RM90b harta beku tidak dituntut

PETALING JAYA: Dianggarkan hampir RM90 bilion jumlah har­ta beku dan tidak dituntut di ne­gara ini pada tahun lalu melibatkan 90 peratus daripadanya milik orang Melayu.

Amalan konvensional yang me­merlukan waris berkumpul dalam pengurusan harta kematian seperti Amanah Raya Berhad (Amanah Raya), mahkamah tinggi atau pejabat tanah (pe­jabat pusaka) bagi mendapatkan persetujuan semua waris me­lambatkan proses tuntutan, lebih-lebih lagi jika mahu me­lantik seseorang sebagai pentadbir har­ta.

Ia jauh berbeza berban­ding beberapa tuntutan pusaka se­perti Pengeluaran Pusaka Tabung Haji lebih mesra pengguna, mudah, cepat dan efisien yang hanya memerlukan seorang waris membawa buku akaun bank, akaun tabung haji atau mana-mana sijil saham yang si mati miliki untuk tuntutan pusaka bagi kelangsungan hidup.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Perunding Profesional Perancangan Harta Pusaka Islam As-Salihin Trustee Berhad, Haryati Mohd. Ali berkata, hal itu berlaku akibat tiada perancangan mengenai harta yang di­tinggalkan oleh pemilik selepas meninggal dunia menyebabkan ia terbeku dan tidak dapat dicairkan oleh waris.

Katanya, perselisihan sesama waris berikutan sukar mencapai kata sepakat, proses tuntutan yang memakan masa lama dan kos tinggi mendorong perkara itu berlaku.

“Sekiranya orang ramai terus memandang ringan mengenai pengurusan harta pusaka de­ngan tidak menyediakan perancangan yang baik ketika hidup, dikhuatiri memberi mudarat kepada isteri dan anak-anak selepas kematian ketua keluarga selain satu kerugian besar buat ekonomi negara.

“Saya amat berharap masyarakat Melayu tidak lagi bersikap sambil lewa dan tidak bertanggungjawab terhadap waris dengan menimba ilmu yang cukup terutama dalam proses perundangan, mendapatkan bimbingan daripada pakar selain cuba mengatasi masalah kelemahan dokumentasi agar memudahkan waris menguruskan harta pusaka itu kelak,” katanya ketika ditemu bual baru-baru ini.

Harta beku adalah harta yang tidak dituntut oleh waris dan masih berdaftar atas nama pemilik yang sudah meninggal dunia disebabkan beberapa faktor seperti tidak mengetahui cara menguruskan pusaka, tiada masa, tiada persepakatan dalam kalangan ahli keluarga dan tiada wang bagi menguruskan harta tersebut.

Haryati memberitahu, jumlah aset beku dan tidak dituntut boleh disuntik dalam ekonomi negara jika diuruskan dengan baik.

Namun katanya, ramai yang tidak menyedari hal itu menyebabkan mereka alpa dan tidak mengendahkan kepenti­ngan dalam merancang pengurusan harta pusaka.

“Jika aset itu merupakan duit dan sekiranya tidak dituntut dalam tempoh tujuh tahun, ia akan ke baitulmal tetapi jika melibat aset seperti rumah, ia akan dibiarkan begitu sahaja.

“Jika harta ini diuruskan dengan baik, secara tidak langsung akan membantu kerajaan menjana pendapatan, membantu waris dan boleh digunakan untuk program kemasyarakatan,” ujarnya. – UTUSAN


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Selepas sembuh Covid-19, suami Rebecca sukar berjalan pula

Related Articles

2 Comments

  1. Bila tarikh artikel ini di publish ye? Saya perlu untuk kegunaan kajian saya. Terima kasih.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker