Pegang amanat akhir, 6 beradik piatu selepas bapa tewas akibat Covid

Pegang amanat akhir, 6 beradik piatu selepas bapa tewas akibat Covid

KUALA TERENGGANU: Sedih kehilangan ibu tercinta akibat kanser hati empat tahun lalu masih terasa, kini enam beradik tersebut diuji lagi dengan pemergian ayah tersayang akibat Covid-19, pada 27 Sept lalu.

Tanpa ibu dan ayah tempat bergantung, tanggungjawab itu kini digalas sepenuhnya oleh kakak sulung mereka Cempaka Imam Zulkepeli, 20, dan suami Muhammad Khairul Syafiq Anwar, 26, yang tidak rela berpisah dengan adik-adiknya.

Cempaka Imam berkata, beliau berazam mahu menjaga mereka sebaik mungkin, seperti mana amanat terakhir arwah ayah Zulkepeli Ramli, 61.

“Kasih sayang kami mungkin tak sama dengan kasih sayang ibu dan ayah, namun saya dan suami perlu kuatkan semangat untuk membesarkan adik-adik, dan pastikan mereka dapat pendidikan yang terbaik.

“Syukur ramai yang prihatin dengan nasib kami dan sudi menghulur bantuan termasuk dari pejabat Ahli Parlimen Kuala Terengganu serta pejabat Dewan Undangan Negeri Wakaf Mempelam, yang sering menghantar barangan keperluan dapur untuk kami,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini.

Lima adik yang kini berada dalam jagaan Cempaka Imam ialah Kasih Nurani, 17, Sayang Murni, 15, Suci Sufiah, 13, Wali Al-Hadad, 10, dan Waiz Al-Syahid, 8.

Mengimbas semula detik sedih pemergian ayah mereka, Cempaka Imam berkata beliau dan suami ketika itu berada di Marang, kerana menjalani tempoh kuarantin, setelah disahkan positif Covid-19.

“Adik-adik hubungi saya pada pukul 2 petang beritahu ayah meninggal dunia di rumah. Suami terus hubungi ambulans dan maklumkan kami sedang dikuarantin. Tidak lama kemudian, pihak hospital maklumkan arwah ayah juga positif Covid-19 dan adik-adik tidak dibenarkan hadir ke upacara pengebumian kerana sudah menjadi kontak rapat.

“Memang terkilan tak dapat menatap wajah arwah ayah buat kali terakhir. Selepas habis tempoh kuarantin, baru kami enam beradik dapat menziarahi pusaranya bagi melepaskan rindu,” katanya yang tidak bekerja.

Ditanya bagaimana menampung perbelanjaan seharian, Cempaka Imam berkata mereka kini bergantung penuh kepada suaminya yang bekerja sebagai penghantar minyak masak dengan gaji harian.

Sementara itu, Pembantu khas kepada Ahli Parlimen Kuala Terengganu Mohd Azmi Ali, yang turut mengunjungi enam beradik yatim piatu itu, berkata pihaknya akan terus memantau keadaan mereka dan memberi bantuan mengikut keperluan semasa.

“Dalam masa terdekat ini, kita bantu persiapan barangan sekolah untuk anak-anak ini memulakan sesi persekolahan pada 8 Nov depan. Saya juga ada berbincang dengan pihak sekolah supaya dua beradik perempuan itu tinggal di asrama, kerana kehidupan dan pelajaran mereka akan lebih teratur.

“Bagi membantu Cempaka Imam pula, kami akan berunding dengan mana-mana jabatan dan agensi berkaitan keusahawanan dengan memberikannya modal serta peralatan memulakan perniagaan kek dan kuih-muih, kerana beliau berminat dan mempunyai kemahiran dalam bidang itu,” katanya. FMT

Pegang amanat akhir, 6 beradik piatu selepas bapa tewas akibat Covid


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU</a


Bergadai Nyawa Selamatkan 2 Beranak Terperangkap Dalam Insiden Kepala Air [VIDEO]

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker