Gojek, lantikan politik, MySC: Minggu sukar Syed Saddiq

Minggu ini menyaksikan Yang Berhormat (YB) menteri muda negara, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membuat beberapa tindakan luar jangkaan yang kononnya dilihat sebagai satu perjuangan anak muda pada pandangan beliau sebagai Menteri Belia dan Sukan.

Sama ada tindakan-tindakan ini bersifat peribadi atau benar-benar berdasarkan doktrin perjuangan beliau atau sekadar satu langkah populis untuk mengukuhkan kedudukan politik beliau di dalam lanskap politik tanah air yang bergelora terutamannya bagi Pakatan Harapan, hanya beliau yang mempunyai jawapannya

Kita semua sedia maklum bahawa pada awal minggu ini, Syed Saddiq begitu ghairah merencanakan perjalanan aplikasi daripada Indonesia iaitu Gojek yang begitu popular di Jakarta dan beberapa lagi buah negara di ASEAN.

Bermula dengan pertanyaan di dalam media sosial Twiter, kemudiannya secara tiba-tiba pasukan Gojek terus mendapat peluang berjumpa Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan pada hari Rabu yang lalu, Kabinet telah pun meluluskan Gojek dan yang seangkatan dengannya untuk beroperasi tertakluk kepada penentuan polisi dan perincian mekanisma perlaksanaan.

Tidak berhenti di situ sahaja, YB Syed Saddiq turut dihujani pelbagai soalan dan kecaman daripada pelbagai pihak bilamana beliau melantik 13 orang Pemuda Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menjawat jawatan Pegawai Penyelarasan Pembangunan Sukan, Majlis Sukan Negara.

Pelantikan ini mendapat perhatian pelbagai pihak termasuklah parti-parti politik lawan dan kawan kerana beliau adalah antara yang lantang menentang lantikan politik di dalam kementerian dan agensi kerajaan sebelum ini.

Akhir sekali, penukaran nama Hari Sukan Malaysia kepada Malaysia Sport Challenge 2019 (MySC’19) yang dibentangkan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, YB Steven Sim. YB Steven menyatakan bahawa ia merupakan satu cetusan idea daripada Menteri sendiri yang merasakan penukaran nama itu penting di dalam mencapai prestij dan capaian yang lebih tinggi sehingga ke peringkat antarabangsa.

Adalah sesuatu yang lucu bila Menteri sendiri tidak yakin akan penggunaan bahasa kebangsaan di dalam penganjuran Hari Sukan Negara.

* Gojek: Satu Anugerah atau bakal malapetaka?

Suka atau tidak, Kabinet telah membuat keputusan polisi untuk membenarkan konsep teksi-motorsikal. Saya secara peribadi bersetuju dengan konsep “sharing economy” seperti ini tetapi kurang yakin dengan mod motosikal-teksi melainkan kerajaan benar-benar dapat melindungi penunggang dan pembonceng motorsikal.

Konsep ini bukanlah sesuatu yang baharu, cuma di Malaysia penggunaan motosikal lebih kepada penghantaran barangan dan makanan yang dipesan sahaja seperti Grab dan Food Panda.

Kita juga mempunyai Dego-Ride yang juga merupakan syarikat tempatan yang bermula dengan perkhidmatan menghantar barangan tetapi kemudiannya cuba mewujudkan pasaran untuk menghantar penumpang menggunakan motorsikal namun Kementerian Pengangkutan yang diterajui oleh YB Liow Tiong Lai semasa pemerintahan Barisan Nasional mengharamkan operasi ini atas faktor-faktor keselamatan dan diteruskan juga oleh YB Anthony Loke semasa mengambil alih tugas Menteri Pengangkutan.

Bila mana sesuatu keputusan polisi dibuat, adalah perlu untuk kerajaan memahami konteks dan latar belakang sesuatu cadangan termasuklah risiko-risiko yang bakal dihadapai. Ramai di kalangan aktivis keselamatan jalan raya yang bimbang dengan keputusan kerajaan berkaitan Gojek ini.

Bagi mereka, ia umpama menempah maut kerana sekiranya motosikal digunakan untuk menghantar barangan atau makanan, sekiranya apa-apa yang terjadi kita akan lihat makanan dan barangan berada di atas jalan, keadaan berbeza dengan menggunakan motosikal untuk membawa penumpang.

Lebih kurang 73 peratus daripada keseluruhan jumlah kemalangan iaitu 5.17 juta nahas jalan raya melibatkan motosikal daripada 2008 sehingga 2017. Daripada tahun 2015 sehingga 2017, terdapat 1,152 pembonceng telah terkorban manakala 11,884 penunggang motosikal terkorban dalam nahas jalan raya di seluruh negara.

Statistik yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia ini patut dijadikan asas pemikiran polisi walaupun YB Syed Saddiq merasakan cadangan ini bakal meberi peluang pekerjaan kepada anak muda. Benarlah kata beliau, anak muda tidak patut diperlekehkan tetapi adakah beliau bersedia untuk melihat statistik kematian melibatkan motosikal yang melibatkan anak muda meningkat?

Oleh kerana itu, adalah penting untuk mengetahui asas sesuatu polisi dan bukan semata-mata berdasarkan persepsi persendirian ataupun bersifat populis. Keputusan polisi harus merentasi pelbagai faktor supaya polisi yang dibuat tidak merugikan pihak-pihak lain.

Keputusan kerajaan berkenaan Gojek ini telah mendapat tentangan daripada pelbagai pihak terutamanya pemandu-pemandu teksi Kuala Lumpur yang rata-rata sedang cuba menyusun kembali hidup mereka setelah dilanda badai perkhidmatan e-hailing seperti Grab dan MyCar. Kini mereka bakal berhadapan dengan satu lagi persaingan dan ia bakal menutup periuk nasi mereka.

Seharusnya kerajaan memahami ekosistem pengangkutan dan mobiliti bandar sebelum sebarang keputusan dibuat. Sebab itu pemahaman konteks itu penting dan keputusan dibuat setelah mengambil kira semua pertimbangan.

Satu lagi cabaran yang saya amat yakin bakal dihadapi oleh kerajaan adalah insurans. Pengalaman saya mengendalikan polisi e-hailing memberi banyak kesabaran di dalam mengendalikan dua pihak berkepentingan iaitu pemandu teksi dan syarikat insurans.

Syarikat insurans bersifat perniagaan dan pada mereka apa sahaja perkhidmatan pengangkutan yang mempunyai sifat risiko yang tinggi, maka premium insurans akan menjadi amat mahal sebagai contoh, teksi membayar lebih kurang empat kali ganda harga premium berbanding kenderaan persendirian. Melihat keadaan ini, berapa agaknya harga premium yang perlu dibayar oleh mereka yang menjalankan perkhidmatan seperti Gojek ini? Suasana industri insurans kenderaan pengangkutan awam dan komersial di Malaysia tidak sama seperti di negara-negara lain dan Bank Negara telahpun menetapkan syarat yang mengutamakan syarikat tempatan di dalam mengambil produk insurans.

Keghairahan YB Menteri Belia dan Sukan di dalam isu Gojek ini juga menimbulkan banyak pertanyaan lain. Mengapakah beliau begitu teruja untuk membawa Gojek sedangkan kita sudah punya pemain tempatan?

Bila mana UBER masuk ke negara kita, tiada seorang pun ahli politik terlibat malah SPAD memburu mereka secara besar-besaran kerana melanggar undang-undang. Bila mana MyTeksi mengambil keputusan menjadi Grab di dalam memberikan persaingan kepada UBER seterusnya menghalau UBER keluar daripada ASEAN, ia berlaku secara organik tanpa campur tangan kerajaan.

Keadaan ini menunjukkan bahawa YB Syed Saddiq bersifat bias terhadap Gojek malahan menghantar signal yang jelas kepada mana-mana syarikat yang ingin mendapat sokongan dan kelulusan kerajaan bahawa dengan melalui Syed Saddiq, mereka akan punya akses yang mudah untuk sampai ke Pejabat Perdana Menteri seterusnya mendapat kelulusan Kabinet.

Mudah! Tidak perlu lagi melalui kementerian-kementerian yang bertanggungjawab. Cukup sekadar melalui Kementerian Belia dan Sukan. Alasannya, demi anak muda. Satu persepsi yang tidak sihat sama sekali.

Selain daripada itu, Kementerian Pengangkutan perlu memastikan polisi dan syarat-syarat operasi benar-benar mampu mengawal selia perkhidmatan ini bagi memastikan ia selamat. Ia termasuklah dari segi jarak perjalanan, aspek keselamatan, kesihatan penunggang termasuk latar belakang mereka diperiksa supaya mereka sentiasa sihat untuk menjalankan perkhidmatan dan macam-macam lagi.

Ini perlu lah dilaksanakan selepas kajian kebolehlaksanaan dibuat. Persoalannya, adalah kajian kebolehlaksanaan akan dibuat? Dan sekiranya ia dibuat dan keputusan tidak memihak kepada Gojek, adakah YB Syed Saddiq akan tetap membawa Gojek masuk ke Malaysia atas alasan demi anak muda?

* Lantikan Pegawai Penyelaras Pembangunan Sukan bukan lantikan politik?

Minggu YB Syed Saddiq makin meriah bila mana beliau diasak dengan pertanyaan demi pertanyaan berkenaan lantikan 13 pegawai penyelaras pembangunan sukan di Majlis Sukan Negara. Walaupun lantikan itu dibuat melalui proses penjawatan yang diperuntukkan oleh kerajaan, bila mana anak muda mat-mat motor dibantu untuk mendapat peluang pekerjaan berisiko tinggi seperti Gojek, anak muda dari parti politik beliau diberikan tempat yang begitu selesa di dalam pejabat berhawa dingin.

Lebih menarik lagi Timbalan beliau YB Steven Sim menjadi benteng pertahanan utama untuk menegakkan benang yang basah bahawa pelantikan itu tidak ada masalah tidak kira dari kelompok parti atau mana-mana persatuan selagi mana ia dibuat berdasarkan prosedur perkhidmatan awam yang ada. Beliau turut menambah sepatutnya tidak ada keperluan untuk mana-mana pihak mempersoalkan latar belakang mereka yang dilantik.

Berdasarkan Facebook Pemuda UMNO Tebrau, kesemua mereka yang dilantik ini adalah ketua-ketua pemuda bahagian dan Exco Nasional Bersatu.

Jika kita lihat daripada kenyataan YB Timbalan Menteri KBS yang mengatakan tiada pihak boleh mempersoalkan perlantikan ini maka ia adalah satu kenyataan yang sombong dan berat sebelah. Adakah ia satu kebetulan pelantikan dibuat ini melibatkan pemimpin muda Bersatu?

Benar ia mengikut prosedur kerana itu amalan kerajaan tetapi kesemua mereka daripada parti yang sama? Kalau ini bukan lantikan bersifat politik, maka saya merasakan Menteri dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan benar-benar menghina intelektual rakyat terutamanya anak muda.

Sebenarnya amalan ini adalah amalan politik biasa yang sentiasa menjadi alat mana-mana parti politik di dalam mengukuhkan kedudukan politik mereka. Ia merupakan satu konsep persefahaman yang dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak di mana yang mempunyai kedudukan di dalam kerajaan akan membantu pendokong-pendokong beliau mendapat tempat di dalam agensi ataupun kementerian atas dasar persefahaman politik.

Namun yang demikian, perang tiada lantikan bersifat politik yang dibuat oleh YB Menteri sendiri pada tahun lepas kini benar-benar hanya satu retorik politik murahan. Mungkin beliau baru sedar bahawa beliau merupakan ahli politik dan sebagai ahli politik berjawatan Menteri, bukan mudah untuk mengawal nafsu penyokong-penyokong beliau untuk mendapat tempat di dalam kerajaan demi kelansungan perjalanan politik YB Syed Saddiq. Sama ada benar atau tidak, beliau sahaja yang mengetahuinya dan diharapkan beliau menjawab soalan-soalan media di whatsaap untuk penjelasan sebenar.

* Bahasa Melayu tidak cukup seksi untuk mempromosikan Hari Sukan Negara?

Penjenamaan semula adalah satu aktiviti yang tidak asing lagi dengan Kerajaan Pakatan Harapan. Kini Hari Sukan Negara menjadi mangsa.

Kementerian Belia dan Sukan melalui Timbalan Menterinya mengumumkan penjenamaan semua Hari Sukan Negara kepada Malaysia Sport Challenge 2019 (MySC’19) yang akan berlangsung selama sebulan. Saya amat menghargai usaha pembangunan sukan melalui KBS terutamanya dengan memanjang masa Hari Sukan Negara daripada sehari kepada sebulan yang melibatkan semua peringkat.

Saya juga tidak punya masalah penjenamaan semula Hari Sukan Negara kepada MySC’19 malah juga tiada masalah menggunaan bahasa Inggeris daripada penggunaan bahasa Melayu walaupun ada sedikit kekesalan melihat penggunan bahasa Melayu di ambil mudah oleh KBS.

Yang menjadi masalah adalah dengan menggunakan alasan murahan dan tidak masuk akal mengatakan bahawa alasan penukaran nama adalah untuk mempertingkatkan prestij dan capaian program sukan ini ke peringkat antarabangsa adalah suatu yang tidak boleh diterima sama sekali.

Alasan atau rasional yang dikemukakan oleh YB Steven Sim kini mendapat bantahan ramai termasuklah daripada PENA dan juga DBP sendiri yang mendesak supaya KBS menggunakan bahasa Melayu sejajar dengan kedudukan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan. Saya tidak nampak masalahnya di situ melainkan kesemua persiapan telah dibuat dengan menggunakan jenama MySC’19 dan sekiranya ia ditukar, maka KBS akan terpaksa berhadapan dengan masalah kos tambahan.

Walau apapun, idea penjenamaan semula yang lahir dari cetusan idea YB Syed Saddiq ini wajar diberi pertimbangan setelah mendapat maklum balas umum atau, teguhkan sahaja pendirian beliau sebagai Menteri KBS dan teruskan program seperti yang telah dirancangkan.

Minggu yang sukar bagi YB Syed Saddiq ini diharapkan menjadi satu pengajaran yang bermakna buat beliau di mana di dalam menjawat jawatan Menteri dan sebagai seorang Ahli Parlimen yang menggubal dasar, adalah perlu untuk beliau memahami konteks dasar tersebut dan tidak gopoh di dalam membuat apa-apa keputusan atau pengumuman. Beliau bersifat bijak dengan berjumpa dengan semua menteri-menteri Kabinet di dalam mendapatkan persetujuan.

Penggunaan kaedah pecah dan perintah ini merupakan satu strategi yang biasa digunakan sekiranya seseorang benar-benar mahukan keputusan yang berpihak kepadanya. Saya tidak pelik jika ilmu ini datang daripada Tun Mahathir sendiri kepada YB Syed Saddiq.

YB Syed Saddiq juga perlu berhadapan dengan kemarahan rakyat atas isu lantikan bersifat politik dan penggunaan bahasa Melayu di dalam program sukan KBS.

Beliau kini perlu membuktikan pendirian politik beliau di dalam memastikan ia tidak memakan diri malah, di kala kita sedang sibuk mempersiapkan diri menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-62, sentimen penggunaan bahasa Melayu pasti menjadi satu cabaran buat beliau. Apa pun saya ucapkan selamat maju jaya kepada YB Syed Saddiq.

Wan Agyl Wan Hassan
Utusan

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker