Guan Eng menangis, Anthony Loke diumum Setiausaha Agung DAP yang baharu

Lim Guan Eng hari ini menyampaikan ucapan terakhirnya sebagai Setiausaha Agung DAP selepas memegang jawatan itu selama 18 tahun.

Dalam ucapan terakhirnya kepada Kongres DAP, Lim mengucapkan terima kasih kepada ahli parti atas sokongan mereka sepanjang tempoh perkhidmatannya.

Dia kemudian tunduk hormat kepada perwakilan parti di atas pentas dan disambut dengan tepukan gemuruh.

“Saya bangga kerana saya menyerahkan DAP yang lebih kuat kepada setiausaha agung akan datang kerana DAP kini parti terbesar di Parlimen.

Ahli Parlimen Seremban Anthony Loke pula telah diumumkan sebagai Setiausaha Agung DAP yang baru berikutan pemilihan parti di Kongres DAP hari ini.

Dia dipilih sebulat suara oleh jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) baru untuk memimpin parti.

“Sebagai setiausaha agung yang baru, saya melihat keputusan hari ini sebagai fasa baru kepada DAP. Pemilihan hari ini adalah permulaan kepada kepimpinan generasi ketiga DAP.

“Kita ada generasi pertama seperti Lim Kit Siang yang sudah bersara, kita ada generasi kedua seperti Tan Kok Wai, Fong Kui Lun dan Lim Guan Eng yang masih menjadi sebahagian daripada CEC tetapi mereka memberi ruang kepada generasi ketiga,” kata Loke kepada wartawan selepas pemilihan.

Dia juga mengucapkan terima kasih kepada veteran parti atas khidmat mereka. Loke menjanjikan kepimpinan yang inklusif.

“Dalam DAP, terdapat banyak bakat dan kekuatan. Pendekatan saya adalah untuk meneruskan tradisi kepimpinan kolektif dan inklusif supaya setiap pemimpin DAP, sama ada berada dalam CEC atau tidak, memainkan peranan untuk memperkukuh parti,” katanya.

Sementara itu, bekas setiausaha agung parti Lim Guan Eng berjaya memenangi kerusi dalam CEC dan kemudian dilantik sebagai pengerusi baru.

Satu lagi pelantikan yang mencuri tumpuan ialah Steven Sim, yang dilantik sebagai setiausaha penganjur kebangsaan, jawatan yang dipegang Loke sebelum ini.

Kali ini, bilangan jawatan CEC yang ada telah ditambah daripada 20 kepada 30 sejak pemilihan semula DAP pada 2017, dengan 17 muka baru turut terpilih.

Antara mereka yang baru menyertai CEC termasuk Young Syefura Othman, yang merupakan satu-satunya calon Melayu yang masuk dalam senarai itu.

Dia juga menggantikan Zairil Khir Johari sebagai satu-satunya wakil Melayu yang berjaya dilantik ke CEC. Zairil gagal mempertahankan jawatannya dalam CEC pada pemilihan kali ini.

Satu lagi penambahan baru yang mencuri tumpuan dalam CEC ialah Lim Hui Ying, yang merupakan anak kepada veteran DAP Lim Kit Siang.

Kit Siang telah mengumumkan persaraan daripada politik awal hari ini. Sumber DAP berkata Kit Siang mahu mengehadkan bilangan ahli keluarga dalam kepimpinan untuk mengelakkan dakwaan “dinasti politik”.

Guan Eng berundur sebagai setiausaha agung, jawatan eksekutif tertinggi, susulan had tiga penggal yang ditetapkan oleh perlembagaan parti.

Ronnie Liu, berjaya menduduki tempat ke-20 dalam senarai ahli CEC yang dipilih.

Ini walaupun dia secara terbuka mengkritik kepimpinan DAP dalam pelbagai perkara, termasuk calon pilihan raya Johor serta kerjasama parti mereka sebelum ini dengan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Jannie Lasimbang juga berjaya dipilih ke CEC walaupun memperoleh jumlah undi yang lebih rendah berbanding beberapa calon lain berikutan kuota 30 peratus wanita DAP untuk jawatankuasa itu.

Tiga belas ahli yang berjaya mengekalkan jawatan CEC mereka juga menyaksikan rombakan dalam jawatan yang dipegang, dengan Gobind Singh Deo naik daripada tempat kedua pada pilihan raya lalu ke kedudukan pertama kali ini, dengan 1,782 undi.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow turut melonjakkan kedudukannya dalam senarai itu, daripada tempat ke-14 kepada tempat kedua dengan 1,641 undi.

Perubahan ketara lain termasuk Guan Eng jatuh dari tempat ketiga kepada kelapan (1,311 undi), Chong Chieng Jen jatuh dari ketujuh kepada kedudukan ke-16 (1,154), Teo Nie Ching daripada keenam kepada ke-19 (1,071) dan Liew Chin Tong daripada kedudukan kelima kepada ke-22 (1,008).

Sementara itu, tujuh daripada mereka yang dipilih ke CEC pada pemilihan semula 2017 tidak masuk senarai kali ini, termasuk Kit Siang yang telah mengumumkan bersara daripada politik pagi tadi.

Teng Chang Khim, yang berada di tempat ke-16 dalam senarai CEC pada pemilihan parti lalu, juga tidak bertanding semula kali ini.

Lima lagi yang bertanding semula dan tewas dalam pemilihan kali ini ialah Tony Pua, Chong Eng, Ngeh Koo Ham, Zairil Khir Johari dan V Sivakumar.

Sistem pemilihan DAP mengikut sistem dua peringkat di mana ahli memilih 30 calon teratas mereka ke CEC dan bukannya jawatan tertentu.

Tiga puluh teratas yang dipilih kemudiannya melantik sesama mereka untuk mengisi jawatan masing-masing dalam parti.

Penggal mereka akan berlangsung sehingga 2025.

Terdapat juga lima ahli yang tidak dipilih yang boleh dilantik dalam kepimpinan.

Barisan kepimpinan baru adalah seperti berikut:

Pengerusi: Lim Guan Eng

Timbalan pengerusi: Gobind Singh Deo

Naib pengerusi:
Nga Kor Ming
Chow Kon Yeow
Chong Chieng Jen
M Kulasegaran
Teresa Kok

Setiausaha Agung: Anthony Loke

Timbalan setiausaha agung:
Liew Chin Tong
V Sivakumar (dilantik)
Tengku Zulpuri Shah Raja Puji (dilantik)

Bendahari: Fong Kui Lun

Timbalan bendahari: Ng Sze Han

Setiausaha organisasi: Steven Sim

Penolong setiausaha organisasi:
Ng Suee Lim
Khoo Poay Tiong (dilantik)

Setiausaha publisiti: Teo Nie Ching

Penolong setiausaha publisiti:
Hannah Yeoh
V Ganabatirau (dilantik)

Setiausaha antarabangsa: Jannie Lasimbang

Penolong setiausaha antarabangsa: Khasturi Patto

Pengarah pendidikan politik:
Wong Kah Woh
Penolong pengarah pendidikan politik:
Wong Shu Qi

Ahli jawatankuasa:
Tan Kok Wai
Lim Lip Eng
Lim Hui Ying
Alice Lau
Chan Foong Hin
Ronnie Liu
Tan Hong Pin
Syefura Othman
Teo Kok Seong
Thomas Su
Wu Him Ven
Syahredzan Johan (dilantik)

Mentor: Lim Kit Siang
Penasihat: Tan Kok Wai
Ketua parlimen: Nga Kor Ming

Guan Eng menangis, Anthony Loke diumum Setiausaha Agung DAP yang baharu

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392

Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);

KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

CPRC Kebangsaan KKM
Telefon : 03 8881 0200 / 03 8881 0600 / 03 8881 0700
Whatsapp : +60178429454
Email : [email protected]

Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


TERKINI: Komando GGK patahkan cubaan ‘pengganas’ tawan stesen MRT Cheras

Finalis Ratu Cantik Dikritik Kerana Posting Rasis

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker