Rezeki Allah tak salah alamat

Rezeki Allah tak salah alamat

oleh Prof Madya Dr Azlan Shaiful Baharum

PERSEPSI manusia terhadap rezeki pelbagai. Manusia seringkali melihat rezeki hanya dari material saja. Pada hal masih banyak jenis rezeki yang dapat kita rasakan, seperti keluarga yang bahagia, rakan-rakan yang baik, persekitaran yang menyegarkan dan sebagainya. Ada segelintir manusia yang merasakan sumber rezeki hanya hasil kerja keras dan usahanya saja. Sedangkan Allah SWT telah menyediakan pelbagai jalan menuju rezeki yang telah disebutkan dalam al-Quran. Rezeki, jodoh, dan kematian sudah ditakdirkan oleh Allah SWT, dan akan tetap menjadi rahsia-Nya. Oleh sebab itu, sebagai manusia kita wajib berusaha untuk mendapatkan rezeki tersebut. Selain itu, ia mesti diiringi dengan doa yang sebaik-baiknya kepada Allah SWT. Selebihnya, kita serahkan pada takdir dan ketentuan Allah SWT.

Rezeki yang telah terjamin

Sebagai manusia di muka bumi yang diberikan akal dan fikiran oleh Allah SWT, hendaklah memanfaatkan nikmat tersebut dalam mencari rezeki. Ini kerana Allah SWT telah menjamin rezeki seseorang sejak mulai dari kandungan ibunya lagi. Firman Allah SWT dalam Surah Hud ayat 6 maksudnya: “Dan tiadalah sesuatu pun dari makhluk-makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jugalah yang menetapkan rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat ia disimpan. Semuanya itu tersurat di dalam Kitab (Lauh mahfuz) yang nyata (kepada malaikat-malaikat yang berkenaan).”

Rezeki asbab usaha individu

Sumber rezeki kedua adalah dari hasil usaha manusia. Allah SWT tidak akan menutup rezeki bagi umatnya yang telah bersungguh-sungguh berusaha serta berdoa demi mendapatkan rezeki dari-Nya. Dan Allah akan memberikan yang setimpal dengan a apa yang telah diusahakan. Firman Allah dalam Surah An-Najm ayat 39 maksudnya: “Dan sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya.”

Rezeki asbab bersyukur

Sebanyak mana rezeki yang kita peroleh, hendaklah kita sentiasa mensyukurinya. Ini kerana dengan banyak bersyukur, Allah akan menambahkan nikmat itu berkali ganda kepada kita. Dijelaskan dalam firman Allah Surah Ibrahim ayat 7 maksudnya: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur niscaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras.”

Rezeki tidak terduga

Selanjutnya rezeki yang tidak terduga. Pernahkah kita mendapat sesuatu rezeki yang tak terduga dari seseorang, seperti hadiah, pakaian atau makanan atau benda-benda lain? Sudah tentu itu juga dinamakan rezeki. Tidak semesetinya wang ringgit semata-mata. Jika seseorang beriman dan bertakwa pada Allah SWT, maka hal yang tidak diduga ini akan mudah untuk diperoleh. Firman Allah dalam Surah At-Talaaq ayat 2-3 maksudnya: “Sesiapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan menjadikan baginya jalan keluar dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya.”

Rezeki asbab istighfar

Selain dapat menghapuskan dosa, istighfar dan mengucapkan tahmid juga dapat mendatangkan rezeki yang murah dan tidak disangka-sangka. Firman Allah dalam Surah Nuh ayat 10-11 maksudnya: “Beristighfarlah kepada Tuhanmu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun, pasti Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat dan memperbanyak harta.”

Rezeki asbab berkahwin

Berkahwin juga termasuk salah satu sumber rezeki untuk seseorang. Oleh yang demikian, janganlah takut untuk berkahwin, kerana Allah telah berjanji dalam Surah An-Nur ayat 32 maksudnya: “Dan kawinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu dan orang-orang yang saleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah karunia-Nya karena Allah Maha Luas (rahmat-Nya dan limpah karunia-Nya), lagi Maha Mengetahui.”

Rezeki asbab kelahiran zuriat

Kebiasaannya salah satu alasan seseorang takut untuk berkahwin kerana takut tidak dapat memberikan nafkah kepada pasangannya dan anaknya. Bahkan keadaan itu menyebabkan mereka bimbang untuk memiliki zuriat sendiri. Sedangkan anak ialah salah satu sumber rezeki bagi ibu bapanya. Firman Allah dalam Surah Al-Isra` ayat 31 maksudnya: “Dan janganlah kamu membunuh anak-anak mu karena takut miskin. Kamilah yang akan menanggung rezeki mereka dan juga (rezeki) bagimu.”

Rezeki asbab kerap bersedekah

Yakinlah bahawa limpahan rezeki akan datang melalui amalan bersedekah. Hal ini tercatat dalam Surah Al-Baqarah ayat 245 maksudnya: “Siapakah orangnya yang (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (yang ikhlas) supaya Allah melipatgandakan balasannya dengan berganda-ganda banyaknya? Dan (ingatlah), Allah jualah Yang menyempit dan Yang meluaskan (pemberian rezeki) dan kepada-Nyalah kamu semua dikembalikan.”

Oleh sebab itu, janganlah takut untuk tidak dikurniakan rezeki, kerana rezeki akan datang dari pelbagai sumber yang telah ditentukan oleh Allah SWT.

Rezeki asbab menjauhi godaan syaitan

Allah SWT mengasihi orang yang berusaha bersungguh-sungguh dalam menepis godaan dan tipu daya syaitan, yang sentiasa berusaha memesongkan umat manusia ke lembah kehinaan. Allah SWT berfirman dalam Surah Al Baqarah ayat 168 maksudnya : “Wahai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik dari apa yang terdapat di bumi dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan; karena sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi kamu.”

Rezeki asbab banyak infaq ke jalan Allah

Orang yang sentiasa meyakini bahawa berbelanja ke jalan Allah SWT akan dikurniakan rezeki yang berlipat kali ganda, sudah tentu tidak akan berfikir Panjang untuk mengeluarkan wang ringgit nya demi mencari keredaan Allah SWT. Firman-Nya dalam Surah Al Baqarah ayat 245: “Siapakah yang mahu memberi pin jaman kepada Allah, pinjaman yang baik (menafkahkan hartanya di jalan Allah), maka Allah akan meperlipat gandakan pembayaran kepadanya dengan lipat sebanyak-banyaknya. Dan Allah menyempitkan dan melapangkan (rezeki) kepada seiapa yang dia kehendaki) dan kepada-Nyalah kamu dikembalikan.”

Rezeki asbab keimanan dan ketakwaan yang mantap

Allah SWT sangat menyayangi dan mengasih hamba-hamba-Nya yang sentiasa berusaha meningkatkan keimanan dan ketakwaan mereka dari semasa ke semasa dengan melakukan segala perintahnya dan meninggalkan segala larangannya. Mereka berusaha siang dan malam untuk memastikan tahap iman dan takwa mereka di tahap yang terbaik serta di pandang oleh Allah SWT. Allah berfirman dalam Surah Al A’Raf a yat 96: “Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertakwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkat dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, maka Kami seksa mereka disebabkanperbuatannya.”

Moga Allah SWT murahkan rezeki kita semua dengan asbab kebaikan dan amal saleh yang kita lakukan setiap hari, bukan bermusim atau kerana sesuatu keuntungan duniawi semata-mata. Buatlah semua ikhlas kerana Allah SWT. Percayalah rezeki yang halal lagi barakah itu akan datang bergolek.

Penulis Profesor Madya Bahasa Arab dan Komunikasi, Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

Rezeki Allah tak salah alamat


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU</a


Nabila Huda bakal berdepan tindakan saman

Zul Ariffin buka mulut tentang hubungan dengan Sabrina

Cerai, hilang datuk dalam sehari

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker