Kos bahan binaan lonjak harga kediaman bertingkat



Kos bahan binaan lonjak harga kediaman bertingkat

Harga kediaman bertingkat baharu dijangka meningkat lebih tinggi berbanding rumah bertanah susulan kenaikan harga bahan binaan, demikian mengikut Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA).

Timbalan Presidennya, Datuk NK Tong berkata, ini kerana projek hartanah bertingkat menggunakan lebih banyak bahan binaan seperti besi dan konkrit daripada kediaman bertanah.

Dalam pada itu, bagi kediaman bertanah pula, kos utamanya adalah harga tanah itu sendiri.

“Sukar untuk saya katakan (sama ada kenaikan harga bahan binaan boleh menyebabkan kenaikan 10-20 peratus harga rumah). Tetapi saya boleh katakan, kesan daripada kenaikan kos (harga bahan binaan) adalah lebih besar kepada kediaman bertingkat kerana penggunaan besi dan konkrit yang lebih signifikan.




“Manakala bagi kediaman bertanah, komponen yang lebih besar dalam menentukan harga ialah kos tanah,” katanya kepada media ketika ditemui selepas pelancaran Persidangan Pemaju Hartanah Tahunan Siri CEO 2022 di sini, hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi REHDA Institute, Datuk Jeffrey Ng Tiong Lip.

Mengenai Kempen Pemilikan Rumah (HOC), NK berkata, REHDA pada akhir tahun lalu telah memohon untuk kempen itu yang telah berakhir pada 31 Disember 2021 dilanjutkan lagi pada tahun ini.

Katanya, pihaknya ingin merakamkan penghargaan kepada kerajaan kerana telah melanjutkan HOC dari Mei 2021 hingga akhir tahun lalu.

“Namun, dalam tempoh itu, negara telah dikenakan perintah kawalan pergerakan (PKP) selama hampir lima bulan menyebabkan banyak rumah pameran dan pejabat ditutup.




“Walaupun jualan masih boleh dilakukan secara dalam talian, tetapi kami telah terlepas peluang (akibat PKP).

“Kami masih belum menerima apa-apa maklum balas daripada kerajaan (mengenai permohonan lanjutan HOC), tetapi apa yang kami tahu ia tidak dilanjutkan buat masa ini,” katanya.

Sementara itu Jeffrey di dalam ucapan aluannya berkata, campur tangan kerajaan adalah perlu bagi mengurangkan tekanan kos ke atas industri hartanah dan pembangunan hartanah bagi memastikan harga rumah kekal stabil.

“Memandangkan pasaran hartanah dan pembangunan hartanah sudah berada dalam pasaran inflasi tolakan kos, kenaikan kos selanjutnya tidak dapat diserap oleh pasaran kerana harga telah ditetapkan terlebih dahulu sebelum ini dan pasaran yang tidak cergas menentukan tiada ruang lagi untuk kenaikan harga sementara margin sudah dihimpit dan berterusan untuk terhakis.

“Oleh itu, campur tangan kerajaan mungkin perlu untuk mengurangkan tekanan kos ke atas industri hartanah dan pembangunan hartanah bagi memastikan harga rumah kekal stabil,” katanya. BH




Kos bahan binaan lonjak harga kediaman bertingkat


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU</a


Nabila Huda bakal berdepan tindakan saman

Zul Ariffin buka mulut tentang hubungan dengan Sabrina

Cerai, hilang datuk dalam sehari



Leave a Reply

Your email address will not be published.