Beg berat jejas postur badan pelajar sekolah

SHAH ALAM – Tidak dinafikan membawa beg sekolah berat boleh menyumbang kepada perubahan postur badan dan akan menyebabkan seseorang itu menjadi bongkok walaupun pada usia muda.

Pakar Perunding Ortopedik Spinal Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia, Datuk Dr Azmi Baharuddin berkata, masyarakat seharusnya mempunyai kesedaran untuk menjaga postur badan dari awal walaupun ia agak mencabar pada masa kini.

“Beg berat boleh menyebabkan postur badan berubah, jadi amat penting untuk masyarakat mempunyai kesedaran bagaimana cara untuk menjaga postur seperti cara berdiri tegak dan duduk dengan betul.



“Bagi mencegah sakit belakang pada masa sekarang atau masa hadapan, anak-anak bukan hanya perlu memberi perhatian kepada beg berat tetapi juga tatacara duduk yang betul dan penjagaan postur badan.

“Namun, perkara ini agak mencabar zaman sekarang kerana kebanyakan kanak-kanak, malah orang dewasa akan menghabiskan masa dengan penggunaan gajet. Mereka juga kurang aktiviti luar seperti kanak-kanak zaman dahulu,” katanya kepada Sinar Ahad.

Tambah beliau, sekiranya kanak-kanak membawa bebanan atau beg berat, badan mereka akan ke belakang dan cara mereka membalas tindakan tersebut adalah dengan membongkok ke hadapan.

“Kita boleh lihat kebanyakan murid sekolah yang membawa beg akan jalan ke depan dan tidak jalan secara natural. Apabila itu terjadi, ia akan menyebabkan banyak ketegangan berlaku pada leher, bahu dan belakang badan.



Kajian Berat Beg Sekolah Murid Sekolah Rendah oleh KPM pada tahun 2017 mendapati lebihan 72 peratus berat beg murid disumbangkan oleh barangan lain seperti alat tulis, buku kerja swasta, uniform sekolah agama dan kokurikulum, bekalan makanan dan minuman, gajet dan berat beg itu sendiri. – Foto Sinar Harian MOHD HALIM ABDUL WAHID

“Namun, untuk murid sekolah, kebanyakan tahap kesakitan (pain intensity) disebabkan beg berat itu rendah iaitu 25 ke 55 peratus bagi mereka yang berumur 10 hingga 15 tahun.

“Mereka akan sakit belakang tetapi ia tidak menyebabkan mereka masuk ke hospital kerana sakit tersebut akan hilang apabila bebanan itu tiada,” katanya.

Pemeriksaan

Dr Azmi yang juga Ketua Unit Spinal Jabatan Ortopedik dan Traumatologi HCTM berkata, setakat ini peratus populasi kanak-kanak atau pelajar yang menghidap penyakit tulang belakang membengkok (skoliosis) adalah sebanyak tiga peratus di Malaysia.



“Secara umum, kanak-kanak yang menghidap skoliosis adalah sebanyak tiga peratus daripada populasi iaitu 900,000 atau satu juta orang. Bagaimanapun, tidak semua sedar mereka menghidapi penyakit tersebut.

“Ada skoliosis yang diketahui secara penemuan tidak sengaja. Contohnya, semasa melakukan pemeriksaan kesihatan di klinik untuk memasuki sekolah berasrama penuh,” katanya.

Selain itu, Dr Azmi berkata, kebanyakan di Malaysia, skoliosis paling banyak dikesan adalah pada bahagian dada dan skoliosis yang serius boleh menyebabkan ruang paru-paru mengecil.

“Sekiranya pesakit mempunyai risiko bongkok dalam 70 hingga 80 darjah dan boleh membengkok lagi, ia boleh menyebabkan ruang untuk paru-paru mengecil jika lengkungan utamanya berada di atas.



“Apabila itu berlaku, ia boleh menyebabkan kesukaran untuk bernafas dan memerlukan pembedahan segera,” katanya.

Kesedaran

Dalam pada itu, Dr Azmi berkata, kesedaran masyarakat mengenai penyakit skoliosis juga semakin meningkat berikutan teknologi perubatan yang canggih.

“Zaman dahulu, pembedahan skoliosis berisiko tinggi dan memerlukan kos yang tinggi, namun kadar keberkesanan kurang tetapi kini apabila teknologi bertambah baik, pembedahan boleh dilakukan dengan selamat, malah keputusan juga lebih memuaskan.



“Ini yang menyebabkan ramai orang datang untuk mendapat rawatan. Kita tidak boleh membendung isu ini tetapi kita dapat bantu dengan mengesannya dari peringkat awal,” katanya.

Bagaimanapun, Dr Azmi yang juga Pengarah Perubatan UKM Specialist Centre berpandangan, isu beg berat di sekolah adalah perkara yang serius dan tidak boleh dipandang remeh.

“Walaupun kajian tidak menunjukkan ia adalah isu yang besar, namun mengapa kita mahu ambil risiko terhadap masa hadapan murid?

“Saya rasa punca kanak-kanak membawa beg berat adalah kerana mereka membawa buku yang banyak, seolah-olah tidak diberitahu bab mana yang akan diajar untuk hari tersebut.



“Tambahan pula, dengan alat-alatan yang perlu dibawa dan reka bentuk beg itu sendiri yang sememangnya sudah berat akan menambah lagi bebanan,” jelas beliau.

Beg berat jejas postur badan pelajar sekolah


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Resepi Mee Sup Pedas Cina, Bikin Terliur

Juri program ‘najis’, tak hadap kau sekolah tak? – Diva AA

Netizen terkejut tengok harga makanan kayangan di Tanjung Malim (Video)

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker