Delivery maksiat melalui Whatsapp
Delivery maksiat melalui Whatsapp
Pilih di WhatsApp, tunggu wanita dihantar ke hotel. Itu ‘pakej delivery wanita’ disediakan sindiket pelacuran yang beroperasi di sekitar ibu kota.
Sindiket yang dipercayai beroperasi sejak dua bulan lalu itu mengenakan bayaran RM250 bagi setiap perkhidmatan seks disediakan mereka.
Bagi mengelakkan tindakan mereka dikesan, sindiket menggunakan transporter untuk melakukan penghantaran selain bertujuan untuk mengawal wanita yang diperdagangkan mereka.
Malah, wanita itu juga dipaksa bekerja 12 jam setiap hari dan sentiasa dipastikan berada dalam kenderaan transporter itu termasuk makan serta minum.
Kelicikan sindiket yang sentiasa bergerak atau mobil itu bagaimanapun dapat dihidu Bahagian Antipemerdagangan Manusia dan Penyeludupan Migran (D3) Bukit Aman sebelum satu serbuan dilakukan di kawasan sekitar sebuah hotel di Bukit Bintang di sini, Rabu lalu.
Dalam serbuan kira-kira jam 10.30 malam itu, enam transporter ditahan manakala 17 wanita dipercayai diperdagangkan berjaya diselamatkan masing-masing berusia antara 20 hingga lewat 30-an.
Kejayaan operasi itu disahkan Ketua Penolong Pengarah D3 Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Fadil Marsus yang memaklumkan, kes sedang disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007.
Menurutnya, siasatan awal pihaknya mendapati sindiket beroperasi di sekitar kawasan Bukit Bintang, Jalan Pudu dan Kuala Lumpur.
“Sindiket dipercayai menawarkan perkhidmatan seks dengan cara mengiklankan gambar wanita warga asing dan individu berminat akan membuat tempahan menerusi WhatsApp.
“Bayaran yang dikenakan kepada pelanggan adalah RM250. Daripada jumlah itu, sebanyak RM140 adalah untuk sindiket dan RM110 adalah untuk wanita terbabit,” katanya.
Fadil berkata, semua transporter mengawal wanita di dalam kereta dan menghantar mangsa ke hotel sekitar ibu kota sekiranya terdapat tempahan.
“Mangsa juga hanya dibenarkan makan di dalam kereta dan tidak dibenarkan keluar daripada kenderaan sesuka hati. Mereka dikawal rapi sehinggalah waktu kerja selama 12 jam tamat,” katanya.
Katanya, pasukan D3 yang melakukan serbuan itu menemukan semua mangsa dalam enam kereta yang diparkir tepi jalan dipercayai sedang menunggu pelanggan.
Beliau berkata, selain kereta digunakan sindiket itu, pihaknya turut merampas 11 telefon bimbit, 27 keping kondom dan wang tunai berjumlah RM2,534.
Kata beliau, semua suspek yang ditahan dan mangsa yang berjaya diselamatkan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk siasatan dan tindakan lanjut.
Sindiket beroperasi cara maya
Bukit Aman menjangkakan sindiket pelacuran akan menggiatkan operasi mereka secara maya selain menggunakan pendekatan bergerak berbanding menyewa premis untuk kegiatan persundalan itu.
Untuk rekod, sejak negara menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang membataskan pergerakan rentetan penularan Covid-19, sindiket dikesan beralih arah menggunakan kaedah bergerak iaitu menghantar wanita ke lokasi tertentu seperti hotel atau lokasi pilihan pelanggan dan mempromosikannya di media sosial.
Mengakui perubahan modus operandi itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, trend berkenaan dijangkakan berterusan pada tahun mendatang.
“Walaupun dalam tempoh pandemik dengan pergerakan yang terhad, kegiatan pelacuran masih ada lagi dijalankan. Jika melihat situasi ini, kita ingatkan kegiatan itu mati dalam tempoh ini tetapi ia masih lagi hidup.
“Cara kegiatan itu dijalankan kini berlainan. Pada waktu dulu, sindiket pelacuran menyediakan tempat tetapi kini kegiatan itu dilakukan secara mobil dengan bergerak dari satu tempat ke satu tempat lain.
“Berdasarkan rekod tahun lalu, sindiket terbabit dilihat banyak menggunakan kaedah mempromosikan kegiatan itu serta berkomunikasi dengan pelanggan secara maya melalui media sosial seperti WeChat dan WhatsApp,” katanya dalam temubual eksklusif bersama Harian Metro di Bukit Aman, baru-baru ini.
Biarpun berdepan risiko ketika melakukan tugas, Abd Jalil berkata, pihaknya tetap meneruskan pemantauan dan hasilnya beberapa serbuan dan tangkapan dilakukan terhadap sindiket pelacuran itu yang dikesan menggunakan modus operandi berkenaan.
“Menurut statistik direkodkan JSJ Bukit Aman, sebanyak 2,952 serbuan berjaya direkodkan pada 2020 dan jumlah itu menurun kira-kira 50 peratus apabila merekodkan 1,850 serbuan bagi tempoh Januari hingga November tahun lalu.
“Dari segi tangkapan pula, 11,610 tangkapan dibuat pada 2020 dan jumlah itu menurun hampir 60 peratus kepada 6,353 tangkapan bagi tempoh sama tahun lalu.
“Bagi pertuduhan pula, sebanyak 2,300 pertuduhan direkodkan sepanjang 2020 dan jumlah itu menurun kira-kira 50 peratus kepada 1,191 pertuduhan pada tempoh sama tahun lalu,” katanya HM
Delivery maksiat melalui Whatsapp
Baca Artikel Menarik :
- Azam ‘sembang’ dulu cakap sokong pemberi maklumat – C4
- Banjir: E-rebat RM500 bantu mangsa banjir beli peralatan elektrik
- Caj RM600 sekali servis, 6 pelajar Afrika melacur ditahan
- Adik guna akaun Azam: Ini bukan akaun Shopee – Fahmi
- Keladi emas 916 sama harga Honda Civic
- Anya kena kecam bercium dengab Reza
- Sharnaaz risau, Emma pula obses
- Ameera Khan dikecam jual kek batik
- Maut Angkara Buat Pusingan U Mengejut
- Khalid jangan sibuk tanah orang
- Wanita letak ikan mati dalam peti surat bekas teman lelaki setiap hari
Layari Laman Facebook MYKMU</a