Model Melayu di anak tiri?

Model Melayu di anak tiri?

Model tinggi lampai persis mat Salleh dilihat mendominasi industri fesyen, pentas peragaan dan papan-papan iklan.

Walaupun ia tidak menggambarkan situasi sebenar sesebuah masyarakat, namun wajah itulah juga yang menerima permintaan tinggi, berbanding model wajah tempatan.



Model sambilan, Nurul Hazeera Hasni, 31, berkata, agensi fesyen pakaian wanita terkenal dunia seperti Victoria’s Secret lebih menumpukan pengambilan model berdasarkan profesional bukan rupa paras sahaja.

Namun sebaliknya berlaku dalam industri tempatan apabila wajah asing yang digilai, sekali gus menutup ruang model tempatan mencari rezeki.

Hazeera yang sudah lebih sedekad berkecimpung dalam dunia model dan peragaan berkata, selain wajah mat salih, model-model tempatan berdarah campuran Eropah juga antara menjadi keutamaan agensi-agensi pemodelan dalam negara.

“Bayaran juga berbeza dikenakan kepada model tempatan dan luar negara. Selalunya bayaran yang diterima bawah RM1,000, bahkan saya juga pernah tidak dibayar. Sekalipun kecewa dengan situasi tersebut, saya tetap positif demi profil kerjaya,” katanya kepada Utusan Malaysia meluah rasa berhubung nasib model tempatan yang tidak boleh pergi jauh berikutan persaingan daripada model berwajah Barat dan Eropah.



Hazeera bukan calang-calang model. Dia pernah mendapat tempat dalam majalah dan kalendar firma pakaian dan aksesori terkemuka asal Sepanyol, ZARA.

Namun selaku wanita Islam yang menitikberatkan kesopanan adab ketimuran, dia tidak menerima sebarang tawaran peragaan keterlaluan yang bertentangan dengan norma masyarakat dan agama dianuti.

TREND PELIK

Kata Hazeera, sejak dua menjak ini, dia perhatikan satu lagi trend pelik dengan mengambil wanita Rusia di Malaysia sebagai model tudung.



Tegasnya, perkara seperti ini sebetulnya perlu dielakkan kerana secara tidak langsung, industri telah mewujudkan satu gambaran dan fantasi tidak benar dalam pemikiran warga tempatan.

“Ia secara tidak langsung menunjukkan warga tempatan yang melihat model-model ini akan terbit perasaan seolah-olah mereka juga boleh menjadi secantik atau sekacak mereka sekelip mata tatkala menyarung pakaian tersebut.

“Namun kalau tidak cantik, mereka pasti akan rasa kecewa. Kekecewaan itu diterjemahkan pula dengan aduan dan keluhan dalam media sosial mendakwa kononnya syarikat pakaian tersebut berbohong dengan saiz dan sebagainya walhal sebenarnya pembelilah yang tertipu dengan model-model bermata biru itu,” katanya serius.

Jelasnya, lebih menggelikan hati ialah bila model-model kulit putih diambil mempromosi baju tradisional rakyat tempatan.



“Perhatikan wajah model-model Eropah kemudian lihat pula rakyat mereka. Adakah terdapat apa-apa perbezaan? Wajah mereka sama, sekata dan kadang-kadang sebahagian warga mereka jauh lebih cantik dari model-model mereka.

“Berbeza bagi Malaysia yang mana model-modelnya tinggi lampai, berkulit putih seperti susu dan sekacak Brad Pitt. Tapi tatkala melihat masyarakat tempatan, memang jauh berbeza,” katanya.

Menurut Hazreen, sektor peragaan untuk model tempatan diakui kian suram sejak kemunculan pandemik Covid-19 dua tahun lepas.

“Ada dalam kalangan kami terpaksa berhempas pulas mencari kerja lain dalam bidang berbeza seperti meniaga makanan dan produk kecantikan,” katanya.



TIDAK BERBANGKIT

Seorang lagi model tempatan, Puteri Lili Ayumi Aminudin, 25 mengakui ada agensi atau pelanggan yang memang sukakan wajah luar daripada tempatan, bagi menampakkan jenama mereka berstatus antarabangsa.

Katanya wajah model pan-Asia atau berdarah campuran orang putih lebih laku.

“Mengikut pengalaman, saya pernah ditolak untuk beberapa peluang pekerjaan kerana sebuah syarikat yang secara terang-terangan mengatakan mereka ingin model dalam kalangan Pan Asian atau berkulit putih sahaja,” katanya.



Jelas kesal dengan situasi itu, namun katanya isu seperti ini tidak seharusnya berbangkit memandangkan ini adalah negara sendiri.

“Mahu atau tidak, selaku model tempatan, sudah pasti merekalah sentiasa ingin dilihat sebagai contoh teladan kepada masyarakat. Realitinya kita tak perlu ketepikan model asing, tetapi berilah ruang yang lebih kepada model tanah air menunjukkan bakat serta potensi mereka,” katanya.

Dia yang sudah hampir enam tahun membina kerjaya dalam dunia peragaan, berkata, ketinggian turut dijadikan isu dalam pemilihan seseorang model untuk kerja memperaga.

Namun katanya, harus diketahui, menurut majalah gaya hidup dan fesyen terkemuka Vogue, purata paras ketinggian model antarabangsa adalah sekitar 177 sentimeter (cm).

“Paras ketinggian ini sama sekali tidak sesuai untuk dijadikan garis panduan dalam pengambilan model di Malaysia kerana purata ketinggian lelaki Malaysia menurut laman World Population Review hanya 169.20 cm manakala 157.06 cm bagi wanita.

“Menerusi data ini, sepatutnya paras ketinggian model itu perlulah bersesuaian dengan purata ketinggian rakyat di negara-negara tersebut.

“Alasan tidak mengambil model tempatan hanya kerana ketinggian tidak setara model luar negara sama sekali tidak boleh diterima,” katanya.

Mengenai aspek bayaran, Puteri Lili pantas memberitahu model tempatan sering berdepan masalah dibayar lebih rendah berbanding model berkulit putih dengan pelbagai alasan yang tidak jelas.

Berat sebelah

Pandangan Hazeera dan Puteri Lili itu, mengingatkan saya sewaktu berkelana di Eropah dulu.

Saya perhatikan papan iklan fesyen di sana hanya memaparkan wajah model-model tempatan mereka dengan pelbagai rupa paras, warna kulit dan bentuk badan.

Namun berbeza pula situasi di kebanyakan negara Asia terutamanya di Malaysia. Hampir mustahil untuk melihat model-model tempatan berkulit sawo matang menghiasi papan iklan fesyen sama ada di pusat membeli belah, kaki jalan bahkan dalam media sosial. Kebanyakannya adalah dalam kalangan Mat Salih.

Ini bukan satu penghinaan, tetapi perkara ini menunjukkan betapa kita tidak mensyukuri dengan kurniaan rupa paras sendiri dan sentiasa berusaha menunjukkan sesuatu yang diluar realitinya.
Bagaimanapun revolusi dalam dunia pemodelan juga semakin positif.

Golongan Orang Kurang Upaya (OKU), obesiti dan seangkatannya turut diambil sebagai model memandangkan mereka sedar bahawa yang ingin membeli belah itu terdiri daripada pelbagai jenis manusia, bukan sekadar wanita ramping.

Kisah When Xueli, 16, gadis asal China yang mengalami kondisi genetik atau disebut Albino pernah tular baru-baru ini. Sekalipun dilihat tidak normal, namun dia dipilih mengisi ruangan majalah Vogue Itali edisi Jun 2019 dan kini berkhidmat sebagai model sepenuh masa. Malaysia bagaimana? Utusan

Model Melayu di anak tiri?


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


SEARCH Tua bangka, tapi tamak haloba – Awie

Suami isteri ditangkap basah?

Lelaki meninggal dunia ketika mendaki Bukit Melati

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker