Calon ketua Pemuda PKR? Mana Adam menghilang selama ini?



Calon ketua Pemuda PKR? Mana Adam menghilang selama ini?

Daripada aktivis pelajar kepada politik, Adam Adli akhirnyanya memilih PKR sebagai wadah perjuangannya. Tetapi kenapa PKR?

Ketika diwawancara Malaysiakini baru-baru ini, dia yang disebut-sebut sebagai calon ketua pemuda (AMK) dalam pemilihan PKR Mei ini, berkata parti itu pilihan ‘semula jadi’ baginya, sejak dulu.

“Macam anak muda hari ini melihat parti Muda (Ikatan Demokrasi Malaysia). Muda itu dulu adalah PKR. Saya pun zaman sekolah sangat minat dengan reformasi PKR. Saya membesar dengan suasana itu.

“Jadi, bagi saya PKR adalah pilihan yang natural (semula jadi),” kata anak kelahiran Pulau Pinang yang berusia 33 tahun itu.




Dia mengesahkan menyertai PKR secara rasmi tahun lepas, walaupun pernah cuba mendaftar sebelum ini di kampung halamannya.

“Saya pernah daftar masuk 2010. Tapi, pendaftaran saya tak lulus waktu itu kerana masalah lain.

“Kemudian, akhirnya saya terlibat dengan gerakan pelajar dengan lebih aktif. Saya tak ada masalah untuk memberi sokongan kepada PKR dan Pakatan Harapan secara bebas,” katanya.

September lalu, PKR menerima penyertaan 20 aktivis muda ke dalam parti itu termasuk Adam.

Sumber PKR memberitahu Malaysiakini, Adam berhasrat bertanding sebagai ketua AMK. Jika menjadi kenyataan, dia akan bertembung dengan seorang lagi bekas aktivis pelajar yang lebih junior, Fahmi Zainol.




Adam setakat ini enggan mengesahkan, tetapi tidak menafikan spekulasi mahu merebut jawatan yang kini disandang oleh anggota parlimen Johor Bahru Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Bagaimanapun, memandangkan Adam menyertai parti itu tidak sampai setahun, Malaysiakini difahamkan dia memohon pengecualian untuk menyertai pemilihan parti dan sedang menunggu kelulusan.

Adam merupakan aktivis pelajar semasa di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Dia mula menjadi tumpuan kira-kira 10 tahun lalu apabila menganjurkan protes berhubung penempatan bakal guru.

Adam juga pernah terpalit dalam beberapa kontroversi, termasuk ketika menurunkan bendera yang memaparkan gambar perdana menteri ketika itu Najib Razak di ibu pejabat Umno semasa bantahan pelajar pada Dis 2011.

Dia selepas itu bergiat pula bersama kumpulan proreformasi pilihan raya Bersih dan terlibat menganjurkan siri demontrasi, khususnya di ibu kota.




Bagaimanapun, tidak lama selepas itu, dia menyepi daripada perhatian umum. Kenapa dan ke mana dia menghilang?

Menjawab soalan itu, Adam berkata dia tidak aktif dalam politik bagi satu tempoh yang panjang susulan beberapa peristiwa, termasuk terpaksa menghadiri kes-kes mahkamah di Kuala Lumpur.

Katanya, kepulangan ayahnya ke rahmatullah Abdul Halim Hamid pada 2015 juga memaksanya kembali ke Pulau Pinang untuk membantu keluarga.

“Bila tak ada ayah, emak duduk di kampung seorang. Saya sebagai anak sulung dan adik balik kampung. Kami berdua sahaja. Tak ada orang lain. Jadi kena jaga emak untuk membina semula keluarga. Memang itu waktu yang sukar antara 2014 dan 2015.

“Kemudian, saya kahwin, bina rumah tangga sendiri. Dapat anak. Kemudian bekerja dan masa yang sama sambung pelajaran waktu itu. Saya diterima semula di UPSI,” katanya.




Abdul Halim juga terkenal sebagai aktivis antikerajaan semasa hidup. Sikapnya yang peramah dan sering membahasakan dirinya sebagai “Ayah” kepada semua orang membuatkannya dikenali ramai.

Pada 9 Januari 2013, Adam Adli digantung tiga semester oleh UPSI atas dakwaan mencemarkan nama universiti dan mengganggu keselamatan dan ketenteraman awam.

Katanya, selepas menghabiskan pelajaran, dia menyusun semula langkah untuk kembali aktif dalam politik dan isu-isu sosial sepenuh masa.

“Saya masih lagi terlibat dengan gerakan di bawah. Sebab saya di Pulau Pinang. Saya bergerak dengan Peka waktu itu, sebuah gerakan pengerak komuniti muda.

“Peka ini dia lebih bersifat tempatan. Peka ini memang untuk belia Pulau Pinang. Jadi, saya buat program untuk belia Pulau Pinang.

“Cuma, tak terlibat politik nasional. Kita buat banyak program, tuisyen percuma, program-program keharmonian kaum di kampung-kampung, kebajikan dan sebagainya.

“Tapi, di Pulau Pinang sahaja tak popular dan saya tak ada masalah. Bagi saya itu tempoh untuk ambil pengalaman yang lebih baik. Lepas itu semua itu baru saya bersedia dan saya kembali,” katanya. Mk

Calon ketua Pemuda PKR? Mana Adam menghilang selama ini?


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Rafizi boleh bawa perpecahan – AMK PKR

Penjarahan wang Petronas tidak akan berulang lagi – Ismail Sabri

Pak Cik Cium Seluar Dalam Dah Kena Cekup



Leave a Reply

Your email address will not be published.