Sindiket dadah terbesar di Sabah tumpas

Sindiket dadah terbesar di Sabah tumpas, polis rampas syabu bernilai lebih RM10j

TAWAU: Satu sindiket pengedaran dan penyeludupan dadah terbesar di Sabah tumpas selepas pihak polis merampas lebih 300kg syabu bernilai lebih RM10 juta di Kampung Batu Payung, di sini, baru-baru ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah Idris Abdullah berkata, rampasan yang dibuat pada Isnin lalu itu susulan penahanan seorang lelaki berusia 49 tahun.

Katanya, lelaki terbabit dilihat memandu dalam keadaan mencurigakan di Membalua Batu 10, di sini, kira-kira 7.30 malam pada hari berkenaan.

Beliau berkata, suspek juga cuba melarikan diri ketika ditahan untuk pemeriksaan apabila bertindak memecut kenderaannya sehingga ke Kampung Batu Payung sebelum berjaya diberkas.

”Hasil pemeriksaan awal ke atas kenderaan dinaiki suspek menemukan lima beg bagasi di bahagian penumpang belakang, sementara tujuh lagi beg bagasi berada di dalam ‘bucket’ belakang pikap itu.

”Hasil pemeriksaan lanjut terhadap setiap beg bagasi terbabit secara keseluruhannya terdapat 290 bungkusan teh cina berwarna hijau bertulis ‘GUANYINWANG’.

“Setiap bungkusan itu mengandungi bungkusan plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat kasar keseluruhan sebanyak 303,155g bernilai RM10.9 juta,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Idris berkata, susulan penahanan suspek terbabit, polis telah menyerbu sebuah rumah di Taman Berjaya, di sini, dan menyita wang tunai berjumlah RM27,000.

“Suspek direman tujuh hari sehingga 15 September ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, berdasarkan siasatan awal, polis tidak menolak kemungkinan syabu itu dibawa masuk dari luar Sabah dipercayai menggunakan jalan laut.

Katanya, ia kemudian dipercayai akan diedar dan diseludup kepada rangkaian sindiket pengedaran dadah termasuk ke negara jiran.

”Bagaimanapun pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti dalang utama dan ahli sindiket terbabit.

“Polis sedang mengesan sumber dadah berkenaan, selain mengenal pasti saki-baki dadah atau harta milik suspek yang boleh dijadikan bukti untuk dikaitkan dengan kegiatan berkenaan.

“Kita juga mendapatkan bantuan daripada Ibu Pejabat Polis Bukit Aman bagi mengenal pasti rangkaian sindiket ini yang disyaki membawa masuk dadah dari negara luar,” katanya. FMT

Sindiket dadah terbesar di Sabah tumpas


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Ratusan surat beta terima dari rakyat, rintih penuh duka – Agong

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker