5 yatim piatu mahu ‘lawan’ pemandu rempuh ibu bapa

5 yatim piatu mahu ‘lawan’ pemandu rempuh ibu bapa

Keluarga Khairizul Mohamad Noor dan Zuriana Hasan yang meninggal dunia selepas dirempuh pemandu yang dikatakan memandu bawah pengaruh alkohol, akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pemandu terbabit November ini.

Bapa Zuriana, Hasan Ismail berkata, keluarganya sudah mendapatkan peguam bagi menuntut keadilan atas kematian anak dan menantunya.

“Kami rasa macam tak adil…mungkin lepas kami dah bawa kes ni ke mahkamah akan ada hukuman yang setimpal.

“Kita lawan November ini. Kami dah hantar surat,” katanya kepada FMT.

Dalam kemalangan 9 Feb 2020, Khairizul, 38, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan, selepas motosikal yang ditunggang bersama Zuriana, 35, dilanggar di KM140.2 Lebuhraya Utara Selatan menghala ke , dekat susur keluar Perai.

Ketika itu, Ketua Polis Seberang Perai Tengah, Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, ujian pernafasan mendapati lelaki tersebut memandu di bawah pengaruh alkohol, menurut laporan Sinar Harian.

Zuriana menghembuskan nafas terakhir selepas dua bulan bertarung di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Seberang Jaya, menyebabkan lima anaknya menjadi yatim piatu.

Menurut ahli keluarga, makluman terakhir daripada polis memberitahu pemandu itu dibebaskan dengan jaminan polis.

FMT telah menghubungi polis untuk perkembangan terkini kes ini.

Hasan berkata, pemandu yang melanggar anak dan menantunya sudah dimaklumkan mengenai saman yang akan difailkan.

Pihaknya mahu membawa kes itu ke mahkamah sejak awal lagi, tetapi tertangguh kerana perintah kawalan pergerakan (PKP).

“Pembiayaan (kes) adalah atas pihak keluarga sendiri,” katanya.

Jiwa anak tak tenang

Kehilangan ibu bapa dalam sekelip mata masih dirasai oleh Nur Afni Khairizul, 18, dan empat adiknya, Nur Istna Nadira, 15, Nur Erna Nabila, 13, Nur Qurratul Ain, 8, dan Muhammad Khairi Zafran, 3. Mereka berlima kini dijaga oleh datuk dan nenek di Butterworth, Pulau Pinang.

Anak sulung daripada lima beradik itu, Afni berkata, pemandu yang menyebabkan kematian ibu bapanya tidak pernah menemui keluarganya sehingga kini.


Kenangan terakhir Khairizul Mohamad Noor dan Zuriana Hasan bersama lima anak mereka ketika menyambut Aidilfitri.

“Sampai sekarang, orang langgar abah dan mama tak datang minta maaf. Dia diam macam itu sahaja.”

Beliau berkata, jiwanya tidak tenang selagi kematian ibu bapanya tidak mendapat pembelaan sewajarnya. Beliau masih sukar memaafkan perbuatan individu terbabit.

“Andai kata dia tampil mohon maaf, kami masih tak tahu sama ada nak maafkan atau tidak, agak perit untuk memaafkan.”

Kenangan hari raya

Bagi Hasan dan isterinya, Asma Laili Muhammad, 60, kenangan bersama Zuriana, lebih-lebih lagi ketika Aidilfitri tidak pernah luput daripada ingatan dan kerinduan terhadap arwah kian menebal.

Hasan berkata, setiap kali menjelang Aidilfitri, Zuriana adalah antara yang paling teruja membuat persiapan raya.

“Memang sentiasa ingat dia. Bila bulan puasa, arwah akan datang rumah tok dan wan (ibu dan ayah) buat kuih raya. Kalau arwah masih hidup, pasti dia yang paling teruja,” luahnya dalam nada sebak. FMT

5 yatim piatu mahu ‘lawan’ pemandu rempuh ibu bapa


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


‘DINA’, ‘MIRA’ dan ‘J3H3’ disita

Misteri duit syiling timbul di permukaan tanah

Hilang ibu bapa berselang 12 jam di Aidilfitri

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker