Pesara bingung simpanan tetap dalam bank lesap

Pesara bingung simpanan tetap dalam bank lesap

Simpanan tetap (FD) selalunya dipromosikan sebagai kaedah pelaburan yang mudah dan selamat, tetapi pengalaman yang dihadapi pesara Goh Gaik Siah adalah jauh berbeza.

Sepanjang tujuh tahun lalu, Goh, 73, telah cuba menjejaki status simpanan tetapnya berjumlah RM32,380, yang didakwanya telah hilang.

Pada Jun 2014, dia diberitahu Maybank bahawa tidak ada rekod FD yang dibukanya dengan Maybank Finance Bhd pada 1998, dan bahawa dia mungkin telah mengeluarkan simpanan itu dan terlupa mengenainya.



Sejak Jun 2014, Goh telah beberapa kali bertanyakan mengenai hal itu tetapi gagal mendapatkan maklumat berkenaan status simpanannya, atau sama ada ia telah diisytiharkan sebagai wang tidak dituntut.

Goh menulis secara rasmi kepada Maybank pada September 2014 bagi meminta kemas kini, tetapi tiada jawapan bertulis diterimanya daripada bank itu.

“Ini berlanjutan untuk satu tahun lagi. Akhirnya, pada Oktober 2015, saya membuat permohonan kepada bank sekali lagi untuk memeriksa jika FD saya telah diisytiharkan sebagai wang tidak dituntut.

“Bank memberitahu saya bahawa ia masih tidak dapat mengesan FD saya. Bagaimanapun, saya tidak pernah mendapat sebarang jawapan bertulis daripada Maybank,” katanya kepada Malaysiakini.



Masalah dihadapi Goh mendapat perhatian selepas seorang peguam dilaporkan mendapati RM1 juta simpanan hayat yang disimpan dalam bentuk FD di sebuah bank terkemuka antarabangsa telah hilang.

Wang itu didapati dipindahkan ke akaun individu tidak dikenali tanpa pengetahuan atau izin peguam itu, dan portal berita The Vibes melaporkan mengenainya. Ia tidak berkaitan dengan masalah dihadapi Goh, tetapi menyerlahkan isu-isu yang mungkin wujud dalam sistem FD.

‘Tiada makluman pengeluaran’

Kata Goh, selepas 2015, suaminya mengambil alih tugas berurusan dengan pihak bank berhubung perkara itu, tetapi suaminya meninggal dunia pada 2019. Dua tahun kemudian, dia sekali lagi cuba mendapatkan kemas kini daripada bank.



“Saya jumpa pegawai bank lain. Setelah memeriksa pada sistem, saya diberitahu mereka masih tidak dapat mengesan FD saya.

“Eksekutif itu memberitahu saya bahawa mungkin saya terlupa bahawa saya telah membuat tuntutan kepada FD saya atau anak lelaki saya yang mungkin telah berbuat demikian,” katanya.

Goh berkata bahawa anak lelakinya merupakan pemegang akaun bersama FD itu. Bagaimanapun, dia tidak pasti apakah dia atau anak lelakinya boleh membuat pengeluaran daripada akaun itu secara sebelah pihak.

Bergantung pada perjanjian yang dipersetujui pihak-pihak, akaun bersama mungkin memerlukan kebenaran kedua-dua pemegang akaun untuk pengeluaran atau hanya salah seorang.



Anak lelaki Goh nafi keluarkan wang dalam akaun FD itu.

“Bagaimana seseorang boleh keluarkan wang saya tanpa sebarang makluman daripada bank?

“Setelah bertahun-tahun lamanya, bank masih tidak dapat memberitahu saya apa-apa pun,” keluh Goh.

Bank harus menyimpan rekod sehingga tujuh tahun. Ini bermakna, mungkin tidak ada sebarang rekod pengeluaran yang berlaku sebelum November 2014.



Maybank: Salah satu dari empat FD di bawah nama Goh dikeluarkan

Ketika dihubungi, jurucakap Maybank berkata mereka masih dalam proses mengesan rekod empat FD Goh, yang ditempatkan di Maybank Finance 20 tahun lalu.

Tambahnya, ia telah memulakan penyiasatan untuk menentukan status FD berkenaan, dan telah mengesan salah satu daripadanya. Berdasarkan siasatan, FD berkenaan telah dikeluarkan.

“FD yang dikatakan itu telah ditukarkan kepada FD Maybank (daripada Maybank Finance) dan seterusnya telah di-uplift oleh pelanggan.



“Memandangkan kekangan kerahsiaan yang dikenakan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013, bank tidak dapat mendedahkan lebih banyak perincian tetapi telah memberikan kemas kini yang diperlukan kepada pelanggan,” kata jurucakap itu.

Dalam istilah perbankan, uplift bermaksud mengeluarkan wang daripada FD.

Maybank mengambil alih operasi unit perniagaan yang ia miliki sepenuhnya, Maybank Finance pada 2004.

Jurucakap itu menambah bahawa ia kini sedang berusaha untuk mengesan dokumen untuk simpanan-simpanan lain dan akan terus mengemas kini pelanggan dengan perkembangan berhubung tiga lagi FD berkenaan.

“Kami menasihati Goh untuk mengingat kembali sekiranya dia mungkin ada membuat uplift FD secara sendiri, dan untuk turut memeriksa dengan pemegang akaun FD lain tentang perkara tersebut”.

Maybank berkata ia akan memaklumkan kepada Goh secara bertulis berhubung penyiasatan berkenaan setelah ia siap nanti.

Meskipun proses panjang untuk mengesan wangnya yang didakwa hilang, Goh tidak membuat laporan polis berhubung perkara itu.

“Kalau mereka masih tidak memberi kemas kini, maka langkah seterusnya adalah membuat laporan polis,” kata Goh. Mk

Pesara bingung simpanan tetap dalam bank lesap


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU

Gangguan seksual berleluasa dalam industri hiburan

Mawar Rashid dilabel materialistik

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker