kira-kira 24 tahun lalu, malah bangunan itu kerap menjadi medan perbahasan Anwar ketika Perhimpunan Agung UMNO (PAU), yang menjadikan PWTC sebagai lokasi penganjurannya setiap tahun.

Namun pada 1998, Anwar yang ketika itu memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO, dipecat daripada kedua-dua jawatan itu oleh Tun Dr Mahathir Mohamad atas dakwaan pelbagai salah laku.



Insiden itu mencetuskan permulaan permusuhan yang panjang antara Anwar dan UMNO, serta membawa kepada penubuhan PKR.

Ketika ditanya mengenai perkara itu, Anwar pada sidang media enggan melihat kehadirannya ke PWTC sebagai kembali ke pejabat UMNO, sebaliknya sekadar menganggapnya sebagai ‘kembali menghadiri pesta buku’.

Namun, beliau mengakui ada terkenang nostalgia lampau, khususnya ketika berucap di PAU serta beberapa lokasi di bangunan itu yang kerap menjadi tempat beliau berborak dengan ahli UMNO ketika masih menjadi ahli parti itu.

“Ya, ada terkenang (ketika berucap di Dewan Merdeka). Wan Azizah ada tunjukkan gambar (saya). Di sini juga ada beberapa tempat saya kerap berborak dulu,” katanya. BH



Anwar kembali ke PWTC selepas 24 tahun


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Nasi lemak berlauk tahi ikan bilis



Janna Nick bangga, fenomena Gatal jangkiti PSY

BBQ meletup ketika berkelah bikin ramai terkejut (Video)



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker