Cinta Laura mahu jadi duta PBB, Menteri Ekonomi Indonesia

Cinta Laura mahu jadi duta PBB, Menteri Ekonomi Indonesia

BERBEKALKAN wajah yang cantik selain pintar menjadikan selebriti terkenal Indonesia, Cinta Laura terlihat sungguh beruntung di mata peminatnya.

Bahkan, tidak kurang juga yang menganggap bintang berdarah kacukan Indonesia-Jerman itu sebagai seorang sosok yang dilahirkan dengan penuh kesempurnaan.

Sehinggakan pemilik nama lengkap Lucinta Laura Kiehl itu pernah diangkat sebagai artis contoh kerana menjadi selebriti pertama yang berjaya melanjutkan pengajian ke universiti bertaraf dunia di luar negara.

Selepas menamatkan alam persekolahannya di Sekolah Antarabangsa Jakarta pada 2011, tanpa berlengah, Cinta meneruskan sesi kuliahnya di salah sebuah universiti ternama dunia, Columbia University, New York, Amerika Syarikat (AS) dalam jurusan politik dan ekonomi.


DILABEL sebagai wanita sempurna, Cinta mahu melengkapkan ‘kesempurnaannya’ dengan mengejar impian bergelar duta PBB dan Menteri Ekonomi Indonesia suatu hari nanti.

Alasannya apa? Tentu sahaja kerana wanita bergelar pelakon, penyanyi dan juga model itu mempunyai perancangan untuk dirinya pada masa hadapan.

“Sejak dahulu saya tertarik dengan perilaku manusia. Manusia itu mempunyai keberagaman upaya dengan segala kemampuan yang unik. Jadi saya mahu tahu semuanya.

“Ilmu ini pasti akan berguna untuk membantu orang lain terutamanya remaja. Saya sendiri sebagai anak muda sangat faham dengan masalah yang sering dihadapi oleh golongan remaja,” katanya.

Cuba nasib ke Hollywood

Angan-angan lebih besar, Cinta mendedahkan bahawa dia teringin untuk menjadi duta di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), bekerja di Bank Dunia (World Bank) dan bergelar Menteri Ekonomi Indonesia suatu hari nanti.

“Jadi pendidikan sangat penting untuk mendapatkan sesuatu yang baik,” jelas pelakon yang terkenal dengan sinetron Upik, Abu dan Laura itu.


BINTANG sinetron Upik, Abu dan Laura ini berasa beruntung kerana dilahirkan dalam sebuah keluarga yang penyayang. Namun, akuinya, pada masa sama keluarganya tegas dalam mendidik anak-anak.

Sebelum melanjutkan pengajiannya di Columbia University, selebriti yang mula menempa nama dalam dunia hiburan selepas menjuarai pertandingan Top Model 2006 itu pernah menghantar permohonan di tujuh buah universiti di seluruh AS. Ajaibnya, kesemua permohonan tersebut diterima.

Cinta bagaimanapun memilih melanjutkan pengajian di Columbia University kerana status pusat pengajian tersebut yang berada di kedudukan lima universiti terbaik di dunia.

Ketika berada di AS, pelakon itu turut mengintai peluang mencipta namanya dalam dunia hiburan Hollywood.

Walaupun dihimpit dengan jadual kuliah yang padat, selebriti berusia 28 tahun itu tetap berjaya merebut kesempatan merakam dua buah lagu yang juga menjadi single antarabangsa pertamanya berjudul Boomerang dan Playlist.


PERNAH terlepas peluang membintangi naskhah Hollywood, tetapi Cinta tidak pernah menganggap kejadian tersebut sebagai satu kegagalan buatnya.

Bukan itu sahaja, Cinta juga mengikuti sesi uji bakat untuk beberapa buah filem Hollywood yang dikendalikan oleh syarikat Luber Roklin Entertainment.

“Saya pernah menghadiri satu sesi uji bakat yang turut dihadiri ramai pelakon Hollywood. Tapi saya tahu tidak akan berjaya kerana saingannya cukup kuat.

“Peranan itu akhirnya menjadi milik pelakon Amanda Seyfried. Ya, saya gagal, namun sekurang-kurangnya saya telah melakukan yang terbaik,” ujarnya.

Enggan punya anak sendiri

Walaupun dilihat sebagai seorang selebriti sempurna, bintang sinetron Cinderella itu juga tidak terlepas daripada kontroversi sehingga dihunjam hebat dengan kecaman segelintir netizen.

Puncanya, baru-baru ini, dia yang muncul dalam satu temu bual bersama Anang Hermansyah membuat pengakuan tentang pendiriannya yang tidak mahu memiliki anak.

Ujarnya, dia mempunyai alasan tersendiri mengapa tidak mahu memiliki anak apabila berkahwin suatu hari nanti.


MENGAMBIL serius tentang kepadatan populasi manusia di atas muka bumi pada hari ini membuatkan Cinta enggan melahirkan anak sendiri.

“Saya suka melihat sesuatu keputusan itu berdasarkan fakta. Dunia kita sudah padat dengan populasi penduduk. Terlalu banyak manusia yang tinggal di atas muka bumi pada hari ini,” katanya.

Memutuskan tidak mahu memiliki anak bukanlah bererti Cinta benci pada kanak-kanak. Hal ini kerana dia berpendapat, berbanding memiliki zuriat sendiri, lebih baik jika mengambil anak angkat dalam kalangan kanak-kanak yang kurang bernasib baik.

“Kenapa saya harus melahirkan seorang lagi manusia kalau saya boleh mengambil anak angkat dalam kalangan anak-anak yatim piatu?

“Mereka (anak-anak yatim piatu) juga memerlukan seseorang untuk menjaga dan menyayangi mereka,” ungkap Cinta.

Disoal sama ada dia bakal berkahwin dalam masa terdekat, wanita itu tidak mahu memberi sebarang jawapan konkrit. Sebaliknya dia memberitahu masih belum puas untuk melayari kehidupan solo buat masa ini kerana mempunyai banyak lagi tujuan hidup yang belum dicapai.

Kedekut?

Selain terkenal kerana memiliki kecantikan dan kepintaran, Cinta juga dikhabarkan memiliki kemewahan tersendiri, namun tidak pernah ditayangkan kepada umum.

Selebriti yang dilahirkan di Jerman itu jika diikut kepada tahap kemampuan kewangannya boleh sahaja berbelanja sakan barangan mewah dan berjenama mengikut keinginannya.

Pun begitu, dia lebih rela digelar ‘kedekut’ kerana memilih untuk berjimat cermat.


HASRAT unik. Seandainya selebriti cantik ini meninggal dunia satu hari nanti, dia mahu menjadikan salad sebagai makanan terakhirnya sebelum menghembuskan nafas terakhir.

“Untuk membeli sehelai pakaian pun saya akan berkira-kira kerana saya memang seorang yang berjimat cermat dalam segala hal.

“Selebriti lain mungkin tidak akan memakai pakaian sama berulang kali, tetapi saya tidak kisah kerana malas untuk keluar berbelanja,” tegas Cinta.

Kata pelakon itu lagi, sejak kecil dia sudah dididik untuk memandang sesuatu barangan dengan perspektif yang luas sesuai dengan keperluannya.


TIDAK seperti kebiasaan selebriti popular lain, Cinta mengamalkan kehidupan sederhana dengan berjimat cermat tanpa kerap berbelanja sakan membeli barangan mewah.

“Saya bukan tidak suka dengan barangan mewah dan berkualiti, tetapi saya akan dihantui perasaan bersalah kalau beli sesuatu yang mahal.

“Setiap kali membeli barangan mahal, saya akan memikirkan tentang kehidupan orang lain. Sebagai contoh, jika saya membeli sebuah beg tangan mewah berharga 30 juta rupiah (RM8,795), bayangkan berapa buah keluarga atau anak-anak yang boleh saya bantu persekolahan mereka dengan nilai tersebut,” ujarnya.

Katanya lagi, dia juga jarang ke pusat beli-belah dan hanya akan membeli barangan mewah dalam tempoh selang beberapa tahun.

“Tahun lalu saya ke Dubai untuk penggambaran sebuah iklan. Saya membeli seutas beg tangan berjenama buat kali pertama dalam tempoh lima tahun,” dedahnya. K Online

Cinta Laura mahu jadi duta PBB, Menteri Ekonomi Indonesia


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Buat kerja, jangan bagi alasan – Tok Mat

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker