Vietnam mahu beli RON 95 dari Malaysia, kerjasama industri halal – Ismail

Vietnam mahu beli RON 95 dari Malaysia, kerjasama industri halal – Ismail

HANOI: Malaysia sedia menawarkan kepakaran dan khidmat nasihat kepada Vietnam, termasuk syarikat negara itu yang berminat untuk meningkatkan kerjasama dengan Malaysia dalam membangunkan industri halal mereka.

Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob berkata, kerjasama itu telah bermula dan dalam hal ini Halal Development Corporation (HDC) Malaysia ditugaskan untuk mengambil tindakan susulan.

“Saya secara spesifik membangkitkan potensi kerjasama halal dengan Vietnam terutamanya berhubung peluang untuk membekalkan makanan halal semasa Sukan SEA 2021 yang akan dihoskan oleh Vietnam pada Mei depan.

“Saya juga menyatakan kesediaan Malaysia menawarkan produk-produk perbankan Islam dan akan turut sama membantu mengembangkan ekosistem industri halal di Vietnam,” katanya kepada kumpulan media Malaysia di sini selepas mengakhiri lawatan rasmi dua hari ke Vietnam, semalam.

Lawatan rasmi perdana menteri dan delegasi Malaysia juga berjaya membawa berita gembira kepada negara selepas Vietnam mengemukakan permintaan untuk mendapatkan bekalan petroleum dan gas tambahan daripada Malaysia.

“Alhamdulillah kita mendapat berita yang baik petang semalam sewaktu Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Mohamed Azmin Ali berjumpa dengan menteri perdagangan Vietnam dan mereka (pihak Vietnam) berminat untuk membeli petroleum atau RON95 daripada kita dengan kadar segera.

“Saya sendiri telefon presiden Petronas tentang perkara ini dan kita bersetuju pada peringkat permulaan ini untuk membekalkan 300,000 tong petroleum (RON95) kepada Vietnam.

“Ini hanyalah permulaan dan jika perlukan tambahan, Insya-Allah kita akan teruskan dan mengadakan perbincangan dengan mereka (Vietnam). Kita berharap bukan sahaja petroleum tetapi gas juga dapat dibeli oleh Vietnam,” kata Ismail.

Mengenai kerjasama perdagangan, perdana menteri berkata, kedua-dua negara bersetuju untuk menetapkan sasaran lebih tinggi. Sebelum ini, Malaysia dan Vietnam menetapkan sasaran nilai dagangan USD18 bilion menjelang 2025.

Bagaimanapun menurut Ismail, beliau turut berkongsi pandangan bahawa nilai sasaran itu masih kecil berbanding potensi besar yang dimiliki Malaysia dan Vietnam .

Beliau menambah bahawa Vietnam merupakan rakan dagang keempat terbesar Malaysia dalam ASEAN dan ke-11 di peringkat global.

“Pada 2021, perdagangan dua hala bernilai USD16.7 bilion, peningkatan memberangsangkan, iaitu sebanyak 41.6% berbanding 2020.

“Ini mengambil kira nilai dagangan global Malaysia yang telah melepasi RM2 trilion (USD477 bilion), sementara nilai dagangan global Vietnam hampir mencecah USD650 bilion,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail berkata, persefahaman telah dicapai supaya mesyuarat ke-4 Jawatankuasa Perdagangan Bersama (JTC) diadakan dalam masa terdekat bagi menetapkan hala tuju sasaran perdagangan dua hala Malaysia-Vietnam, selain meneliti hasrat Vietnam untuk mencapai keseimbangan dagangan dengan Malaysia.

Pada masa sama, Ismail turut mengambil peluang mempelawa para pelabur Vietnam untuk meningkatkan pelaburan di Malaysia dalam bidang yang boleh diterokai termasuk pendigitalan, pembuatan pintar dan keselamatan siber.

Katanya, Malaysia telah mengadakan kolaborasi strategik di antara Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) dan FPT Software Vietnam untuk membangunkan Pusat Kecemerlangan Industri Masa Depan (CoEFI) bernilai hampir RM100 juta dalam bidang automotif, Connected Mobility, Robotik, Internet Kebendaan (IoT) dan pendigitalan.

“Saya juga menyambut baik dan berterima kasih kepada FPT Software yang amat komited untuk melatih 1,000 tenaga kerja Malaysia dalam pembangunan dan kejuruteraan perisian bermula tahun ini di Kuala Lumpur dan Sabah,” katanya.

Sementara itu, pelaburan Malaysia di Vietnam bernilai USD13 bilion dan merupakan pelabur asing kesembilan terbesar di peringkat global dan kedua di peringkat ASEAN. FMT

Vietnam mahu beli RON 95 dari Malaysia, kerjasama industri halal – Ismail


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


13 Negara Boleh Melancong Tanpa Perlu Kuarantin Ketika Pulang

Kerajaan sedang kaji mengapa ramai guru bersara awal

Ibu Terkejut Perut Anak Membesar, Rupanya Dirogol Sepupu Sendiri

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker