Terganggu emosi akibat bebanan tugas, ada petugas kesihatan ambil dadah, pil tidur

Terganggu emosi akibat bebanan tugas, ada petugas kesihatan ambil dadah, pil tidur, dedah MMHA

Terdapat segelintir petugas kesihatan menggunakan kaedah tidak sihat dalam mendepani gangguan emosi dengan mengambil bahan terlarang berikutan gangguan emosi akibat bebanan tugas sejak pandemik Covid-19 melanda negara, dedah Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (MMHA).

Presidennya Dr Andrew Mohanraj berkata, ia diakui sendiri oleh sejumlah petugas kesihatan awam yang menghubungi perkhidmatan sokongan psikologi bawah persatuan itu, tahun ini.

Beliau berkata, antara kaedah tidak sihat yang digunakan petugas kesihatan awam terbabit ialah merokok, minum kopi secara berlebihan, makan pil tidur dan mengambil dadah.

Katanya, sebahagian petugas barisan hadapan kesihatan yang mengalami gangguan emosi teruk juga berisiko mengalami kesan jangka panjang, iaitu gangguan stres pascatrauma (PTSD) yang lazim dialami bekas tentera pernah turun ke medan perang.

“Ada petugas kesihatan, majoritinya lelaki yang menghubungi kami, mengaku terpaksa melakukan perkara tidak sihat itu untuk mendepani kelesuan melampau atau ‘burnout’ dan peningkatan beban tugas akibat pandemik Covid-19.

“Jumlahnya agak signifikan. Ada yang tidak pernah merokok, namun kini merokok. Ada yang minum kopi antara lima hingga enam cawan sehari berbanding hanya satu cawan pada waktu pagi sebelum lonjakan kes Covid-19.

“Ada juga yang terpaksa makan pil tidur kerana tidak dapat tidur akibat gangguan emosi ketika pandemik. Ini berbahaya kerana pengambilannya antara satu hingga tiga minggu secara berturut-turut, akan menyebabkan ketagihan.

“Lebih membimbangkan, ada yang mengaku terpaksa mengambil AST (amphetamine type stimulant), iaitu dadah jenis syabu atau ais, kerana mahukan keyakinan serta tenaga supaya tidak tertidur ketika bertugas,” katanya memetik laporan Berita Harian.

Semalam akhbar itu melaporkan lebih 70,000 petugas Kementerian Kesihatan (KKM) berdepan pelbagai gangguan emosi seperti stres, kemurungan dan kecelaruan, serta kelesuan melampau selepas 20 bulan melawan pandemik Covid-19 secara berterusan.

Andrew yang juga perunding kesihatan mental dan penyalahgunaan bahan, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Asia Pasifik Barat, berkata sejumlah petugas kesihatan KKM juga berisiko berdepan PTSD dalam tempoh enam bulan hingga setahun akan datang.

Katanya, ia berikutan gangguan emosi dialami tidak akan berakhir selepas pandemik tamat, sebaliknya mempunyai impak jangka panjang yang memerlukan tempoh rawatan lama.

“Jumlah mereka yang akan mengalami PTSD mungkin tidak ramai tetapi signifikan. Contohnya, selepas enam bulan, mungkin ada petugas yang menjadi resah atau takut apabila menghampiri wad unit rawatan rapi (ICU) tempat mereka bertugas ketika Covid-19.

“PTSD ini sama seperti dialami tentera di medan perang, yang mungkin pernah menembak musuh atau melihat rakan sendiri meninggal dunia di hadapan mata.

“Petugas kesihatan awam kita berisiko mengalami kesan ini jika tidak mendekati mereka dengan bantuan spesifik dan tidak dikesan awal,” katanya.

Beliau memaklumkan, jumlah petugas kesihatan awam yang menghubungi MMHA untuk mendapat perkhidmatan sokongan psikologi, turut meningkat dengan ketara.

“Kami menerima 1,470 panggilan telefon dan pertolongan dalam talian antara Januari hingga Jun lalu, meningkat tiga kali ganda berbanding hanya 398 antara Julai hingga Disember tahun lalu.

“Daripada 1,470 panggilan itu, 18% adalah petugas kesihatan awam. Ini jumlah amat signifikan kerana sebelum pandemik, kami tidak pernah menerima panggilan daripada petugas kesihatan awam,” katanya.

Sebagai langkah awal, beliau menyarankan KKM mewajibkan proses ‘debriefing’ dalam kalangan petugas kesihatan sebelum dan selepas menjalankan tugas, selain memperluas aktiviti pertolongan cemas psikologi (PFA).

Katanya, proses ‘debriefing’ untuk tiga hingga lima minit membolehkan setiap petugas berkongsi keresahan atau apa jua pengalaman dilalui ketika bertugas.

“Ia adalah apa yang kami di WHO sarankan kepada negara di rantau ini, namun banyak tidak melaksanakannya kerana memandang ringan kepentingan ‘debriefing’ ini.

“Suka atau tidak, kita perlu melaksanakannya. Kita mungkin kuat dan tidak terkesan dengan pandemik ini, namun ia mungkin diperlukan anggota dalam pasukan kita.

“KKM juga boleh melaksanakan sistem ‘buddy’, iaitu setiap petugas sama ada doktor atau jururawat digandingkan dengan seorang rakan dan mereka perlu bertanya situasi pasangan mereka setiap hari,” katanya.

Jika ada petugas kesihatan dikesan mengalami gangguan emosi, katanya, mereka perlu segera dirujuk kepada pakar psikiatri atau psikologi di tempat mereka bertugas bagi mengurangkan risiko PTSD.

“Bagi mengelakkan PTSD, mereka perlu segera dirujuk kepada pakar. Jangan tunggu tempoh janji temu yang lama. Petugas kesihatan awam perlu ada akses yang mudah kepada kepakaran di hospital.

“PTSD bahaya kerana ia boleh membawa kepada hasrat untuk bunuh diri, selain menjejaskan hubungan dengan rakan dan keluarga,” katanya. FMT

Terganggu emosi akibat bebanan tugas, ada petugas kesihatan ambil dadah, pil tidur


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Sanggup mengaku sepupu elak dicekup

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker