Ahli UMNO perlu walak, sokong calon BN-PH untuk kerjasama yang lebih kekal

 

KONVENSYEN Nasional Kerajaan Perpaduan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada 14 Mei lalu berakhir dengan 19 buah parti bersepakat untuk menoktahkan permusuhan di antara mereka demi menjamin kestabilan politik di negara ini.

Hakikatnya, kejayaan konvensyen itu belum memadamkan keraguan bahawa gandingan koalisi mega di antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bagi mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam buah negeri kelak, mungkin tidak menghasilkan keputusan seperti diharapkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.



Ditambah tekanan daripada Perikatan Nasional (PN) yang berjaya menguasai segmen pengundi Melayu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), terdapat kebimbangan gandingan BN-PH gagal mencapai kata putus dalam isu pembahagian kerusi pilihan raya, sukar menjayakan proses pemindahan undi di antara penyokong BN-PH serta timbul tanda tanya peranan parti-parti komponen BN terutama MCA pada PRN di enam buah negeri berkenaan.

Bagi menjawab persoalan itu, wartawan Sinar Ahad, KHAIRIL ANWAR MOHD AMIN dan LIZA MOKHTAR berkesempatan bertemu Setiausaha Agung BN, DATUK SERI DR ZAMBRY ABDUL KADIR bagi menyelami peluang BN-PH mendepani PRN enam negeri itu, peranan BN di mata Anwar serta cabaran tugasan beliau sebagai Menteri Luar sejak enam bulan lalu.

SINAR AHAD: Datuk Seri, apa jaminan kejayaan Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan pada Ahad lalu akan memberi refleksi positif kepada BN mahu pun Kerajaan Perpaduan untuk mencapai keputusan cemerlang pada PRN di enam negeri kelak?

ZAMBRY: Ia merupakan satu sejarah, di mana hasil daripada persefahaman yang dibuat di peringkat awal untuk membentuk Kerajaan Perpaduan.



Natijah daripada pembentukan kerajaan itu dapat dirasai oleh setiap rakyat dan pendukung parti, berlaku pada Ahad lalu.

Pertemuan yang berlaku itu, merupakan satu pertemuan bersejarah kerana semua pendukung parti di peringkat atasan dan di peringkat bawahan, di peringkat negeri, di peringkat bahagian termasuk juga Parlimen datang berkumpul bersama dengan membawa satu hasrat bersama, dengan memakai pakaian yang simbolik, iaitu pakaian putih, yang mencirikan matlamat bersama.

SINAR AHAD: Merujuk kepada konvensyen, terdapat beberapa kenyataan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menarik perhatian umum. Antaranya beliau menyatakan BN dan UMNO adalah pelengkap dalam Kerajaan Perpaduan dan membayangkan BN akan membantu mempertahankan kerajaan pimpinan Anwar melangkaui PRU15. Adakah ini bermaksud BN tiada political fire untuk kembali mentadbir Putrajaya sebagai peneraju kerajaan?

ZAMBRY: Kita perlu ambil dalam konteks kerjasama yang baharu, soal ada dominan, siapa kumpulan mana. Ia akan ditentukan bagaimana kita membawa kerjasama yang ada pada hari ini, kerana pembentukan kerajaan yang ada ini adalah merupakan sebuah bentuk kerjasama atas nama Kerajaan Perpaduan.



Namun tidak boleh kita nafikan, kemungkinan terbentuknya kerjasama yang lebih kekal untuk satu jangka masa panjang di masa akan datang.

Ia bergantung kepada sejauh mana kita dapat membawa, menjaga kerajaan yang ada ini dengan kestabilan dan juga dengan semangat kerjasama untuk membangunkan negara. Kalau ia dapat dijaga dengan baik, bermakna kita akan dapat bergerak bersama-sama.

Seterusnya, apakah bentuk kerjasama yang ada? Kerjasama yang mahu dilakukan mestilah berdasarkan kepada kesemuanya ada ciri-ciri kebersamaan dan dalam konteks inilah kalau kita lihat semula, apabila BN ditubuhkan, ia bukan ditubuhkan atas nama satu parti.

Ia ditubuhkan atas nama 11 parti yang berasaskan kesemua parti perlu duduk bersama untuk menyongsong masa depan. Terdapat 11 parti di waktu itu, parti dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak, pada tahun 1974.



Selepas peristiwa 1969, ini telah membentuk satu gagasan baharu politik negara, dengan terbentuknya BN. Ramai yang mungkin merasakan BN hanya satu parti tetapi sebenarnya BN terdiri daripada 11 parti kemudian menjadi 14 parti.

Hasil daripada gabungan pelbagai parti itulah, kita dapat membentuk negara kita, mentadbir negara kita untuk satu tempoh panjang.

Pada kali ini kita berhadapan satu realiti yang baharu dan saya merasakan bahawa dengan adanya kerjasama yang kita catatkan kali ini, ia memungkinkan akan terbentuknya satu bentuk kerjasama baharu, di mana kita akan melihat bukan lagi soal, siapa yang akan pegang apa tetapi bagaimana kita dapat membentuk persefahaman itu untuk masa akan datang.

SINAR AHAD: Apa faktor penentu memastikan koalisi sekarang mampu membentuk kerjasama rasmi?



ZAMBRY: Salah satu perkara yang sangat mustahak perlu ada mekanisme. Mekanisme pertama adalah dengan mewujudkan Majlis Perundingan Pemimpin, yang sekarang ini dipimpin atau dipengerusikan oleh Perdana Menteri sendiri dan diwakili oleh parti-parti yang berada di dalam koalisi. Kita lihat, ia berjalan dengan baik.

Ini sangat mustahak kerana majlis perundingan kepimpinan di peringkat tertinggi itu adalah merupakan teras utama bagaimana kita dapat mentadbir negara ini.

Apa yang perlu dilakukan sekarang adalah diperkukuhkan lagi di peringkat negeri, perlu melaksanakan struktur yang sama termasuk juga di peringkat Parlimen yang ada.

SINAR AHAD: Apa sebenarnya peranan lebih besar yang harus dilaksanakan oleh Perdana Menteri kepada BN bagi memastikan kestabilan kerajaan ini akan berkekalan hingga habis penggal?



ZAMBRY: Paling penting, dari segi kita dapat saling menghargai antara satu sama lain. Jangan ada sifat merasakan bahawa ada masters and slaves (tuan dan hamba), atau hubungan antara kelompok majoriti dan minoriti.

Ini kerana kita tahu pembentukan kerajaan merupakan satu proses pembentukan yang saling lengkap-melengkapi antara satu sama lain.

Bilangan apa pun yang kita bicarakan, bilangan yang kecil itu kalau tidak melengkapkan kepada bilangan yang besar, tidak akan membolehkan pembentukan kerajaan itu.

Oleh kerana itu, saya dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid selaku Pengerusi BN menghargai pengiktirafan yang diberikan oleh Perdana Menteri akan kebersamaan dan kesediaan BN untuk menjadi sebahagian daripada pembentukan Kerajaan Perpaduan itu.

Perdana Menteri tahu, tanpa dukungan 30 ahli Parlimen BN tentunya agak sukar membentuk kerajaan ini, dan demikian juga dengan sokongan parti-parti lain dari Sarawak (Gabungan Parti Sarawak), Sabah (Gabungan Rakyat Sabah), Parti Warisan dan rakan-rakan lain yang turut bersama-sama dan memberikan kekuatan kepada jumlah sehingga menjadi sebanyak 148 kerusi.

Tetapi, asasnya kembali kepada bagaimana usaha untuk membentuk di peringkat awal, daripada 82 tambah 30 menjadi 112, diikuti rakan daripada GPS masuk bersama, dan rakan GRS, Warisan serta Bebas.

SINAR AHAD: Adakah ini bermakna BN berpuas hati dengan peranan atau peruntukan yang diberikan di peringkat kerajaan?

ZAMBRY: Ia berdasarkan apa yang disepakati, dan apa yang disepakati itu telah dipenuhi berdasarkan perjanjian-perjanjian awal.

Dalam masa sama, proses kita mentadbir, bersama itu juga dipenuhi.

Ini bermakna Perdana Menteri tidak mengesampingkan kita dalam proses membuat keputusan.

Proses pentadbiran secara bersama dan demikian juga dalam soal pelantikan bukan hanya di peringkat persekutuan tetapi juga di peringkat negeri dan sebagainya.

SINAR AHAD: Adakah Datuk Seri setuju jika kerjasama di peringkat negeri termasuk Sabah dan Sarawak juga perlu kesamarataan?

ZAMBRY: Ya, pembahagian berdasarkan pembentukan kerajaan itu sendiri, sehingga kini kita tidak ada mendengar keluhan-keluhan daripada segi peruntukan.

Mungkin kita perlu perbaiki aspek-aspek lain, yang barangkali memerlukan penambahbaikan daripada segi pelantikan-pelantikan di peringkat awal (yang belum dibuat pun lagi).

Ada pelantikan umpamanya di peringkat negeri, di peringkat lantikan ketua-ketua kampung dan sebagainya, belum disempurnakan lagi.

Itu juga turut diambil kira dalam soal memberikan keadilan kepada semua parti-parti gabungan yang ada.

SINAR AHAD: Sekiranya formula status quo menjadi pilihan rundingan, terdapat sejumlah 38 kerusi DUN di Kelantan, Terengganu (22 DUN), dan lima kerusi DUN masing-masing di Kedah dan Selangor yang dianggap sebagai kerusi bertindih di antara BN-PH dan memerlukan kesepakatan kedua-dua koalisi untuk diselesaikan. Apa kaedah diguna pakai untuk menyelesaikan isu kerusi bertindih ini?

ZAMBRY: Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan telah diberi tanggungjawab untuk menjadi ketua perunding dan pengarah pilihan raya dalam soal pembahagian kerusi dengan pihak PH dan ia telah dibincangkan.

Dari segi kesulitan perbincangan itu, saya fikir tidak timbul. Tidak nampak begitu sukar kerana kita bergerak atas asas-asas yang ada.

Jumlah kerusi yang ada, tetapi dalam masa sama kita harus ingat, untuk memastikan supaya berlakunya agihan yang baik, dan kedudukan parti-parti yang ada dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan ini dapat diagihkan.

Sebagai contoh, ada kawasan yang kita lihat, kedudukan kerusi yang terlalu besar untuk satu parti sahaja dan ia akan mengakibatkan semangat Kerajaan Perpaduan itu tidak akan berlaku di negeri yang berkenaan.

Tetapi apa yang sedang dibincangkan, supaya kita turut ada ruang untuk berbincang bagaimana kita mahu meletakkan calon-calon yang ada juga dalam kalangan parti daripada rakan-rakan kita yang lain.

SINAR AHAD: Adakah MCA akan diberi peranan bertanding pada PRN enam negeri?

ZAMBRY: Kita bergerak dalam semangat BN. Jadi tidak timbul soal MCA akan diberi kerusi, MIC tidak diberi kerusi. Perbincangan dihadiri oleh pimpinan daripada parti komponen kita sendiri.

Keistimewaan inilah yang kita pegang. Kita teruskan membentuk kesepakatan sesama kita sebelum berbincang dengan PH.

SINAR AHAD: Dengan kejayaan Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan, sejauh mana semangat kesepakatan itu dapat diterjemahkan di peringkat akar umbi bagi menjamin kejayaan pemindahan undi (transferable vote) di antara penyokong BN dan PH?

ZAMBRY: Paling mustahak adalah bagaimana kita menterjemahkan semangat itu di peringkat bawah. Kalau ada semangat yang kita bina, semangat perpaduan yang kita tunjukkan.

Juga semangat persefahaman yang diwujudkan di peringkat bawah, khususnya melibatkan kerusi-kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan dipertandingkan, mungkin faktor-faktor ini akan memberi kemenangan kepada kita.

Soal transferable vote daripada satu pihak (BN) ke pihak lain (PH), kali ini menjadi tanggungjawab penyokong dan pemimpin kedua-dua parti untuk menyokong antara satu sama lain.

Penyokong PH ada tanggungjawab menyokong calon BN di kerusi-kerusi kita tandingi, begitu juga penyokong BN kena sokong calon PH. Ini persefahaman yang sangat mustahak dan penting bagi kita memastikan kawasan ditandingi akan dimenangi BN-PH.

SINAR AHAD: Setakat ini, sejauh mana keberkesanan proses pemindahan undi di antara penyokong BN-PH tercapai?

ZAMBRY: Saya melihat proses itu tidak sukar kerana kita tahu dari segi kelompok BN dan PH itu sendiri, untuk memahatkan persefahaman supaya dapat dilaksanakan transferable vote, itu perlu dilakukan di peringkat akar umbi.

Sekarang ini selepas Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan berakhir, keputusan-keputusan tercapai dalam program itu perlu diturunkan ke peringkat bawah.

Akhirnya nanti yang akan membuat keputusan dan memilih calon-calon daripada BN dan PH adalah penyokong-penyokong kedua-dua parti.

SINAR AHAD: Peranan Datuk Seri dalam mengendalikan operasi pemindahan rakyat Malaysia dan Singapura dari tragedi perang saudara di Sudan dipuji banyak pihak. Apa keputusan berani dan besar yang dibuat Datuk Seri dalam memastikan usaha evakuasi itu berjaya?

ZAMBRY: Perkara paling utama, saya tidak tunggu untuk mendapatkan proses dan laporan situasi rakyat Malaysia yang kebiasaannya perlu melalui beberapa tahap. Saya sangat berterima kasih kepada pasukan khas Wisma Putra atas komitmen mereka bekerja secara bersama dengan saya.

Adakalanya kita terpaksa tidak mengikut norma biasa. Ini kerana kita tahu di sana ada krisis yang perlu diselesaikan dan memerlukan keputusan pantas. Jadi kepantasan membuat keputusan itu sangat mustahak.

Selepas saya maklumkan kepada Perdana Menteri situasi di Sudan dengan kadar segera, kita tidak lagi menunggu keesokan hari untuk bertindak.

Kita tidak boleh bersikap tunggu dan melaksanakan keputusan penting kemudian. Ini kerana keadaan di Sudan adalah sangat berbahaya kepada keselamatan rakyat kita.

Keputusan penting untuk menyelamatkan rakyat kita tidak boleh ditangguh-tangguh. Perlu diingat majoriti rakyat terkepung di tengah-tengah kota raya bandar Khartoum dan mereka tidak boleh bergerak ke mana-mana.

Saya juga berbincang dengan Perdana Menteri dengan beliau sendiri bersama-sama kementerian untuk memantau keadaan semasa di Sudan.

Beliau juga cuba menghubungi pihak jeneral yang terlibat perang saudara di Sudan dan berjaya berunding dengan mereka bagi membolehkan rakyat kita diselamatkan.

SINAR AHAD: Apa perbezaan peranan dan cabaran digalas Datuk Seri ketika ini sebagai seorang menteri penuh di peringkat persekutuan berbanding jawatan Menteri Besar Perak yang disandang sebelum ini?

ZAMBRY: Sedikit berbeza cabarannya kerana dahulu saya mentadbir negeri. Sekarang ini saya dipertanggungjawabkan untuk mengetuai sebuah kementerian di peringkat Persekutuan dan juga menjaga hal ehwal luar negara.

Dari segi pengalaman dan dari segi pentadbiran, sedikit sebanyak saya merasakan tidak banyak beza. Kalau dahulu saya mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri, sekarang ini saya mempengerusikan mesyuarat agensi-agensi di bawah kementerian dan terlibat mesyuarat kabinet.

SINAR AHAD: Pernah menyertai pasukan politik Datuk Seri Anwar sewaktu beliau menjadi Ketua Pemuda UMNO sehinggalah diangkat sebagai Timbalan Perdana Menteri suatu ketika dahulu, apa perasaan Datuk Seri setelah kembali bekerja di bawah Perdana Menteri ke-10 itu setelah 25 tahun terpisah haluan politik?

ZAMBRY: Saya menganggap ini satu perjalanan politik ditentukan ALLAH SWT meskipun saya tidak menjangkakan sama sekali untuk berada dalam keadaan di mana Datuk Seri Anwar kembali menjadi ‘bos’ saya walaupun kita berlainan parti.

Dengan saya selalunya berada di barisan belakang dan bermain peranan di belakang tabir, saya akan cuba memberikan segala khidmat yang terbaik. Saya menganggap ini merupakan satu perjalanan politik yang bersejarah dalam hidup saya.

Jadi, mungkin ada mengatakan bahawa bekerja dengan Datuk Seri Anwar, agak asing dengan saya. Saya anggap tidak kerana Perdana Menteri pernah berada dalam UMNO, saya dahulu pun berada dalam sayap Pemuda UMNO bersama beliau termasuk Datuk Seri Dr Ahmad Zahid.

Cuma pada tahun 1998 itu, kami ditakdirkan dimasukkan ke dalam penjara untuk tempoh singkat akibat dikenakan tindakan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Datuk Seri Anwar pula dimasukkan ke penjara kerana kes mahkamah dihadapinya.

Saya menganggap pengalaman ini merupakan satu proses turun naik dalam dunia politik. Mungkin ada rasa pahit manisnya, tetapi perjalanan politik ini tidak akan berlaku tanpa kuasa perancangan ALLAH SWT. Paling mustahak, kita harus menggunakan ruang dan peluang yang diberikan untuk memberi khidmat terbaik kepada negara.

PROFIL DATUK SERI DR ZAMBRY ABDUL KADIR

– Dilahirkan pada 22 Mac 1962 di Pulau Pangkor, kini berusia 61 tahun.

– Berkahwin dengan Datin Seri DiRaja Saripah Zulkifli pada 1 November 1987 dan dikurniakan lima orang cahaya mata.

LATAR BELAKANG AKADEMIK

– Sekolah Menengah Kebangsaan Panglima Bukit Gantang, Parit Buntar.

– Sarjana Muda Ekonomi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dengan pengkhususan Ekonomi, Pembangunan Ekonomi dan Ekonomi Antarabangsa (1987).

– Ijazah Sarjana (Kepujian) dalam pengkhususan Pemikiran Islam UIAM (1991).

– Ijazah Doktor Falsafah (PhD) (Pemikiran Politik) Universiti Temple, Amerika Syarikat (AS) (1995) Cemerlang(Distinction) Pengkhususan Politik Kontemporari MA Universiti Temple, AS (1992).

KERJAYA POLITIK:

– Dilantik sebagai Menteri Besar Perak ke-11 pada 12 Mei 2009 sebelum diberi kepercayaan menganggotai kabinet Kerajaan Perpaduan dengan jawatan sebagai Menteri Luar.

 

Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Anwar: The Untold Story jauh mengatasi Mahathir: The Journey

Telan pil Viagra nak ‘main lama’, warga emas temui ajal

Rafizi datang lagi kini dengan formula PADU

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker