Potong Rambut Gaya al-Qaza’, Haram Hukumnya?



Potong Rambut Gaya al-Qaza’, Haram Hukumnya?

Ada dua keadaan Allah menyuruh seseorang untuk membotakkan atau mencukur rerambut yang tumbuh di kepala. Pertama, ketika bayi berusia tujuh hari. Ketika itu disunatkan untuk mencukur rambut yang asal dan memberi ruang untuk rambut-rambut baru tumbuh di kepala. Hari ini ramai yang menyebutnya sebagai majlis cukur jambul sekalipun yang disuruh bukan hanya jambul tapi keseluruhan rambut yang ada di kepala.

Keadaan kedua ialah ketika menunaikan haji atau umrah. Setelah selesai ibadat haji atau umrah, kaum lelaki khususnya diberi pilihan sama ada untuk menggunting beberapa helaian rambut atau disunatkan untuk mencukur keseluruhan rambut yang ada di kepala. Sesiapa yang melakukannya, di situ ada ganjaran yang Allah sediakan.

Selain dari itu tidak ada. Namun Islam tidak pula meletakkan larangan untuk sesiapa membotakkan kepala pada bila-bila masa. Tapi kena ikut syarat-syaratnya. Hari ini, trend membotakkan kepala sudah menjadi kebiasaan. Apatah lagi apabila bernazar membotakkan kepala ketika sesuatu hajat dipenuhi. Maka rambut akan menjadi korban gara-gara nazar tersebut.

Terpulanglah kepada individu tersebut. Namun seperkara yang perlu kita tahu, rambut, anugerah Allah adalah sesuatu yang sangat dimuliakan. Ini jelas sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud,




“Siapa yang mempunyai rambut hendaklah dia memuliakannya.” HR Imam Abu Daud

Menurut pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Muammar Ghaddafi Hanafiah, Nabi Muhammad s.a.w mengajar manusia memuliakan rambut dengan cara menyikat, menyisir, meluruskan dan jangan dibiarkan sampai menjadi mengerbang dan kusut.

Dimuliakan juga rambut dengan meminyakkannya setiap kali ia kering tapi bukan sentiasa berbuat demikian atau dibuat terlalu kerap. Selain itu elok membasuhnya dan sebagainya tapi jangan sampai keterlaluan dalam segala hal di atas. Namun, seperkara yang perlu diketahui, memuliakan rambut bukan dengan cara mencukurnya kerana ia tidak sejajar dengan maksud kemuliaan tersebut.

Sunah Nabi s.a.w menganjurkan, dalam memelihara rambut, tanamlah segala rambut yang dipotong. Ini termasuklah kuku dan darah. Al-Imam Ibn Qayyim menjelaskan, Rasulullah s.a.w diketahui mencukur kepala sebanyak empat kali dan kesemuanya kerana ‘nusuk’ iaitu ibadat haji atau umrah. Selain itu tidak ada!

Pun begitu, menurut al-Imam Ibn ‘Abd al-Barr, para ulama berijmak mengharuskan bercukur rambut bagi lelaki walaupun bukan dengan tujuan ibadah atau bukan kerana ‘haajah’ (keperluan).




Keharusan di atas tidak bermaksud ia disunnahkan kerana yang menjadi lebih rapat kepada sunnah Nabi s.a.w ialah kita memelihara rambut kita dan kita mencukurnya kerana beribadah kepada Allah seperti dijelaskan.

“Sunnah Rasulullah mengatakan kalau hendak bercukur rambut di kepala, cukurlah kesemuanya sekali atau jika tidak mahu bercukur, janganlah mencukurnya langsung,” katanya.

Cukur Sebahagian

Bersandarkan hadis di atas, hari ini trend anak-anak muda mencukur kepala bukanlah sesuatu yang asing. Namun, di sebalik rambut yang dicukur turut dilakukan pelbagai lorekan sebagai satu hiasan di kepala.

Menyentuh mengenai hal ini, Muammar Ghaddafi menjelaskan, perbuatan mencukur sebahagian dari kepala sahaja dan dibiarkan sebahagian lagi berambut atau lebih dikenali sebagai al-Qaza’. Perbuatan tersebut menurutnya, dilarang oleh Baginda s.a.w.




Pun begitu, al-Qaza’ menurut ulama, dimakruhkan dalam setiap keadaan berfesyen. Namun, jika dicukur untuk maksud berbekam di kepala seperti mencukur bahagian hujung leher (qafa), ia diharuskan dalam syarak kerana keperluan.

Jelas Muammar Ghaddafi lagi, fesyen atau gaya rambut muda-mudi hari ini yang seakan atau mirip qaza’ tetapi sebenarnya di bahagian yang nampak seperti dicukur itu hanyalah dipendekkan atau dipotong nipis dan membiarkan selebihnya kekal tebal, ia bukan qaza’ yang dinyatakan di dalam hadis berkenaan.

Namun, gaya tersebut bukan daripada sunah nabi Muhammad s.a.w. Sebaliknya, ia adalah hasil ikut-ikutan kepada mudi-mudi yang bukan mengamalkan budaya Islam.


Haram hukumnya memotong rambut dengan gaya seperti kuffar

Bila dibandingkan dengan gaya rambut Rasulullah s.a.w dan sunnahnya tentunya amat berbeza. Dalam pelbagai sumber fatwa semasa, disebut bahawa melakukan qaza’ adalah makruh tanzih bukan tahrim kerana ia termasuk dalam konteks menjaga adab tatasusila kehidupan bukan hukum hakam.




Walaupun begitu, ada sebahagian ulama yang mengharamkan al-qaza’ kerana mereka berpegang pada kaedah, “Yang asal dalam larangan ialah pengharamannya”. Namun berlaku kesepakatan ulama tentang kemakruhannya melainkan jika dilakukan kerana mengikut trend atau fesyen orang kuffar.

“Jika kerana mengikut fesyen orang kuffar, yang jelas ia diharamkan,” ujarnya sambil mengungkapkan hadis sahih yang bermaksud, “Siapa yang menyerupai sesebuah kaum maka dia tergolong di kalangan mereka”

Justeru Muammar Ghaddafi menyarankan, anak-anak muda yang mencukur dua bahagian tepi kepala dan meninggalkan rambut di bahagian tengah atau fesyen-fesyen lain seumpama atau mirip kepadanya, baiklah diubah fesyen rambut tersebut. Sebaiknya dicukur semuanya. Dan apabila tumbuh rambut baru, peliharalah dengan baik serta jadikanlah Baginda Rasulullah s.a.w contoh ikutan. Wallahu a’lam Utv

Potong Rambut Gaya al-Qaza’, Haram Hukumnya?


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Shahrol Shiro Balas Padu Teguran Hans Isaac, Harap Tak ‘Koyak’ Isu Kabinet ‘Recycle’



Leave a Reply

Your email address will not be published.