Mujur bukan Azmin Menteri Kewangan – Chin Tong

Mujur bukan Azmin Menteri Kewangan – Chin Tong

Pelantikan semula Tengku Zafrul Aziz sebagai Menteri Kewangan mungkin bukan sesuatu yang ideal, namun lebih baik daripada Azmin Ali memegang jawatan itu, kata Liew Chin Tong.

“Saya rasa jika Azmin Ali dilantik sebagai Menteri Kewangan, pasti satu malapetaka,” kata bekas timbalan menteri pertahanan itu dalam bual bicara maya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin, ‘Spill The Tea, JJ’.

Ahli DAP itu juga menyifatkan sebagai sesuatu yang baik apabila bukan orang Umno yang memegang portfolio kewangan itu, memandangkan Perdana Menteri adalah dari parti berkenaan.

Beliau yang menyifatkan barisan Kabinet sebagai “Kabinet Muhyiddin Yassin tanpa Muhyiddin”, menyuarakan harapan bahawa kerajaan baharu Ismail Sabri Yaakob akan dapat mengatasi kemelut politik, kesihatan dan ekonomi yang sedang dihadapi negara.

Katanya, Kementerian Kewangan dan kerajaan mesti merangka pakej atau perancangan bagi menangani kesan akibat wabak, dengan sekurang-kurangnya lebih banyak bantuan untuk isi rumah B40 serta M40 bagi memacu ekonomi.

“Ramai orang membunuh diri dan ramai telah kehilangan kerja. Ada orang yang tidak cukup makan, kanak-kanak tidak dapat bersekolah dan sebagainya. Kita perlukan kerajaan yang berkesan dan mampu melindungi kelangsungan hidup rakyat.”

Beliau bagaimanapun menyifatkan satu perkara yang amat positif apabila Khairy Jamaluddin dilantik menjadi Menteri Kesihatan.


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


“Jika Muhyiddin menukar Menteri Kesihatannya lebih awal pada Januari atau Februari, sekiranya Khairy menteri vaksin dan kesihatan, saya rasa keadaan Covid-19 pasti lebih terkawal.”

Beliau berharap peranan baharu Khairy itu memberi peluang kepada kerajaan untuk menguruskan wabak dengan lebih berkesan.

Memetik ucapan Ismail hari ini, beliau berkata adalah penting supaya negara ini bersedia menerima dan hidup dengan Covid-19 sebagai sesuatu yang endemik.

Dari segi politik, Liew berkata kerajaan mahupun pembangkang perlu mencapai kompromi seperti dikehendaki Yang di-Pertuan Agong supaya semua orang berganding bahu dan bekerjasama.

Tambahnya, pembangkang perlu diberi ruang dalam Parlimen untuk memastikan semak dan imbang terhadap kewibawaan kerajaan. FMT

Mujur bukan Azmin Menteri Kewangan – Chin Tong

TMJ cari penyanyi lagu saduran Azman Naim

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker