UMNO perlu kikis sentimen negatif jika mahu menang PRU-15

UMNO perlu kikis sentimen negatif jika mahu menang PRU-15

Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 melabuhkan tirainya kelmarin dengan mesej kesiapsiagaan mendepani Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sebagai fokus utama. Kepemimpinan tertingginya menetapkan pendirian jelas mengenai keperluan PRU perlu diadakan segera.

Bayangan bilakah waktu sesuai untuk PRU-15 seakan-akan sudah boleh diramal ramai pihak. Daripada mesej disampaikan, ia akan diadakan dalam tahun ini juga, iaitu sebelum 29 Disember atau tarikh UMNO perlu mengadakan pemilihan.

Ketika perasmian perhimpunan sayap UMNO, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menggariskan lima sebab mengapa ia mesti disegerakan. Antaranya, mesti diadakan ketika lawan lemah, kecelaruan persefahaman pembangkang tidak berkesudahan, prestasi kerajaan semasa serta mandat rakyat mesti dikembalikan.

Mesej itu disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden UMNO, bahawa beliau tidak akan menunggu walau sesaat pun memohon pembubaran Parlimen, terutama jika angin kemenangan mula berpihak kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Dengan pengumuman kebenaran pengeluaran khas RM10,000 daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan pelaksanaan kadar gaji minimum RM1,500 bermula 1 Mei ini, ia dilihat langkah pemula bagi BN dan kerajaan pimpinan Ismail Sabri membina sentimen positif rakyat.

Keputusan kerajaan membuka semula sempadan negara bermula 1 April seiring fasa peralihan ke endemik, ia bakal menjadi penanda aras keupayaan kerajaan mengurangkan tekanan terhadap sistem kesihatan awam serta memulihkan ekonomi dan merancakkan semula industri pelancongan negara.

Pengumuman menyegerakan agihan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) memanfaatkan hampir 9 juta penerima membabitkan implikasi kewangan RM8.2 bilion hujung bulan ini, disambut baik rakyat. Komitmen UMNO dan BN menampilkan 70 peratus muka baharu pada PRU-15 seperti disebut Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berfokus membina naratif parti itu bersungguh-sungguh melakukan reformasi, peremajaan parti dan pembaharuan dalam institusi serta sistem parti politik, sekali gus menangkis pandangan bahawa ia lebih dikuasai warlord.

Jelas, daripada naratif feel good sedang direncana, matlamat mereka dalam PRU-15, bukan hanya berfokus calon ditampilkan, strategi berkempen dan kebergantungan peratus keluar mengundi semata-mata, bahkan mengembalikan sokongan pengundi atas pagar.

Jika dinilai prestasi sebelum ini, walaupun angin peralihan sokongan pengundi atas pagar sudah beralih kepada UMNO dan BN, indikatornya masih tidak jelas. Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, menyaksikan UMNO merampas kembali kerusi itu, bukti momentum peralihan sokongan pengundi atas pagar sudah beralih.

Namun, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor, biarpun UMNO dan BN menang dengan mandat besar selepas memperoleh majoriti dua pertiga, peratusan keluar mengundi rendah, undi popular tidak melepasi 60 peratus serta perpecahan undi parti Melayu, menyukarkan untuk mencongak kekuatan sebenar, terutama jika peratusan keluar mengundi tinggi pada PRU-15.

Sebaliknya, kemenangan bergaya di Melaka dan Johor, jika dinilai dari prestasi sebenarnya banyak bergantung jumlah peratusan keluar pengundi terasnya yang tinggi, peralihan sokongan pengundi Cina, di samping negeri itu sendiri dianggap kubu kuat UMNO dan BN.

Namun, PRU-15 membawa persekitaran dan cabaran sangat berbeza, malah lebih getir berbanding PRN Melaka dan Johor. Benarlah seperti disentuh ramai perwakilan UMNO ketika perbahasan PAU, PRN Melaka dan Johor adalah tempat parti itu menguji keupayaan jentera serta menyusun gerak kerja memenangkan parti dalam pilihan raya, bukannya jaminan pasti bahawa UMNO dan BN boleh meraih kemenangan bergaya dalam PRU kelak.

Justeru, mengambil kira kenyataan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin bahawa Kementerian Kesihatan (KKM) akan menilai waktu sesuai untuk PRU selepas Aidilfitri awal Mei ini, ditambah kenyataan Mohamad dalam ucapan penggulungannya bahawa sebaik memorandum persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik tamat pada Julai ini, pemimpin tertinggi UMNO dan BN akan meneliti masa sesuai PRU, bayangan jelas bahawa mood PRU sebenarnya semakin hampir atau kita sudah mula memasuki fasanya.

Aura sokongan mesti terus kekal hingga PRU melabuhkan tirainya jika UMNO dan BN inginkan kemenangan besar dalam pilihan raya. Yang penting, parti itu juga perlu mengikis sentimen negatif melingkari parti dan pemimpin, terutama dikaitkan kluster mahkamah dan isu warlord yang hingga kini, cukup menebal dalam pemikiran rakyat.

Ambillah iktibar daripada kekalahan UMNO dan BN pada PRU-14, disebabkan sentimen berkait isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) gagal diurus baik, menyebabkan tersungkur dan kalah.

Berbekalkan mesej mengembalikan kestabilan politik negara, UMNO dan BN perlu memastikan usaha untuk meraih kemenangan dalam PRU kelak, mesti jelas atau sekurang-kurangnya menyamai pencapaian di PRN Melaka dan Johor.

Jika tidak, pasca PRU-15, politik Malaysia kekal menggugat dan rakyat terus terkesan dengan pentadbiran kerajaan rapuh dan tidak stabil. BH

UMNO perlu kikis sentimen negatif jika mahu menang PRU-15


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


TERKINI: Komando GGK patahkan cubaan ‘pengganas’ tawan stesen MRT Cheras

Finalis Ratu Cantik Dikritik Kerana Posting Rasis

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker