Paradigma baharu hadapi bencana banjir – Ismail

Paradigma baharu hadapi bencana banjir – Ismail

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan bencana banjir besar yang melanda negara baru-baru ini seharusnya menjadi titik permulaan merangka paradigma baharu bagi menghadapi bencana banjir pada masa akan datang.

Ini kerana katanya, bencana itu mengakibatkan negara mengalami kerugian RM6.1 bilion akibat kerosakan aset awam dan infrastruktur, tempat kediaman, kenderaan, sektor pembuatan, premis perniagaan dan sektor pertanian.

“Apa yang berlaku ini seharusnya menjadi titik permulaan untuk merangka paradigma baharu bagi menghadapi bencana banjir pada masa akan datang. Justeru, masalah ini harus diselesaikan secara tuntas. Kerajaan tidak mahu lagi melihat bencana banjir menjejaskan kesejahteraan hidup rakyat,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) bagi membincangkan secara terperinci situasi dan penilaian awal dengan menekankan langkah-langkah dan perancangan jangka masa pendek, sederhana dan panjang yang perlu dilakukan Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri supaya bencana banjir tidak memberikan impak besar kepada negara dan rakyat.

Dalam mesyuarat tersebut, persetujuan dicapai untuk menggariskan lapan langkah strategik penambahbaikan pengurusan bencana negara yang dibentangkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

“Perluasan dasar Pengurangan Risiko Bencana (DRR) di peringkat negeri dan daerah dapat memastikan pengurusan bencana banjir dapat dipertingkatkan berikutan satu platform yang diwujudkan bagi menyimpan semua repositori daftar risiko secara sistematik,” katanya.

Pada masa sama katanya, kementerian dan agensi turut disaran untuk membuat penetapan sebanyak lima peratus daripada perbelanjaan mengurus dan pembangunan bagi tujuan pengurusan bencana pada masa akan datang.

“Ini penting bagi persiapan perbelanjaan persediaan bencana, pemulihan dan pasca bencana serta pencegahan dan mitigasi risiko bencana,” katanya.

Tambahnya, sebagai persedian terhadap perubahan iklim yang turut menjadi salah satu faktor kepada bencana banjir di negara ini, subjek khusus akan diperkenalkan dalam sektor pendidikan.

“Dalam hubungan ini, pewujudan subjek utama dalam menangani bencana di pelbagai peringkat pendidikan, sekolah, kolej dan universiti akan dilaksanakan agar seluruh Keluarga Malaysia dapat mengadaptasi perkara ini sebagai norma baharu,” katanya.

Selain itu katanya, pemerkasaan kapasiti komuniti setempat akan dipertingkatkan melalui ketua komuniti yang akan bertindak sebagai initial responder dan akan dibekalkan dengan kelengkapan asas dan bantuan untuk melaksanakan tindakan awal.

Dalam pada itu Ismail Sabri berkata, mesyuarat secara dasarnya turut bersetuju dengan cadangan jangka pendek dan jangka panjang yang dikemukakan oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air untuk menyelesaikan masalah banjir.

Antaranya, beliau memberitahu, menaiktaraf, mendalamkan dan melebarkan sungai-sungai utama, meninggikan benteng dan ban sungai serta parit, membina lebih banyak tebatan banjir, membina empangan dan stesen pintu kawalan air (baraj) bagi mengawal kenaikan paras air.

“Membina terowong SMART terutama di bandar yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi seperti di Shah Alam, membangunkan kawasan penempatan berdaya tahan seperti sponge city di China, mewujudkan takungan air atau kota takungan pinggir sungai seperti di Belanda, pemindahan kawasan kampung di tepi sungai yang berisiko banjir ke kawasan yang lebih tinggi.

“Mewujudkan Pusat Ramalan Cuaca Numerikal Kebangsaan, meningkatkan sistem siren dan amaran berkaitan banjir di pusat Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) selain pemantauan bencana banjir menerusi kamera litar tertutup (CCTV), membangunkan sistem ramalan dan amaran banjir berasaskan kecerdasan buatan (artificial intelligence) serta sistem amaran awal banjir lumpur, menaik taraf 100 buah stesen pencerapan cuaca permukaan automatik sedia ada yang telah usang, mengawal penebangan hutan dan kelulusan pelan perancangan bandar hendaklah mengambil kira tentang risiko banjir,” katanya.

Namun, kata Ismail Sabri, memandangkan penyelesaian secara komprehensif memerlukan peruntukan yang besar melibatkan ratusan bilion ringgit yang memakan masa panjang, mesyuarat bersetuju supaya kerajaan memfokuskan terhadap kawasan berisiko tinggi dan diberikan keutamaan untuk melaksanakan pelan penyelesaian masalah banjir. Utusan

Paradigma baharu hadapi bencana banjir – Ismail


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Keluarga Pelakon Ezzaty Abdullah Ada Dalam Kereta Api Terbakar Di Kelantan, Dukung Nenek Sekali

Lelaki cedera dibelasah kekasih gelap isteri

Wanita dihimpit lelaki tunjuk kemaluan ketika menunggang motosikal [VIDEO]

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker