Lupuskan jawatan menteri sukan, kata veteran

Lupuskan jawatan menteri sukan, kata veteran

Kerajaan sepatutnya melupuskan saja jawatan menteri sukan memandangkan kekurangan dasar konkrit dan sasaran jangka panjang yang dapat meningkatkan prestasi sukan di pentas dunia sejak bertahun lamanya.

Bekas Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Sieh Kok Chi, berkata, mustahil untuk menilai kejayaan menteri sukan selama bertahun-tahun ini, susulan penunjuk prestasi sentiasa berubah mengikut kepentingan menteri itu sendiri.

Beliau berkata demikian ketika mengulas masa depan sukan negara, memandangkan empat orang memegang jawatan menterinya sejak 2017 iaitu Khairy Jamaluddin, Syed Saddiq Abdul Rahman, Reezal Merican Naina Merican, dan terbaru, Ahmad Faizal Azumu.

Sieh, pengkritik dan pentadbir sukan veteran, menganggap sulit untuk membuat penilaian terhadap menteri apabila penunjuk indeks utama (KPI) mereka dibuat berdasarkan sasaran pingat ditetapkan Majlis Sukan Negara (MSN), yang dinaungi kementerian berkenaan.

Beliau berkata, berdasarkan dan sasaran MSN, menteri boleh mendakwa dirinya sudah berjaya, justeru mustahil untuk menilai kejayaan dan kegagalan menteri sukan itu sendiri.

“Apa yang saya maksudkan adalah penanda arasnya sentiasa berubah. Sepatutnya ada perubahan dasar supaya tidak hanya bergantung kepada penilaian berasaskan pingat atau elit, sebaliknya melihat kepada penilaian jangka panjang termasuk pembangunan sukan dalam kalangan bakat muda, contohnya dalam sukan olahraga dan renang.

“Masalah utama adalah menteri tidak tahu apa yang dimahukan dan hanya mendengar MSN, yang cuma mengejar glamor dalam sukan bertaraf elit. Menteri tidak tahu apa yang mereka mahukan dan patut lakukan. Mungkin mereka boleh menukar nama jawatan kepada menteri pingat sukan,” katanya kepada FMT.

Sieh berkata, sepanjang lebih 25 tahun beliau menjadi Setiausaha Agung MOM dengan lapan menteri, sukar untuk mengiktiraf siapa antara mereka dianggap berjaya.

Dalam pada itu, Presiden MOM Mohamad Norza Zakaria menyuarakan harapan Menteri Belia dan Sukan Ahmad Faizal mampu meneruskan ‘legasi kuat’ Reezal Merican Naina Merican.

Beliau turut berharap Faizal memastikan peranan MOM menuju Olimpik Paris 2024, tidak berubah.

“Kami turut berharap Faizal berterusan menyokong desakan mengadakan skim pencen kepada atlet,” katanya. FMT

Lupuskan jawatan menteri sukan, kata veteran

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker