Banjir: Mangsa di lima negeri meningkat, 73 jalan ditutup di Selangor

Jumlah mangsa banjir yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di lima negeri iaitu Pahang, Kelantan, Melaka, Perak dan Negeri Sembilan meningkat pagi ini dan 73 jalan di Selangor masih ditutup akibat bencana itu.

Di PAHANG, menurut aplikasi InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jumlah mangsa banjir terus meningkat pagi ini kepada 25,669 orang di 239 PPS berbanding 19,344 orang di 214 PPS malam tadi.

Daerah yang dilanda banjir masih kekal sembilan iaitu Bentong, Raub, Lipis, Jerantut, Temerloh, Bera, Maran, Kuantan dan Pekan.

Pemegang konsesi Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) dan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KL-K) memaklumkan beberapa lokasi di lebuh raya tersebut masih ditutup antaranya di KM76-KM126 LPT1 Karak-Temerloh bagi kedua-dua arah.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri pula melaporkan beberapa paras sungai utama di negeri itu masih pada paras bahaya termasuk Sungai Pahang, Sungai Jelai, Sungai Tembeling, Sungai Lipis, Sungai Bentong, Sungai Lembing, Sungai Lepar dan Sungai Belat.

Di KELANTAN jumlah mangsa banjir yang direkodkan pagi ini adalah seramai 3,801 orang daripada 1,098 keluarga, berbanding 3,173 orang daripada 895 keluarga semalam.

Sekretariat Pengurusan Bencana dan Operasi Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kelantan, Zainuddin Hussin berkata 57 PPS dibuka iaitu 29 buah di Kuala Krai, Gua Musang (16), Pasir Mas (lapan) manakala masing-masing dua di Jeli dan Tanah Merah.

Sementara itu, portal rasmi eBanjir Kelantan melalui https://ebanjir.kelantan.gov.my melaporkan empat sungai utama di Kelantan berada pada paras bahaya iaitu Sungai Lebir di Tualang, Kuala Krai merekodkan bacaan 36.53 meter (m), Sungai Kelantan di Tangga Krai (26.74 m), Sungai Kelantan di Jambatan Guillemard (17.12 m) dan Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas (10.28 m).

Di MELAKA jumlah mangsa banjir terus meningkat kepada 826 mangsa daripada 183 keluarga pagi ini.

Bagaimanapun, menurut Pengarah APM Melaka Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin mangsa banjir di daerah Alor Gajah menunjukkan sedikit penurunan kepada 481 orang daripada 99 keluarga, manakala di Melaka Tengah individu terjejas banjir bertambah kepada 327 orang daripada 80 keluarga.

“Daerah Jasin pula kekal dengan 18 mangsa banjir daripada empat keluarga. Secara keseluruhan, 11 PPS dibuka di negeri ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, di PERAK satu lagi PPS dibuka di Dewan Bandaran Teluk Intan semalam menjadikan setakat ini, tiga PPS sedang beroperasi di seluruh negeri.

Menurut jurucakap APM dan Sekretariat Pengurusan Bencana Perak, jumlah mangsa banjir meningkat pagi ini kepada 242 orang berbanding 154 orang semalam, berikutan limpahan air Sungai Bernam, Sungai Slim dan Sungai Trolak.

Di NEGERI SEMBILAN, Pengarah APM Negeri Sembilan Lt Kol (PA) Mohd Syukri Madnor berkata mangsa banjir di Seremban dan Port Dickson meningkat kepada 597 individu daripada 142 keluarga dengan 11 PPS dibuka setakat 8 pagi ini.

Di SELANGOR, menurut aplikasi InfoBencana JKM negeri, setakat 8 pagi ini seramai 11,418 orang daripada 4,267 keluarga telah dipindahkan ke 74 PPS di kesemua daerah.

Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor memaklumkan sebanyak 73 jalan ditutup melibatkan sembilan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), susulan banjir yang masih belum surut setakat 4 pagi tadi.

Jalan-jalan tersebut adalah di bawah penyeliaan IPD Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (dua); Klang Utara (sembilan); Sungai Buloh (dua); Subang Jaya (11); Kuala Langat (27); Sepang (lima); Shah Alam (enam); Klang Selatan (10) dan Hulu Selangor (satu).

Sementara itu di TERENGGANU, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri dalam kenyataan memaklumkan bahawa jumlah mangsa banjir menurun kepada 288 orang daripada 68 keluarga pagi ini, berbanding 297 orang daripada 69 keluarga semalam dan kesemua mereka ditempatkan di PPS Kemaman dan Dungun.

– Bernama


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


 

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker