Mariupol dihujani bom, mayat bergelimpangan

Mariupol dihujani bom, mayat bergelimpangan

MARIUPOL: Ahad menandakan satu lagi hari ngeri di bandar pelabuhan di timur Ukraine, Mariupol, yang menyaksikan beberapa pengeboman dan pertempuran paling hebat sejak Russia memulakan pencerobohan, pada 24 Februari lalu.

Ketika itu, terlihat Andrei sibuk mengebumikan jirannya di kubur sementara di tepi jalan, bertentangan apartmen yang dibom.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Natalia tertanya-tanya sama ada rumahnya masih wujud dan sebuah keluarga pula bimbang sampai bila bekalan makanan yang semakin berkurangan mampu bertahan.

Terhenti bersama penyodoknya, Andrei berkata jiran yang dikebumikan itu tidak mati akibat serangan bom Russia, sebaliknya ekoran penyakit yang diburukkan lagi oleh tekanan sejak beberapa minggu lalu selepas gagal mendapatkan bantuan perubatan.

Andrei berkata, dia dan rakannya dinasihatkan tentera Ukraine untuk menyimpan mayat di ruang bawah tanah, namun ia dipenuhi orang yang berlindung daripada serangan artileri serta peluru berpandu Russia.

“Bom tidak membunuh mereka, sebaliknya keadaan ruang bawah tanah, kekurangan aktiviti fizikal, tekanan dan kesejukan. Saya harap akan ada pengebumian semula dan ini hanyalah sementara,” katanya.

Beberapa orang dilihat berjalan membawa barangan dalam plastik atau kotak, manakala seorang budak lelaki menolak troli melepasi kereta yang dibom, berhampiran mayat yang bergelimpangan dan ditutup dengan selimut kotor.

Pihak berkuasa tempatan berkata, kira-kira 400,000 orang terperangkap di bandar pelabuhan strategik di Laut Azov dengan sedikit akses kepada air, makanan, pemanasan atau elektrik, sejak lebih dua minggu lalu.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy, kelmarin berkata pengepungan Russia terhadap Mariupol adalah ‘keganasan akan diingati selama beberapa abad akan datang’.

Kementerian Pertahanan Russia semalam meletakkan kesalahan ke atas ‘nasionalis Ukraine’ susulan ‘malapetaka kemanusiaan’ di Mariupol dan memberi bandar itu hingga awal pagi ini, untuk menyerah diri dengan 59,000 orang sudah dipindahkan sejak tiga hari lalu, lapor agensi berita TASS.

Seorang pustakawan di sebuah universiti, Irina Chernenko, yang berlindung selama 11 hari di ruang bawah tanah dan kini menjadi rumahnya, mengakui tidak tahu berapa lama lagi boleh bertahan seperti itu.

“Kami mengharapkan yang terbaik untuk hidup sebagai manusia. Blok pangsapuri, semuanya musnah.

“Ke mana kami boleh pergi dari tingkat bawah tanah? Ketika ini kami mempunyai sedikit makanan dan kayu api yang mungkin habis dalam tempoh seminggu,” katanya.

Beberapa bahagian di bandar itu dikawal tentera Russia, manakala bakinya kekal di bawah kawalan Ukraine dengan penduduk tidak mengetahui nasib keluarga yang menetap di daerah lain.

Pekerja tadika, Natalia, berkata dia tinggal bersama anaknya dan tidak boleh pulang ke kediamannya di seberang bandar.

“Tiada berita atau maklumat. Semuanya musnah. Kami tidak tahu bagaimana untuk meneruskan kehidupan,” katanya. BH

Mariupol dihujani bom, mayat bergelimpangan


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


TERKINI: Komando GGK patahkan cubaan ‘pengganas’ tawan stesen MRT Cheras

Finalis Ratu Cantik Dikritik Kerana Posting Rasis

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker