Tipu pasport untuk vaksinasi, warga asing dipenjara 18 bulan

Tipu pasport untuk vaksinasi, warga asing dipenjara 18 bulan. Padah menggunakan pasport milik individu lain untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19, seorang wanita warga asing dijatuhi hukuman penjara 18 bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, Ayer Keroh di sini, hari ini.

Majistret Muhammad Nazrin Ali Rahim menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, That That Mar, 27, yang membuat pengakuan tersebut sebaik sahaja tiga pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah dalam bahasa Mandarin.

Mengikut pertuduhan satu dan dua, tertuduh didapati telah memperdayakan seorang doktor dan jururawat dengan menggunakan pasport milik individu lain, Than Lin Tun bagi mendapatkan suntikan dos pertama dan kedua.



Tindakan itu dilakukan tertuduh di Klinik Medidion, Taman Cheng Perdana dalam daerah Melaka Tengah pada 28 Julai dan 18 Ogos lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh yang bekerja sebagai pembantu sebuah kedai makan didapati telah masuk dan tinggal di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah dan didakwa mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002).

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga lima tahun atau didenda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-dua sekali dan boleh juga dikenakan maksimum enam sebatan.



Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar hukuman berbentuk denda diberikan dengan alasan dia ingin pulang ke negara asalnya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Anis Najwa Nazari memohon hukuman berat dikenakan dengan mengambil kira kesalahan dilakukan adalah serius, selain sebagai pengajaran kepada masyarakat.

Selepas mendengar hujah kedua pihak, mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara enam bulan bagi setiap pertuduhan bermula tarikh ditangkap pada 18 Ogos lalu.

Beliau bagaimanapun memerintah kesemua hukuman itu berjalan serentak.



Tipu pasport untuk vaksinasi, warga asing dipenjara 18 bulan


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Ada hikmah tak dilantik dalam kabinet – Tok Mat



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker