Kedah dijangka alami air pasang besar mulai esok

Sebaran :

Kedah dijangka alami air pasang besar mulai esok

ALOR SETAR: Kedah dijangka mengalami fenomena air pasang besar bermula esok, dengan ombak tinggi mencecah 3.1 meter (m) antara jam 12 tengah malam hingga 2 pagi Sabtu ini.

Ketua Bahagian Operasi Bencana, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Kapten (PA) Saifuddin Abdullah, berkata ia sekali gus boleh menyebabkan lebih banyak kawasan terjejas akibat banjir.

Sepanjang tempoh itu, beliau berkata, semua aktiviti di pantai termasuk memancing atau menangkap ikan menggunakan bot kecil, adalah tidak digalakkan.



“Berdasarkan ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), fenomena air pasang besar dijangka bermula tengah malam ini hingga 8 November.

“Ketinggian ombak dijangka mencecah 2.9m, esok, dan paling tinggi pada tengah malam Sabtu ini, iaitu hingga 3.1m,” katanya kepada BH.

Saifuddin berkata, dua kawasan dijangkakan paling terkesan akibat fenomena itu, iaitu Kuala Muda di Sungai Petani dan Kuala Kedah, Kota Setar.

Beliau berkata, ia boleh mengakibatkan banjir kilat, justeru penduduk di kawasan penempatan berhampiran pantai di situ dinasihatkan berwaspada.



“Sekiranya berlaku pertembungan air laut di lembangan sungai dengan disertai hujan lebat, banjir kilat dijangka berlaku di beberapa kawasan sekitar Kota Setar dan Kuala Muda.

“Jika hujan lebat di kawasan hulu, air akan turun ke laut melalui Sungai Kedah dan Sungai Muda,” katanya.

Beliau berkata, Pantai Murni dan Kuala Yan di Yan dijangka turut terkesan, justeru orang ramai dinasihatkan tidak mengunjungi kawasan pantai sepanjang tempoh itu.

“Selain itu, Pulau Langkawi juga akan menerima kesan fenomena air pasang ini yang mengakibatkan ombak besar, terutama di Kuala Teriang.



“Lazimnya, pelancong di pulau itu lebih gemar bersiar-siar pada waktu petang.

“Jika berlaku perubahan cuaca atau ombak besar, patuhi arahan petugas pantai APM yang bertugas di menara kawalan untuk tujuan keselamatan,” katanya.

Saifuddin berkata, seramai 200 anggota APM sudah bersiap siaga menghadapi fenomena air pasang di Kuala Muda, Kuala Kedah dan Yan.

“Seramai 1,000 anggota APM di seluruh negeri ini bersama aset yang ada juga sudah bersedia untuk menghadapi perubahan monsun timur laut,” katanya. BH

Kedah dijangka alami air pasang besar mulai esok


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU

Kalau lihat jasad Zulfarhan, saya tak boleh nak bayangkan – Hakim


Sebaran :

Leave a Reply