Pengunjung pantai dinasihat elak aktiviti, rekreasi air

Pengunjung pantai dinasihat elak aktiviti, rekreasi air

Orang ramai terutama penduduk di pesisir pantai khususnya di negeri pantai Barat Semenanjung Malaysia dinasihat agar lebih berwaspada berdepan fenomena air pasang besar yang dijangka berlaku dalam tempoh empat hari bermula 4 hingga 7 November 2021, Khamis-Ahad depan.

Ketua Pengarah Pengairan dan Saliran, Datuk Ir Nor Hisham Mohd Ghazali, berkata kawasan yang berisiko adalah di Kedah (Kuala Muda), Perak (Bagan Datoh), Selangor (Klang, Kuala Langat, Sabak Bernam dan Kuala Selangor) dan Johor (Batu Pahat dan Pontian).



“Kejadian fenomena air pasang besar ini akan menjadi lebih buruk sekiranya disertai angin kencang, ombak besar dan hujan lebat yang berlaku serentak yang akan menyebabkan berlakunya banjir kilat, limpahan air laut dan banjir pantai (coastal flooding),” katanya dalam kenyataan.

Sehubungan itu, katanya, orang ramai khususnya pengunjung pantai dinasihatkan agar lebih berhati-hati dengan tidak menjalankan sebarang aktiviti air, riadah dan rekreasi pada tarikh dinyatakan di kawasan terbabit.

Orang ramai juga diminta untuk sentiasa memantau keadaan cuaca dan sekiranya hujan lebat serta air laut pasang berlaku serentak, mereka perlu bersedia untuk berpindah ke tempat selamat dan mematuhi arahan pihak berkuasa yang ditetapkan.

Sementara itu, Pensyarah Fakulti Sains dan Sekitaran Marin Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Effi Helmy Ariffin, berkata situasi banjir lebik buruk boleh berlaku apabila fenomena air pasang besar diiringi dengan hujan lebat dan angin kuat.



“Fenomena air pasang besar ini biasa berlaku ekoran kesan tarikan graviti bulan dengan bumi iaitu ketika bulan mengambang penuh yang berlaku pada setiap bulan.

“Bagaimanapun, kesan akan lebih teruk sekiranya keadaan itu diringi dengan hujan lebat serta angin kencang, limpahan air akan menyebabkan banjir membawa kepada fenomena air pasang luar biasa,” katanya kepada BH.

Justeru, katanya pihak berkuasa perlu sentiasa memantau keadaan bagi memastikan penduduk setempat sentiasa bersedia untuk berhadapan keadaan limpahan air yang luar biasa itu.

Terdahulu, BH melaporkan Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) melarang orang awam memasuki kawasan pantai sekitar daerah ini, berikutan fenomena air pasang besar dijangka pada 3 hingga 7 November serta peralihan monsun timur laut bermula awal November ini.



Penduduk di pesisir pantai di daerah itu juga disaran untuk lebih berhati-hati dan berwaspada sepanjang tempoh itu memandang paras air dijangka pada ketinggian 5.2 meter hingga 5.6 meter.

Antara kawasan yang dijangka akan berlaku limpahan air seperti Pantai Kelanang, Pantai Baru Morib, Pantai Morib, Taman Harmoni Morib, Istana Bahagia Morib, Pantai Batu Laut, Pantai Chunang dan Jeti Tanjung Sepat.

Mengulas lanjut, Effi Helmy berkata walaupun penduduk setempat sudah biasa dengan keadaan itu, mereka tetap perlu berwaspada untuk berhadapan situasi yang luar jangkaan terutama di kawasan yang tiada tebatan banjir.

Sementara itu, Felo Penyelidik Kanan Institut Sains Bumi dan Samudra Universiti Malaya, Prof Datuk Dr Azizan Abu Samah, berkata fenomena berkenaan bukan sesuatu yang luar biasa kerana ia boleh dijangkakan.



“Walaupun dijangkakan paras air melebihi paras ketinggian biasa, waktu kejadian itu berlaku adalah pada awal pagi dan sekali lagi pada lewat petang.

“Tidak ada keperluan untuk menutup pantai kepada kunjungan awam sepenuhnya kerana ia masih selamat dikunjungi pada waktu siang, namun perkara itu keputusan pihak berkuasa tempatan untuk memastikan keselamatan,” katanya.

Katanya lagi, kawasan yang dijangka akan mengalami paras air tinggi untuk fenomena ini adalah di Morib berdasarkan rupa bentuk dasar laut yang kurang landai. BH

Pengunjung pantai dinasihat elak aktiviti, rekreasi air




Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU

Bergadai Nyawa Selamatkan 2 Beranak Terperangkap Dalam Insiden Kepala Air [VIDEO]



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker