Muhyiddin tiada faktor ‘wow’

Sebaran :

JUARA rakyat di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada Sabtu ini sudah pasti jadi perhatian dan bakal merungkai beberapa persoalan. Pelbagai andaian, spekulasi dan ramalan sudah dibuat.

Parti-parti yang bertanding cukup yakin dapat melakar kejayaan. Di atas kertas, Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) jadi pilihan berdasarkan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu. Perikatan Nasional (PN) pula bergerak sebagai kuasa ketiga.

Tidak dinafikan, penyertaan PN menjadi tumpuan dalam kancah politik negara. PN bermula agak lembab selepas proses penamaan calon. Namun, selepas kemunculan agresif Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin sejak minggu lalu memberikan semangat tinggi kepada seluruh jentera gabungan itu.

Betul, situasi kali ini tidak sama seperti mana PRN Sabah di mana ketika itu Muhyiddin selaku Perdana Menteri (PM) menjadi faktor wow untuk meraih kemenangan.
Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dianggotai PN, BN dan Parti Bersatu Sabah (PBS) memperoleh majoriti mudah dengan menang 38 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).



KRITIKAL

PN yang hanya didaftarkan pada 7 Ogos 2020 berdepan cabaran, saingan dan pertandingan amat mencabar dan kritikal di PRN Melaka. Boleh dikatakan ia bakal menguji ketahanan dan kerelevanan politik gabungan itu.

Faktor kekuatan pengaruh dan kuasa politik PN ketika menguasai kerajaan Pusat dipimpin Muhyiddin sudah tidak sama lagi selepas pembentukan kerajaan baharu di bawah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Situasi kurang selesa itu jelas terpancar di wajah dan ucapan Muhyiddin ketika memulakan kempen, Khamis lalu.



Muhyiddin berkata: “Sejarah saya agak luar biasa.” Beliau menceritakan setiap detik peristiwa, kisah benar mengenai segala rintangan dan cabaran politik diharungi semasa di UMNO sehingga dipecat, kemudiannya membentuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), PH, PN dan krisis politik ketika memimpin negara sebagai PM.

Beliau menyebut satu per satu dilema politik dilaluinya dengan tenang. Beliau menyusun ayatnya secara halus, teliti dan holistik tetapi cukup tajam dan berbisa.
Malah sejak disingkirkan daripada jawatan PM pada Ogos lalu, inilah kali pertama kita dapat melihat dan mendengar beliau memecah kesunyian yang terpaku hatinya.

TERTEKAN, TERHIMPIT

Beliau tidak memiliki banyak pilihan ataupun alternatif. PN dan dirinya kini berada di satu persimpangan politik yang cukup tertekan dan terhimpit selepas BN, UMNO betekad tidak mahu bersama PN. Keputusan PN bertanding di kesemua 28 kerusi DUN bersama Pas dan Gerakan merupakan satu tindakan berani walaupun berdepan sebarang kemungkinan.



Bersatu bertanding di 15 kerusi diikuti Pas (8) dan Gerakan (5). Nasib dan harapan politik PN bergantung kepada Bersatu dan Pas sahaja. Gerakan yang lari meninggalkan BN sekadar memeriahkan suasana dalam gabungan itu.

Muhyiddin yang masih diberikan tanggungjawab sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara terpaksa berdepan realiti berkawan di Pusat, bermusuh di PRN Melaka. Satu keadaan yang luar biasa dalam politik negara. Bagaimana pula rakyat melihat dan membaca situasi tersebut?

PN ditubuhkan, diilhamkan Muhyiddin untuk membentuk kerjasama politik yang inklusif bersama parti-parti politik lain khususnya BN, Pas, Gabungan Parti Sarawak (GPS), PBS dan Parti Solidariti Tanah Airku Rakyat Sabah (STAR) selepas

’ yang menjatuhkan Kerajaan Persekutuan pimpinan PH pilihan rakyat pada PRU-14.

Muhyiddin hanya ulang cerita basi – Tok Mat

Nyawa politik PN dan Muhyiddin sentiasa terancam, tergugat ketika berkuasa dan hilang kuasa disebabkan BN, UMNO menjadi parti dominan yang menguasai jumlah kerusi Parlimen. UMNO-lah yang menaikkan dan menjatuhkannya sebagai PM.

Perlu diingat, Muhyiddin dan PN memimpin negara ketika bertarung dengan ancaman Covid-19. Selaku PM kelapan, beliau berdepan pelbagai cabaran getir dan sentiasa berada di zon kecemasan untuk menyelamatkan rakyat dan negara.

Ada ketikanya, beliau terpaksa membuat keputusan tidak popular yang turut meletakkan dirinya kurang popular tetapi demi rakyat dan negara, beliau terpaksa melakukannya. Tapi perlu diakui, segala perancangan yang direncanakan memberikan kejayaan termasuk program vaksinasi kebangsaan.

KERAJAAN TAK GAGAL LAGI

Muhyiddin bekerja sebagai satu pasukan. Kesinambungan diteruskan oleh Ismail Sabri. Saya akui ada kelemahan dan kesilapan di era pentadbiran Muhyiddin khususnya dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Slogan Kerajaan Gagal digunakan untuk menyerangnya. Namun yang peliknya, serangan itu terhenti sejurus selepas Ismail Sabri mengambil alih kepimpinan negara walaupun hampir 80 peratus anggota Kabinet Muhyiddin dikekalkan.

FAKTOR MUYHIDDIN YASSIN

Tidak dinafikan faktor ‘Muhyiddin Yassin’ dan wajahnya sebagai budak poster menjadi elemen penting untuk jentera dan calon PN. Di medan politik khususnya ketika berdepan cabaran pilihan raya, populariti dan kredibiliti pemimpin utamanya menjadi perhatian rakyat. Nak jual, jaja nama Muhyiddin, inilah masanya. Biarlah rakyat menilai.

Rakyat semakin susah. Mereka perlukan bantuan dan sokongan. Serangan Covid-19 memberikan kesan mendalam. Selaku salah satu tunjang utama di Kerajaan Persekutuan, PN perlu menjadi pembimbing untuk rakyat. Inilah yang rakyat Melaka harapkan. Mereka tak minat nak dengar isu 1MDB, pergolakan politik antara UMNO dan PN, rampasan kuasa ‘Langkah Sheraton’, pertembungan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tun Dr. Mahathir Mohamad dan segala isu lain berkaitan politik.

Selaku kapten PN, Muhyiddin perlu bijak dan lebih berhati-hati menguruskan hala tuju perjalanan politik gabungan itu dan Bersatu. Sebarang keputusan ataupun ketetapan politik perlu mendahulukan bacaan yang cermat dan teliti. Kesilapan, kelemahan strategi komunikasi ketika menjadi PM kelapan perlu dielakkan dan ditangani segera sekiranya mahu berjaya.

Persoalannya, mampukah faktor Muhyiddin Yassin menangkan PN di PRN Melaka? Kita sama-sama nantikan!

DATUK ANBUMANI BALAN ialah penganalisis politik.


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Asteroid bersaiz melebihi London Eye hentam orbit Bumi Sabtu ini


Sebaran :

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *