Arab Saudi catat lebihan dalam belanjawan 2022

RIYARD: Selepas hampir sedekad mengalami bajet defisit, Arab Saudi buat pertama kali menjangka akan mencatat lebihan belanjawan (surplus) pada tahun depan.

Ia berikutan rancangan negara itu untuk menyekat perbelanjaan awam di sebalik lonjakan harga minyak yang membantu mengisi semula tabung negara yang terjejas teruk oleh pandemik Covid-19.

Selepas jangkaan defisit fiskal sebanyak 2.7 peratus daripada Ke­luaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini, Riyadh menganggarkan ia akan mencapai lebihan 90 bilion riyal (AS$23.99 bilion/RM101.09 bilion), atau 2.5 peratus daripada KDNK pada 2022.

Lebihan itu adalah yang pertama sejak Arab Saudi mengalami belanjawan defisit selepas harga minyak jatuh pada 2014.

Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed Salman dilaporkan berkata, lebihan itu akan digunakan untuk mening­katkan rizab kerajaan selain memenuhi keperluan pandemik koronavirus.

“Ia juga untuk mengukuhkan kedudukan kewangan kerajaan dan meningkatkan keupayaan­nya menghadapi kejutan dan krisis global,” katanya, lapor agensi berita Arab Saudi, SPA.

Pengeksport minyak terbesar dunia itu merancang untuk membelanjakan sebanyak 955 bilion riyal (RM1.072 trilion) tahun depan, pengurangan per­belanjaan hampir 6 peratus tahun ke tahun, menurut dokumen belanjawan kerajaan.

Riyadh juga merancang untuk mengurangkan perbelanjaan ketenteraan sebanyak kira-kira 10 peratus pada tahun depan sekali gus memberi petanda bahawa kos konflik ketenteraan di negara jirannya Yaman, telah mula berkurangan.

Hasil melonjak tahun ini hampir 10 peratus kepada 930 bilion riyal (RM1.044 trilion) daripada anggaran 849 bilion (RM953.67 bilion), didorong oleh harga minyak mentah yang lebih tinggi dan kenaikan pengeluaran minyak mentah disokong oleh pemulihan permintaan tenaga global.

Tahun depan, kerajaan menjangkakan pendapatan sebanyak 1.045 trilion riyal (RM1.18 trilion).

“Kami benar-benar kini me­ngasingkan perbelanjaan kerajaan daripada hasil,” kata Menteri Kewangan, Mohammed al-Jadaan kepada Reuters.

Ekonomi negara Arab terbesar itu merosot tahun lalu apabila krisis koronavirus menjejaskan sektor ekonomi bukan minyak yang sedang berkembang, manakala harga minyak yang rendah membebankan kewangannya, seterusnya melebarkan defisit bajet 2020 kepada 11.2 peratus daripada KDNK.

Tahun ini, Arab Saudi meramalkan pertumbuhan KDNK sebanyak 2.9 peratus dan 7.4 peratus pada 2022.

Menurut Ketua Ekonomi Abu Dhabi Commercial Bank, Monica Malik, bajet yang dibentangkan berkemungkinan mendasarkan andaian harga minyak antara AS$50 hingga AS$55 (RM210.55 hingga RM231.61) setong.

Kerajaan bagaimanapun tidak mendedahkan jangkaan harga minyak dalam pengiraan bajetnya. – AGENSI

Arab Saudi catat lebihan dalam belanjawan 2022


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Alasan keluar ambil duit, lelaki ghaib selepas bida aset Sajat

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker