Alladin, pedofilia paksa kanak-kanak tengok porno sebelum cabul

Alladin, pedofilia paksa kanak-kanak tengok porno sebelum cabul

Selepas dua tahun dijejak oleh pihak berkuasa Australia, seorang pedofilia warga Malaysia diberkas dan disabitkan di mahkamah Kuching kerana melakukan serangan seksual ke atas sekurang-kurangnya 34 kanak-kanak berusia dua hingga 16 tahun.

Alladin Lanim, 40, mengaku bersalah terhadap 18 pertuduhan jenayah seks dan dihukum 48 penjara serta 15 sebatan pada 17 Ogos lalu, yang dilihat sebagai kejayaan penting memerangi serangan seksual terhadap mangsa bawah umur.

Menurut laporan Sydney Morning Herald, pegawai penyiasat khas dari Polis Persekutuan Australia (AFP), Polis Queensland serta Pusat Analisis dan Laporan Transaksi Australia (Austrac) memainkan peranan penting dalam usaha memberkas Lanim yang melakukan kegiatannya tanpa dikesan selama 14 tahun.

Detektif Daniel Burnicle yang juga pemangku pegawai kanan AFP di Kuala Lumpur, memberitahu akhbar berkenaan bahawa Lanim juga mencabul kehormatan kanak-kanak di ladang dan di sebuah rumah panjang di Lundu, Sarawak.

Katanya, tertuduh didakwa memaksa kanak-kanak berkenaan menonton video berbentuk pornografi selepas membenarkan mereka bermain permainan video di telefon bimbitnya.

Dalam laporan berkenaan, Lanim dikatakan bermegah melakukan perbuatan terkutuknya dalam forum pemesejan dan memuatnaik aktivitinya itu di ‘dark web’, sekaligus mengundang tindakan polis Australia dalam siasatan selama dua tahun.

Nama Lanim juga disenarai dalam laporan dalaman polis pelbagai negara pada 2019 dan adalah antara 10 pesalah utama dikehendaki di dunia kerana eksploitasi terhadap kanak-kanak di internet.

Bagaimanapun, Burnicle berkata, Lanim sebenarnya sudah berkongsi bahan pencabulan kanak-kanak di laman web sejak 2007 dan selanjutnya dikaitkan dengan penyebaran lebih 1,000 imej dan video memaparkan pencabulan terhadap kanak-kanak.

“Dia seorang penjenayah yang sangat aktif mencari mangsa, justeru menjadikan penangkapannya sebagai keutamaan tertinggi (polis),” kata Burnicle.

Pada permulaan, polis tidak mempunyai banyak maklumat membabitkan Lanim namun pada Ogos tahun lalu, pakar unit pencarian identiti Austrac akhirnya berjaya menjejak identiti sebenar Lanim.

Burnicle berkata, menjejak identiti pesalah membabitkan proses metodologi rumit yang membabitkan pelbagai imej serta lokasi.

“Kesemuanya begitu sulit lebih-lebih lagi apabila menjejak individu di ‘dark web’,” katanya.

Akhirnya, pasukan dari Austrac tahun ini berjaya menjejak Lanim.

Pada Julai lalu, Burnicle berkata, pihak berkuasa Australian menjejak Lanim di pusat kuarantin Covid-19, di Sarawak di mana Lanim menjalani pengasingan mandatori setelah tiba dari Semenanjung Malaysia.

Dia akhirnya ditangkap Polis DiRaja Malaysia (PDRM) pada 5 Julai lalu, selepas proses kuarantin itu tamat, kata laporan berkenaan.

Burnicle berkata, penyiasat Australia, yang mengemukakan bahan bukti kepada pihak pendakwaan di Kuching, mengenal pasti sekurang-kurangnya 34 mangsa serangan seksual Lanim, namun percaya jumlah mangsanya mungkin lebih tinggi. FMT

Alladin, pedofilia paksa kanak-kanak tengok porno sebelum cabul


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Sekolah tetap dibuka 3 Oktober – Radzi

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker