Mahathir akui restu Hamzah lamar Umno, PAS sebelum Langkah Sheraton

Mahathir akui restu Hamzah lamar Umno, PAS sebelum Langkah Sheraton

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad mengakui bersekongkol dengan usaha Bersatu untuk mendapatkan sokongan daripada Umno dan PAS sebelum Langkah Sheraton.

Bagaimanapun, dakwanya, dia tidak tahu berkenaan komplot itu yang membuka jalan kepada parti tersebut keluar meninggalkan PH.

Memperincikan peristiwa dalam autobiografi terbarunya Capturing Hope, Mahathir berkata pada awal 2020, Ahli Parlimen Larut Hamzah Zainuddin mula mengumpul akuan bersumpah daripada ahli parlimen Umno dan PAS yang menyokong dirinya sebagai perdana menteri.

“Ketika itu, saya tidak membantah kerana saya fikir ini akan mengukuhkan kedudukan saya dan membolehkan Bersatu menjadi ahli PH yang lebih kuat.

“Lama kemudian, baru saya sedari, bahawa apa yang sebenarnya berlaku adalah kempen secara sembunyi-sembunyi untuk meminggirkan saya daripada seluruh kerajaan PH,” tulisnya.

Mahathir berkata Hamzah kemudian cuba meyakinkannya untuk meninggalkan PH, tetapi ini tidak menjadi kerana dia enggan bekerjasama dengan Umno.

Meninjau keperluan untuk memperkukuhkan Bersatu, bekas pengerusi parti itu sebelum ini berkata dalam bukunya bahawa Bersatu tidak cukup kuat untuk membantu PH menghadapi cabaran yang mengakibatkan kekalahan mereka pada beberapa pilihan raya kecil.

Dia mempersalahkan ini sebahagiannya kepada presiden Bersatu Muhyiddin Yassin – yang katanya bertanggungjawab membangunkan parti itu – tetapi melantik bekas ahli Umno sebagai ketua bahagian, yang beroperasi sebagai panglima perang dan menolak ahli baharu.

Ini, katanya, mengakibatkan Bersatu tidak mempunyai jentera yang kukuh.

Sementara itu, menurutnya, sebelum Langkah Sheraton, Muhyiddin juga telah melobinya supaya Bersatu bergabung dengan Umno dan PAS bagi membentuk “kerajaan Melayu-Islam”, atas alasan kebimbangan terhadap pengaruh DAP.

“Semua cakap-cakap kononnya saya di bawah telunjuk DAP atau mereka merancang untuk mengambil alih negara adalah mengarut.

“Saya tidak pernah merasakan sebarang tekanan daripada DAP, dan saya dengan mudah boleh membuktikan bahawa (Setiausaha Agung DAP) Lim Guan Eng tidak mempunyai sebarang kawalan ke atas saya,” katanya.

Mahathir berulang kali menekankan sepanjang buku itu, bahawa DAP sentiasa menyokongnya dan menghormatinya sebagai perdana menteri.

Dalam nada lazimnya, Mahathir menerusi buku itu mengakui kerjasamanya dengan DAP bukan sesuatu yang negatif meskipun terdapat beberapa pengecualian, seperti perselisihannya dengan Ahli Parlimen Damansara Tony Pua.

Bagaimanapun, dia mengakui Umno dan kerajaan – yang sebelum ini dipimpinnya selama 22 tahun – berjaya memburuk-burukkan DAP sebagai musuh Melayu dan Islam.

“Saya terkejut Muhyiddin mahu saya mengkhianati dan menumbangkan semua pihak yang membantu kita. Jika kita tidak meninggalkan PH, Muhyiddin kata, orang Melayu akan hancur.

Muslihat Bersatu untuk meninggalkan PH menyaksikan kerajaan pimpinan Mahathir akhirnya, tumbang pada Februari 2020.

Mahathir, cuba menyelamatkan keadaan dan memanfaatkan sokongan yang dilaporkannya dari semua pihak untuk membentuk sebuah kerajaan perpaduan.

Dia berhujah tentang merit itu dalam bukunya, dan mempertahankannya sebagai cara untuk membawa negara bersama.

Bagaimanapun, usaha berkenaan gagal, dan Muhyiddin dilantik sebagai perdana menteri seterusnya. Mk

Mahathir akui restu Hamzah lamar Umno, PAS sebelum Langkah Sheraton


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU</a


Honda Civic 2022 serba baharu

MLM 2021: Rosyam jawab kritikan diterima

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker