Melampau jika SJKC mahu diinstitusikan?

PERMINTAN beberapa pihak dalam kalangan etnik Cina untuk menginstitusikan sekolah vernakular bukan sahaja satu hasrat rakus, ia juga sikap membabi buta, iaitu tidak berfikir terlebih dahulu. Ini kerana sekolah vernakular walaupun diberikan nama sekolah jenis kebangsaan, tidak merupakan aliran persekolahan utama dalam sistem pendidikan negara seperti sekolah kebangsaan yang memang diiktirafkan sebegitu.

Oleh itu, ia sama sekali tidak layak untuk disarankan agar disamakan tarafnya dengan sekolah kebangsaan sebagai juga aliran persekolahan utama negara. Sehubungan ini, sekolah vernakular tidak boleh sesekali ikut bertaraf begitu kerana tidak menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama seperti dikehendaki pada Bahagian 17 Akta Pendidikan 1996.

Permintaan itu sebenarnya mahu menjadikan sekolah vernakular sebahagian yang sah dalam sistem pendidikan negara, untuk dibiaya penuh dari segenap segi seperti yang berlaku pada sekolah kebangsaan. Ini mahu dilakukan dengan mewujudkan dasar tertentu untuk menyamakan sekolah vernakular dengan sekolah kebangsaan.



Ini bukan sahaja amat tidak masuk akal, ia sebenarnya sangat tidak selari dengan aspirasi nasional khususnya identiti nasional untuk negara dan identiti budaya bagi rakyat yang dipersetujui bersama oleh etnik Melayu-Cina-India sewaktu mencapai kemerdekaan dahulu bagi mengangkat simbol dan proses sosiobudaya Melayu.

Sehubungan ini, ada keperluan mendesak untuk pihak yang meminta ini diinstitusikan terlebih dahulu agar mereka betul-betul memahami aspirasi negara. Ini kerana jelas kelihatan mereka langsung tiada keupayaan berfikir secara rasional dalam hal ini dan banyak ehwal kenegaraan lain sebab selama ini, mereka didapati selalu berfikir secara tidak rasional dalam semua hal.

Ini terbukti dalam kes ini apabila mereka mahu taraf jenis kebangsaan pada sekolah vernakular disamakan dengan taraf kebangsaan pada sekolah kebangsaan, justeru ikut memperoleh semua peruntukan dan manfaat yang sama. Sebenarnya dua jenis persekolahan ini amat berbeza yang memang langsung tidak sama pada kebanyakan segi, hendaklah bukan sahaja diketahui, lebih penting lagi difahami.

Sehubungan ini, sekolah kebangsaan bukan sahaja menyediakan pendidikan nasional, ia adalah wadah perpaduan atas sifat nasionalnya. Ia sangat berbeza dengan sekolah jenis kebangsaan yang pertama-tamanya diwujudkan untuk membekalkan pendidikan vernakular kepada etnik masing-masing, walaupun kini ikut dihadiri etnik lain.



Dalam pada ini, ia mahu selalu dipertahan identiti etnisiti apabila diminta dimasukkan bahan Melayu tertentu sebagai unsur kenegaraan, biarpun pada kadar minimum sahaja ke dalam kurikulum dan sukatan pelajarannya. Dengan sikap kekauman sedemikian yang begitu menebal, sekolah vernakular memang tidak layak untuk disamakan dengan sekolah kebangsaan dari apa-apa jua segi.

MELAMPAU

Dengan ini, selama-lamanya ia bukan aliran persekolahan penting, apatah lagi utama dalam sistem pendidikan negara. Hakikat ini harus betul-betul dimaklumi bagi disedari dan dinsafi pihak yang meminta itu.

Sekiranya taraf sama itu mahu juga diperoleh untuk mendapat peruntukan dan lain-lain yang sama, sekolah vernakular haruslah bertukar menjadi sekolah kebangsaan seperti yang rata-ratanya berlaku pada sekolah vernakular Cina pada peringkat menengah pada awal 1960-an.



Dengan cara ini, semua sekolah adalah sama taraf, yakni semuanya merupakan sekolah dari jenis sama dan tergolong dalam satu entiti utuh bawah kategori institusi pendidikan kerajaan pada Bahagian 16 Akta Pendidikan 1996 untuk memperoleh peruntukan dan segala macam lain yang sama. Sungguh malang sekali permintaan malah gesaan sebegini daripada pihak terbabit sama yang bukan sahaja tidak tahu malu dengan tuntutan mereka yang amat tidak munasabah tetapi berani pula membuat ugutan sekiranya apa-apa ditagih itu tidak dipenuhi dalam tempoh diberikan.

Ini memang sudah melampau malah amat sangat keterlaluan. Ia perlu dihentikan segera dan dengan amat tegas pula. Sehubungan ini, pihak berwajib tidak boleh terus-terusan berdiam diri.

Ia harus ditangani dengan memberi amaran tegas lagi keras. Ini penting untuk menghalang pihak terbabit yang bukan sahaja tidak putus-putus membuat desakan semakin teruk saban hari. Tetapi juga yang biadab sifatnya kerana tidak mahu menghormati keputusan rundingan bersama khususnya dalam kes tertentu dan peraturan umum lain amnya dalam banyak ehwal pendidikan.

Permintaan untuk menginstitusikan sekolah vernakular agar sama tarafnya dengan sekolah kebangsaan, tidak boleh sama sekali dipandang remeh. Ini kerana jika dipersetuju walaupun dalam bentuk paling sedikit sifatnya, ia boleh digunakan untuk mengubah taraf sekolah vernakular sebagai lebih kebangsaan.



Sebenarnya taraf lebih kebangsaan ini sangat diperlukan pada masa ini untuk kemudiannya dimanipulasi pada masa hadapan bagi memperoleh taraf kebangsaan yang lebih banyak dan akhirnya penuh. Oleh itu, pihak berwajib hendaklah bukan sahaja bertegas dalam menolak permintaan yang bukan-bukan daripada mereka yang rakus ini tetapi juga secara lantang lagi getas.

Ini penting agar bukan sahaja ia tidak menjadi masalah lebih rumit, lebih mustahak lagi ialah pihak berwajib tidak perlu membuang masa untuk selalu meladeni hasrat lahap lagi licik mereka ini.

PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Majlis Profesor Negara.

Melampau jika SJKC mahu diinstitusikan?




Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Muhyiddin lebih gemar serang BN daripada kempen untuk PN



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker