Bank wakaf mampu perkukuh ekonomi Melayu

Oleh Profesor Dr Ismail Omar

Allahyarham Prof Diraja Ungku Aziz meninggalkan legasi tidak ternilai harganya. Pandangan dan saranan beliau untuk memajukan ekonomi orang Melayu di negara kita begitu menyerlah. Antara legasi ditinggalkannya ialah Tabung Haji (TH) dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Berhad (ANGKASA).

Sebagai ahli akademik mengajar Ekonomi di Universiti Malaya (UM) sekitar 1950-an, beliau mula menjalankan penyelidikan untuk memajukan ekonomi orang Melayu ketika itu.

Dengan melihat isu kemunduran orang Melayu, beliau mula bertanya – apakah punca menyebabkan kemunduran orang Melayu dan bagaimanakah cara untuk mengatasinya?



Beliau cuba mencari kenyataan masalah agar dapat menentukan metodologi dan analisis data yang akan dikutip nanti.
Seterusnya, mencapai apa yang hendak dicari dan membuat saranan serta kesimpulan untuk mengatasi masalah berkenaan. Penyelidikan beliau jalankan berkisar pada cara orang Melayu mencari pendapatan, menabung dan membelanjakannya.

Daripada penyelidikan dijalankan, beliau mendapati sikap dan budaya orang Melayu menjadi punca kemunduran mereka. Budaya ialah cara hidup secara kolektif merentasi suatu tempoh masa tertentu.

Sudah tentu akhirnya, cara kehidupan mereka akan mempengaruhi pendapatan dikumpulkan, tabungan disimpan dan jumlah dibelanjakan saban hari.

Beliau mendapati orang Melayu bekerja keras untuk menyara kehidupan dan menabung untuk mengumpul wang bagi menunaikan fardu haji ke Makkah. Oleh kerana ketika itu, tiada bank tanpa riba, kebanyakan mereka hanya menyimpan wang di rumah tanpa memasukkannya ke akaun di bank.



Mereka juga sanggup menjual tanah dan rumah semata-mata untuk ke Makkah. Mereka juga rela berbuat demikian untuk mengadakan kenduri kahwin anak. Akhirnya, mereka jatuh miskin tanpa sebarang harta lagi.

Lantaran itu, beliau menyarankan kerajaan menubuhkan dana khas untuk menjaga hal ehwal bakal haji. Tabung berkenaan bukan untuk menjamin kesempurnaan mendapat haji mabrur sahaja, malah untuk menjaga kebajikan mereka selepas menunaikan rukun Islam kelima itu. Akhirnya, pada 1971 dana berkenaan ditubuhkan dan diberi nama Tabung Haji.

Selepas 40 tahun berlalu, TH mencapai tahap kejayaan amat membanggakan. Nilai aset TH bernilai lebih RM78 bilion pada 2020, meraih pendapatan pelaburan RM1.55 bilion sepanjang tempoh enam bulan pertama 2020, lebihan aset berbanding tanggungan sebanyak RM1.9 bilion pada tempoh sama.

Pelaburan hartanah memberi pulangan RM204.57 juta, manakala pelaburan instrumen pasaran kewangan patuh syariah sebanyak RM187.13 juta dan daripada pelaburan ekuiti pula RM150.27 juta. Jumlah deposit sebanyak RM73.86 bilion pada Jun 2020 dan ada 123,000 pendeposit baharu tempoh sama.



Selain itu, TH memiliki beribu-ribu hektar ladang dalam dan luar negara. Begitu juga banyak rangkaian hotel di seluruh negara. Tidak hairan apabila dikatakan TH antara gergasi ekonomi orang Melayu utama di negara kita.

Sesungguhnya, legasi ini perlu diteruskan. Namun, bagaimanakah caranya? Kebanyakan orang Melayu sudah banyak berubah, cara berfikir dan hidup semakin maju. Cara mereka melihat pelaburan untuk masa hadapan juga banyak berubah.

Mereka ingin terus maju bukan lagi hidup terkongkong dengan budaya lama. Mereka tetap berpegang teguh dengan agama Islam dan budaya kemelayuan.

Buktinya apabila Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengemukakan cadangan supaya universiti awam (UA) menubuhkan Wakaf Pendidikan Tinggi pada hujung 2016, sehingga kini sudah lebih RM30 juta wakaf tunai terkumpul.



Ini tidak termasuk nilai wakaf buku, wakaf harta intelek, hartanah dan sebagainya. Semua universiti terpanggil ingin menjadi universiti terkemuka di luar negara sebagai tanda aras pencapaian filantropi mereka. Universiti Cambridge di England sahaja mengumpulkan dana endowmen sebanyak lebih £7 bilion (RM35 bilion) pada suku pertama 2020.

Begitu juga wakaf dijalankan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) yang mengumpulkan berjuta-juta ringgit. Ditambah lagi wakaf pihak swasta seperti maahad tahfiz dan badan perseorangan begitu bergaya mengumpulkan dana wakaf di seluruh negara.

Justeru, timbul persoalan, ke manakah manfaat dana wakaf yang banyak itu hendak disimpan, dilabur dan bagaimanakah ia boleh digunakan untuk memajukan ummah?

Maka, sudah tiba masanya tabung atau bank wakaf ditubuhkan. Sesungguhnya, penubuhan bank wakaf (tidak semestinya dinamakan bank) boleh menjadi rakan pelengkap kepada sistem perbankan Islam yang ada.



Di seluruh dunia, ada kira-kira 2 bilion umat Islam pada 2016. Sekiranya separuh daripada mereka mewakafkan wang tunai (melalui pelbagai perantara) AS$1 (RM4) seorang bermakna kita mampu mengumpulkan AS$1 bilion (RM4 bilion).

Sebagai tambahan, katakan 20 jutawan Islam dengan sumbangan AS$1 bilion (RM4 bilion) seorang kita sudah dapat mengumpulkan AS$20 bilion (RM80 bilion). Semua modal disumbang berjumlah AS$41 bilion (RM164 bilion). Jumlah ini sudah lebih daripada cukup untuk menubuhkan sebuah bank wakaf dunia.

Sebenarnya, sudah ada dua bank wakaf berlainan di Turki. Indonesia, Maldive, Filipina dan beberapa negara lain sedang berusaha menubuhkan bank wakaf masing-masing.

Bank wakaf boleh membantu membiayai projek berkaitan penjanaan ekonomi rakyat, terutama tanah wakaf berserakan di seluruh negara.



Menurut laporan kajian, hanya 12 peratus daripada 30,000 hektar tanah wakaf di negara kita yang dimajukan. Selebihnya wajar dimajukan dengan bantuan dan daripada sumber patuh syariah.

Begitu juga dengan isu perumahan. Pembeli sukar mendapat pembiayaan untuk membeli rumah mampu milik. Banyak hartanah diperuntukkan kepada Bumiputera tidak berjaya dijual disebabkan kemampuan mereka amat terhad. Sesungguhnya, bank wakaf mampu menangani dan mengurangkan masalah ini.

Dengan penubuhan bank wakaf ini, kita dapat meneruskan legasi ditinggalkan Ungku Aziz. Seterusnya, mampu melonjak ekonomi Melayu dan Bumiputera ke tahap lebih tinggi.

Penulis adalah Presiden Pertubuhan Profesional Tanah Malaysia (PERTAMA) dan pakar wakaf di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia. BH

Suntik modal maju tanah wakaf

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker