Pengurusan rayuan akhir Najib pada 24 Januari



PUTRAJAYA – Rayuan akhir bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung sabitan salah serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atas kesalahan penyelewengan dana syarikat SRC International Sdn. Bhd. sebanyak RM42 juta ditetapkan untuk pengurusan kes di Mahkamah Persekutuan pada 24 Januari ini.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Ashrof Adrin Kamarul berkata pada prosiding pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Siti Hajar Mustaffa, mahkamah memaklumkan pihak-pihak bahawa rekod rayuan membabitkan keputusan kes SRC International telah siap disediakan.

“Bagaimanapun rekod rayuan bagi permohonan untuk memasukkan bukti baharu masih belum siap.

“Pada prosiding hari ini, pihak pembelaan turut memaklumkan mahkamah bahawa mereka berkemungkinan akan memfailkan permohonan untuk lanjutan masa memfailkan petisyen rayuan,” katanya ketika dihubungi.

Prosiding yang dijalankan secara Zoom turut disertai peguam, Wan Aizuddin Wan Mohammed mewakili Najib selaku perayu.




Selain itu, Mohd. Ashrof turut memberitahu pihak pembelaan juga sedang memikirkan sama ada akan membuat permohonan agar kedua-dua rayuan (kes penyelewengan dana dan kemuka bukti baharu) didengar bersama atau berasingan.

Sementara itu, seorang lagi peguam Najib, Muhammad Farhan Muhammad Shafee ketika dihubungi memberitahu, pembelaan berkemungkinan akan memohon Mahkamah Persekutuan untuk mendengar rayuan berhubung bukti baharu sebelum rayuan berkaitan sabitan salah dan hukuman Najib.

Pada 8 Disember lalu, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan salah serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ke atas Najib selepas didapati bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan dana SRC International. – K! ONLINE

Pengurusan rayuan akhir Najib pada 24 Januari


Baca Artikel Menarik:




Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Wanita dakwa jumpa Rasulullah alami bipolar disorder (Video)



Leave a Reply

Your email address will not be published.