Album terbaru Ramli Sarip terbaik pernah dihasilkan

Album terbaru Ramli Sarip terbaik pernah dihasilkan

Penghibur lagenda yang cukup ikonik dengan gelaran Papa Rock, Datuk Ramli Sarip mengakui album terbaharunya berjudul Rasa memiliki segala resepi dan ramuan terbaik yang pernah dihasilkannya sebelum ini.

Menurut Ramli Sarip, Rasa adalah sebuah perjalanan muziknya yang disampaikan dengan penyatuan elemen muzik folk dan blues, rock dan pop bernuansakan alam Nusantara Melayu yang menjentik jiwa bersama bait-bait lirik penuh dengan metafora dan makna.

“Apabila dapat menerbitkan album penuh dengan 10 buah lagu, ia memberikan satu kepuasan berbeza. Mencipta hala tuju dan merekacipta konsep sangat menarik. Ia seperti mengimbau era penerbitan album bersama Sweet Charity. Setiap album ada warna, karakter dan semangatnya yang tersendiri.

Sebetulnya, saya bukanlah orang yang gemar menghasilkan single dan kebetulan saya memiliki bahan-bahan lagu baharu yang cukup untuk merakamkan 10 lagu. Maka, terhasillah RASA,” katanya.

Pembikinan dan penerbitan album RASA yang memuatkan 10 lagu ini menjadi lebih unik apabila penerbitannya dimulakan di Kuala Lumpur tetapi disiapkan sepenuhnya di Singapura apabila pandemik Covid-19 mula menyerang dunia pada tahun 2020.

Bersama band muzik band muzik pengiringnya Soul Journey iaitu Rozario Rasul (pengarah muzik dan keyboardist), Rizal Halim atau Ritz Metalasia (pemain gitar kedua), Din Safari (pemain bass), Tom Annuar (pemain dram) beserta Allahyarham Fauzi Samin atau Aji (pemain gitar pertama), Ramli sempat merakamkan tiga lagu iaitu Srikandi Zaman, Sentosa di Kubah Hayat dan Surat Cinta Kuala Lumpur.

Manakala di Singapura beliau menghabiskan tujuh lagu lagi bersama pemuzik terbaik Singapura seperti Addy Rasidi, Din Safari, Bani Hidir, Riduan Zalani, Al Hafiz Jumat dan Julian Lim.

“Antara tahun 2018-2019, lagu pertama yang saya rakam di Kuala Lumpur adalah lagu Srikandi Zaman yang mengisahkan empat orang wanita agung, di antaranya ialah Saidatina Khadijah Binti Khuwallid R.A. Lirik nukilan Pn Hartinah Ahmad.

“Lagu kedua adalah lagu Sentosa Di Kubah Hayat yang mana liriknya ditulis Arifin Arif dan lagu ketiga Surat Cinta Kuala Lumpur yang juga lagu tema pelancaran untuk acara Kota Buku Dunia Kuala Lumpur 2020 (KLWBC2020) anjuran Unesco yang diisytiharkan pada 23 April 2020. Ketiga-tiga lagu ini saya rakamkan di Kuala Lumpur,” katanya.

Tatkala merancang untuk meneruskan pembikinan album ini, pandemik Covid-19 telah mula menyerang dunia, ia sekaligus menjejaskan usaha the living legend ini untuk menyiapkan RASA.

Ketika itu, Ramli dalam perjalanan dari Bandung menuju ke Kuala Lumpur tetapi kemudian beliau terpaksa pulang ke Singapura apabila situasi wabak ini menjadi lebih teruk.

“Setibanya saya di Singapura, saya terpaksa menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari dan saya akuiia adalah tempoh yang benar-benar menyukarkan saya kerana saya tidak dapat bergerak ke mana-mana dan hanya terperap di rumah.

“Tetapi, dari satu sisi, ia memberi kesempatan untuk saya mendapatkan lebih banyak ilham untuk menyiapkan album ini dan merakamkan tujuh buah lagi lagu dengan menggunakan khidmat pemuzik-pemuzik berkaliber di Singapura dan Malaysia,” katanya.

Pembikinan yang mengambil masa dan dihasilkan dengan penuh teliti dan kesabaran di Singapura memuatkan lagu Kekasihku, Ayah dan Ibu, Ronggeng Rakyat, Cinta Di Sebalik Musim, Nyanyian Sejagat, Irama Kasih dan Orang Tua Bersidi Sakti.

Ramli memilih untuk merakamkan semula Ayah dan Ibu kerana ia adalah sebuah lagu mencabar ciptaan dan nyanyian dicipta A Rahman yang telah dirakamkan sekitar 1940-an.

“Pada tahun 1981 pula, Allahyarham Sudirman Haji Arshad membuat rakaman semula lagu ini bersama EMI. Lagu ini dipilih sebagai mengenang Ayah dan Ibu yang telah lama meninggalkan kami. Anda kena nilai sendiri versi saya.

“Cinta Di Sebalik Musim adalah karya seorang komposer bernama T-Zi dan liriknya dihasilkan oleh S Amin Shahab. Awalnya, lagu ini tidak begitu menarik minat saya. Tetapi, nuansa Timur pada melodi lagu ini sangat menarik dan liriknya juga sangat puitis dan halus. Ia membuatkan saya tertarik dengan lagu ini.

“Tajuk awal lagu ini adalah Meranti Condong Timur, tetapi kemudian ia diganti kepada Cinta Di Sebalik Musim. Ia lebih sesuai dengan lagu ini,” katanya.

Ramli mengakui menyiapkan album ini dalam waktu pandemik adalah suatu cabaran kerana melahirkan karya pada saat industri muzik dan hiburan tertekan dengan ketiadaan live show membuatkan dirinya gundah.

Pada waktu yang sama, beliau perlu mengambil langkah berjaga-jaga untuk memastikan mereka mematuhi segala SOP yang ditetapkan.

Momen paling menarik apabila Ramli dapat berkumpul bersama teman-teman pemuzik untuk menghasilkan lagu. Kita berkongsi idea, pengalaman dan rasa yang sama. Ia mencetuskan magis yang luar biasa.

“Bila berkarya kita lupa tentang hal-hal yang lain. Kita kembali bersemangat untuk membuat yang terbaik dan ilham-ilham itu terus keluar mengalir dan kita membiarkan diri kita berada pada puncak waktu itu.

“Malah, semasa di studio rakaman, ada suatu pengalaman unik yang saya melalui saat melontarkan suara. Perasaan ketika menyanyi sangat tenang merindui damai yang kita kecapi sebelum pandemik berlaku. Ianya sangat seronok dan seolah-olah ada dorongan semangat baru yang kuat untuk terus berkarya.

“Kerana itulah RASA kali ini mempunyai rasa dan jiwa yang berbeza. Harapan saya, album ini akan dapat membakar semangat nusantara dan sejagat untuk terus berkarya dalam apa juga suasana yang menghalang.

“Citarasa baru ini memberi sinar dan warna baharu dalam dunia seni. Cintailah alam dan berkasih sayanglah sesama ummah. Khusus untuk pencinta dan pejuang seni agar kita terus melahirkan karya baru,” katanya.

Untuk catatan sejarah, inilah album pertama yang dihasilkan sepenuhnya di Singapura selepasalbum Bukan Kerana Nama di bawah naungan Warner Music Singapore pada tahun 1986.

Berikutnya, album Perjalanan Hidup contract beliau diambil alih oleh Warner Music Malaysiasehinggalah tahun 1994. Pada tahun 1997 selepas berakhirnya isu rambut di Malaysia beliau menerbitkan album Ramli Sarip ALIVE dan Syair Timur bersama Legend Music yang kemudian
diambil alih oleh syarikat beliau sendiri iaitu Rasa Karya Sdn Bhd hinggalah kehari ini. SM

Album terbaru Ramli Sarip terbaik pernah dihasilkan


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Penang White Curry Noodles dipilih mee segera terbaik di Amerika

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker