Ambil iktibar dari kes Zulfarhan – Hishammuddin

Sebaran :

Ambil iktibar dari kes Zulfarhan – Hishammuddin

Warga Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diingatkan supaya tidak mengulangi perbuatan jenayah sebagaimana yang berlaku ke atas Pegawai Kadet Laut UPNM, Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain.

Perkara berkenaan ditegaskan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang turut menyifatkan perbuatan terhadap Zulfarhan Osman itu sebagai keji.

“Kematian Allahyarham Zulfarhan (Osman), empat tahun lalu, amat mendukacitakan. Sebagai Menteri Pertahanan ketika itu, saya telah arah Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) gantung segera 32 Pegawai Kadet serta menilai semula sistem latihan dan pengurusan pelatih di ALK.



“Saya juga jamin tiada siapa akan dilindungi dan terlepas daripada undang-undang,” katanya melalui hantaran yang dimuat naik dalam Facebook rasmi beliau, hari ini.

Hishammuddin berkata, UPNM dan ATM perlu mengambil iktibar atas hukuman penjara dikenakan terhadap enam tertuduh kerana menyebabkan kecederaan tanpa niat membunuh Zulfarhan Osman.

“Saya tidak akan sesekali berkompromi dalam soal jenayah dan kezaliman!” katanya.

Semalam, Mahkamah Tinggi di sini menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun terhadap enam bekas penuntut UPNM yang didapati bersalah atas pertuduhan menyebabkan kematian tanpa niat pada Zulfarhan Osman, empat tahun lalu.



Hakim Datuk Azman Abdullah menjatuhkan hukuman itu ke atas Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali.

Kesemua tertuduh yang kini berumur 25 tahun, didakwa melakukan perbuatan itu di dalam bilik 03-05, blok penginapan asrama Jebat universiti itu di Kem Perdana, Sungai Besi, antara jam 2.30 hingga 5.30 pagi 21 Mei 2017, dan dalam bilik 04-10 antara jam 4.45 hingga 5.45 pagi 22 Mei 2017.

Mahkamah memutuskan bahawa sebanyak 90 tekapan seterika wap yang dilakukan tertuduh pada anggota badan mangsa telah menyebabkan kematiannya, namun ia tidak terjumlah kepada niat membunuh dengan sengaja.

Allahyarham Zulfarhan Osman meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun 2017. BH



Ambil iktibar dari kes Zulfarhan – Hishammuddin


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU

Kalau lihat jasad Zulfarhan, saya tak boleh nak bayangkan – Hakim


Sebaran :

Leave a Reply