Pesawat TUDM terhempas: Saksi dengar dentuman kuat

 

BUTTERWORTH: Saksi kejadian pesawat Hawk 108 yang terhempas di kawasan Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Adi sini mendakwa mendengar dua letupan kuat sebelum melihat api marak di atas landasan.

Seorang peniaga kedai makan di Kampung Benggali, Sungai Puyu di sini, Mastura Mohammad Nordin, 44, berkata, dia mendengar deruan pesawat yang lebih kuat berbanding kebiasaan kerana kedainya terletak berdekatan pangkalan udara itu.



“Saya sudah terbiasa mendengar bunyi enjin pesawat kerana berniaga berdekatan pangkalan udara itu. Tetapi sebelum kejadian, saya dengar bunyi yang agak berbeza berbanding kebiasaan ketika pesawat masih di udara.

“Ketika pesawat itu hampir mendarat, saya dengar dua dentuman yang sangat kuat sebelum melihat api marak,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Menurut Mastura, ketika kejadian dia sedang membersihkan gerai masakan tomyam yang diusahakannya untuk pulang ke rumah yang terletak berdekatan.

“Saya bersama-sama beberapa pekerja segera berlari ke arah pagar dan ternampak api,” katanya.



Sementara itu, seorang suri rumah yang tinggal berdekatan pagar pangkalan udara itu, Anita Abdul Talib, 52, berkata, dia yang sedang tidur dikejutkan dengan dengan bunyi dentuman yang kuat.

“Memang menjadi kebiasaan bunyi pesawat yang kuat.

“Malam tadi saya ada juga dengar bunyi sedikit lain, tetapi tidak mengesyaki apa-apa sehinggalah terjaga dari tidur,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.07 malam kelmarin, Kapten Mohamad Affendi Bustamy maut manakala Mejar Mohd. Fareez Omar cedera selepas pesawat Hawk 108 yang diterbangkan mereka ketika ketika sedang melakukan latihan penerbangan dipercayai terhempas di landasan Pangkalan Udara TUDM Butterworth.



Mejar Mohd. Fareez, 33, menerima rawatan di HSJ di sini dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Dalam pada itu, Timbalan Panglima Tentera Udara Leftenan Jeneral Datuk Mohd. Asghar Khan Goriman Khan berkata, TUDM akan menjalankan siasatan teknikal dan terperinci berhubung insiden terbabit. – UTUSAN ONLINE


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET




Lawak ‘Terlampau’ – Puteh mohon maaf kepada Najib

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker