“Kemana Tumpah Kuah, Kalau Tidak Ke Nasi”-Tiga Anak Fandi Ahmad Ikut Jejak Bapa

“Kemana Tumpah Kuah, Kalau Tidak Ke Nasi”-Tiga Anak Fandi Ahmad Ikut Jejak Bapa

Jika beliau masih hidup, Ahmad Wartam pastinya seorang datuk yang begitu gembira melihat tiga cucunya beraksi pada kejohanan bola sepak Piala AFF di Singapura, negara yang pernah diwakilinya sebagai penjaga gol pada era 1960-an.



Namun tidak ramai mengenali siapa Ahmad Wartam sebenarnya terutama generasi masa kini kecuali apabila anda menyebut beliau adalah bapa Fandi Ahmad, pemain tersohor Asia Tenggara yang pernah memperagakan aksi di liga Belanda dan muncul atlet sukan pertama negara republik itu bergelar jutawan.

Kini tiga anak Fandi, Irfan, Ikhsan dan Ilhan meneruskan legasi yang ditinggalkan datuk mereka dalam usaha mengharumkan nama Singapura dalam kancah bola sepak antarabangsa.

Ikhsan terutamanya menonjol pada hari pembukaan Piala AFF apabila penyerang berusia 22 tahun itu menyumbat dua gol yang dianggap bertaraf dunia ketika tuan rumah membenam Myanmar 3-0 Ahad lalu.



Di peringkat kelab, Irfan yang pernah beraksi sebagai penyerang tetapi kini beralih ke benteng pertahanan adalah pemain utama kelab juara Liga Perdana Thailand, BG Pathum yang mempunyai benteng terkuat dalam liga (13 gol dibolosi dalam 30 perlawanan musim lalu) selain layak ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara Asia.

“Sememangnya satu penghargaan untuk mewakili negara dan dengan dua adik saya bersama dalam pasukan sesuatu yang istimewa buat kami,” kata Irfan dipetik dalam akhbar Straits Times.

“Saya dan Ikhsan sebelum ini, kemudian saya dan Ilhan ketika kelayakan Piala Dunia pada Jun. Kini kami bertiga berada dalam skuad, ia pasti menyeronokkan dan harapnya kami berpeluang beraksi bersama di tengah padang.”

Ikhsan kini sedang memperagakan aksinya di Eropah. Walaupun dia tidak banyak mengumpul minit permainan bersama FK Jerv musim ini, dia tetap mampu menyumbat empat gol bersama kelabnya yang layak ke play-off untuk merebut tempat ke liga utama Norway.



“Kami bertiga bermain bersama dalam satu pasukan ketika remaja dan ketika itu kami sering menjaringkan gol. Ilhan dan saya sering mempunyai perancangan, saya bermain sebagai nombor 9 dan Ilhan akan bermain di belakang saya seperti nombor 10 kerana dia mempunyai hantaran yang bagus. Mungkin kami boleh mengembalikan semua ini pada Piala AFF,” kata Ikhsan.

Ilhan yang berusia 19 tahun menjaringkan tujuh gol dalam 18 perlawanan bersama Young Lions tahun ini ketika dia menjalani khidmat negara.

Fandi yang berkahwin dengan model dari Afrika Selatan, Wendy Jacobs pada 1996, turut mempunyai seorang lagi anak lelaki bungsu Iryan, 15, yang juga mahu mengikut jejak langkah datuk, bapa dan abangnya.



Selain itu, Fandi mempunyai seorang anak perempuan Iman, 21, yang kini menjadi model seperti ibunya.-HM

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker