Pesawat Hawk, gred D dan kedudukan ke-57

Hawk mempunyai rekod penerbangan yang baik kerana kita sudah menggunakannya selama 26 tahun.

KESEDIHAN dan kejutan adalah sesuatu yang lazimnya diungkapkan oleh pihak awam setiap kali mendapat berita mengenai kejadian pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menghadapi kemalangan atau terhempas.

Bagi mereka yang berkecimpung dalam bidang kewartawanan pertahanan, khususnya berkaitan kemampuan TUDM, kemalangan ini sepertimana peribahasa Melayu, ‘tahu di angin turun naik’. Oleh itu apabila tersebar berita kemalangan pesawat Hawk 108, reaksi sebahagian besar mereka adalah lebih kepada keluhan dan bukan lagi kejutan.

Pesawat Hawk pertama diterima TUDM pada 1994 dan sehingga kini telah berlaku sembilan kejadian pesawat itu terhempas atau terlibat dalam insiden kemalangan.

Ramai yang berpendapat bahawa pesawat ini telah sampai ‘umur’ operasinya dan perlu digantikan. Ini adalah antara yang diperakui oleh TUDM pada 22 Jun tahun ini apabila mengumumkan tender mendapatkan 18 pesawat latihan tempur ringan atau LCA.



Namun setahun sebelumnya, pada 2019, Panglima TUDM Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, pesawat Hawk masih mampu beroperasi sehingga 10 tahun lagi dengan beberapa penambahbaikan terutama dalam sistem dan teknologinya.

Kenyataan ‘penambahbaikan sistem dan teknologi’ ini membawa implikasi besar dan umum perlu faham apa yang tersurat dan apa yang tersirat. Ini bermaksud kemampuan untuk meneruskan Hawk untuk beroperasi bakal bergantung kepada peruntukan kewangan yang diberi kepada TUDM.

Sejak 2010 peruntukan pertahanan untuk Angkatan Tentera Malaysia telah menyaksikan trend penurunan secara terus menerus. Dengan keadaan ini, peruntukan TUDM tentunya juga akan merosot dan tidak dapat memenuhi jumlah yang dipinta oleh angkatan udara negara.

PRN Melaka: Sah wujud dua kem dalam Bersatu



Contohnya antara tahun 2018 hingga 2019, kerajaan hanya mampu memenuhi 47 peratus sahaja dari kehendak logistik TUDM. Apabila ini berlaku ia meletakkan pihak TUDM dalam dilema memandangkan ia perlu membuat agihan yang sukar mengenai pesawat manakah yang perlu diberi keutamaan.

Bagi pesawat udara, proses senggaraan berkala adalah segala-galanya dan bakal menentukan prestasi pesawat apabila ia berada di udara. Apabila ini gagal dilakukan maka ia boleh menjadi satu mimpi ngeri kepada juruterbang dan kru.

TUDM kini mungkin terperangkap dalam situasi sama seperti pihak tentera udara Amerika Syarikat yang dipanggil sebagai lingkaran maut atau death spiral pada 2017. Lingkaran maut sesuatu platform akan berlaku apabila kita memiliki jumlah platform yang amat terhad. Namun kita terus menggunakannya pada tahap sama atau mungkin lebih.



Oleh kerana jumlah yang semakin sedikit, platform yang berbaki perlu melakukan kerja lebih banyak, menyebabkan platform akan lebih cepat haus atau wear out. Platform yang semakin haus tentunya tidak lagi boleh diguna pakai, oleh itu jumlah platform akan terus berkurangan!

Namun ancaman di sekeliling tidak membolehkan TUDM tidak mengoperasikan platform sama, terutamanya dengan insiden pencerobohan ruang udara negara yang semakin meningkat.

Apabila peruntukan yang diberi tidakpun mampu memenuhi 50 peratus dari keperluan logistik yang dipinta, apakah opsyen yang ada di tangan TUDM? Sekiranya senggaraan dilakukan, dari manakah peruntukan tersebut akan datang?

Apa yang lebih menggusarkan ialah bagaimana badan bebas Transparency International-Malaysia (TI-M) baru-baru ini mengeluarkan kenyataan bahawa markah prestasi untuk Kementerian Pertahanan dalam pengurusan kewangan dan perolehan hanya mampu mendapat gred D atau 45 peratus dalam Indeks Integriti Kementerian Pertahanan.



Gred D ini menurut TI-M menunjukkan bahawa institusi berkaitan mempunyai tahap penolakan aktiviti berkaitan rasuah yang rendah. Apakah ini turut menyumbang kepada faktor ‘keuzuran’ pesawat Hawk?

Kita mungkin perlu belajar dari beberapa negara yang menggunakan pesawat Hawk. Pada 1992 Switzerland telah membeli pesawat Hawk Mk.66, namun pada 2006 telah menjualnya kepada Finland. Mereka telah melakukan senggaraan dan pemodenan pada pesawat sama bagi membolehkan ia diguna pakai sehingga 2019, dan kini sekali lagi pemodenan telah dilakukan dan pesawat tersebut boleh dioperasikan sehingga tahun 2030an!

Pada 2020, laporan badan bebas Transparency international (TI) mendapati Switzerland dan Finland mempunyai skor indeks persepsi rasuah 85 dari 100 dan keduanya mendapat tempat ketiga negara paling bersih dari rasuah. Malaysia hanya mendapat markah 51 dari 100 dan menduduki tangga ke 57. Mungkin di sinilah kuncinya.

* Muhammad Fuad Mat Noor merupakan penganalisis pertahanan dan geostrategik



Pesawat Hawk, gred D dan kedudukan ke-57


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Pesawat TUDM terhempas: Saksi dengar dentuman kuat



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker